Monday, December 19, 2022

Undi percaya PM10 hanya gimik, kata Ketua Pembangkang

bharian.com.my
Oleh Mohd Iskandar Ibrahim, Mohd Nasaruddin Parzi dan 
Muhammad Yusri Muzamir 
bhnews@bh.com.my
- Disember 19, 2022 @ 4:00pm
Ketua Pembangkang yang juga Ahli Parlimen Larut, Datuk Seri Hamzah Zainudin berbahas pada Mesyuarat Pertama Penggal Parlimen ke-15 di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur.
- Foto NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali
KUALA LUMPUR: Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin menyifatkan usul undi percaya terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hanyalah gimik semata-mata terutama selepas perjanjian dimeterai antara kerajaan yang membentuk Kerajaan Perpaduan.

Ahli Parlimen Larut itu berkata, usul yang dikemukakan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof itu mewujudkan pelbagai persoalan.

"Apakah usul ini mempersoalkan kuasa dan keputusan yang dibuat Yang di-Pertuan Agong atau kerana kerajaan dibentuk ini adalah kerajaan minoriti walaupun seperti kenyataan Yang Amat Berhormat Tambun bahawa Yang Berhormat Pagoh (Tan Sri Muhyiddin Yassin) sudah pun dalam pusingan pertama memperoleh sokongan majoriti untuk dilantik sebagai Perdana Menteri.

"Kami sedar bahawa usul ini adalah gimik semata-mata apatah lagi dilakukan selepas satu perjanjian kerjasama ditandatangani semua pemimpin untuk menyokong Pakatan Harapan (PH)," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berbahas pada usul percaya Perdana Menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Mengulas lanjut mengenai perkara itu itu, Hamzah menyifatkannya sebagai satu perjanjian yang menyekat dan memudaratkan demokrasi berparlimen.

Katanya, kesan kumulatif peruntukan daripada perjanjian terbabit menyebabkan semua Ahli Parlimen daripada PH, Barisan Nasional (BN), Gabungan Parti Sarawak (GPS), Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Parti Warisan (WARISAN) untuk mengundi hanya dengan cara yang dikehendaki oleh Anwar.

"Ini bercanggah dengan prinsip asas berparlimen yang dijamin Perlembagaan dan undang-undang Malaysia. Ia bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan dan dasar awam, tidak sah serta tidak dibenarkan undang-undang.

"Adakah ini demokrasi yang dilaungkan Yang Amat Berhormat Tambun. Yang Amat Berhormat Tambun tidak perlu takut dengan bayang-bayang sendiri sehingga sanggup melanggar prinsip perjuangan sendiri," katanya.

Dalam pada itu, Hamzah meminta Anwar menyaman media Eropah, yang menerbitkan artikel mengenai pelantikannya sebagai Perdana Menteri dengan menggelarnya sebagai 'homoseksual sepenuhnya' (full-blown homosexual).

Beliau menegaskan, ia jelas adalah satu penghinaan kepada Anwar, dan Perdana Menteri mesti mengambil tindakan undang-undang berhubung perkara itu.

"Dia (media Eropah) berkata Anwar sebelum ini disabitkan mengenai perkara itu, merujuk kepada sabitan kesalahan liwat sebelum ini, tetapi mendapat pengampunan daripada Yang di-Pertuan Agong," katanya.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-