Monday, December 19, 2022

Ramli, Alice dilantik Timbalan Speaker

freemalaysiatoday.com
Nora Mahpar
-December 19, 2022 3:10 PM
Ramli Nor dan Alice Lau masing-masing adalah Ahli Parlimen Cameron Highlands dan Lanang.

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Cameron Highlands Ramli Md Nor dan Ahli Parlimen Lanang dari DAP Alice Lau dilantik sebagai timbalan Yang dipertua Dewan Rakyat pada penggal pertama sidang Parlimen ke-15.

Speaker Johari Abdul ketika mengumumkan keputusan itu memberitahu, Ramli dari Barisan Nasional (BN) menerima 148 undi manakala Alice mendapat 146 undi.

Calon dari Perikatan Nasional yang juga Ahli Parlimen Masjid Tanah Mas Ermieyati Samsudin pula menerima 74 undi.

Ramli, Orang Asli pertama menjadi Ahli Parlimen dan Alice dicalonkan oleh Perdana Menteri Anwar Ibrahim sementara Mas Ermieyati dicadangkan oleh Ahli Parlimen Kota Bharu Takiyuddin Hassan.

Pada proses pengundian berlangsung hampir 30 minit itu, semua 222 Ahli Parlimen diberi satu kertas undi untuk ditulis dua nama calon yang dipilih dan ditandatangan, sebelum kiraan undi dibuat.

“Mana-mana Ahli Parlimen yang mengundi lebih dua nama, undi anda akan dikira rosak,” kata speaker.

Terdahulu, Johari yang juga bekas Ahli Parlimen Sungai Petani dipilih sebagai speaker selepas mendapat undian tertinggi Ahli Parlimen.

Beliau mendapat 147 undi sementara calon dari Perikatan Nasional (PN), bekas menteri dalam negeri Radzi Sheikh Ahmad hanya memperoleh 74 undi.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-