Saturday, December 3, 2022

Reformasi apa jika Anwar turut pegang Kementerian Kewangan?

agendaily.com
3/12/2022
Skrip sama pernah dilaungkan Ahli Majlis Presiden Pakatan Harapan yang juga Presiden AMANAH Mohamad Sabu ketika Datuk Seri Najib Razak menjadi Perdana Menteri dan Menteri Kewangan.

Tindakan Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Datuk Seri Anwar Ibrahim memusatkan semula kuasa Perdana Menteri (PM) yang turut memegang portfolio Menteri Kewangan, tidak selari dengan agenda reformasi yang sering dilaung-laungkannya.

Ini kerana, kedudukan PM dan Menteri Kewangan adalah antara jawatan terpenting dalam Kabinet seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan. Kedua-dua potfolio ini mempunyai bidang kuasa yang begitu besar, yang tidak ada pada menteri-menteri yang lain.

Ahli Jawatankuasa PAS Pusat Dr Mohd Zuhdi Marsuki berkata sekiranya seorang individu yang sama memegang kedua-dua potfolio itu, maka dia mempunyai kuasa yang cukup besar, terutama berkaitan pengurusan kewangan dan kelulusan projek-projek mega.

Katanya anggota Kabinet yang dilantik juga tidak selari dengan agenda reformasi yang sering dilaungkan oleh Anwar.

“Amalan pemusatan kuasa seperti ini dimulakan oleh Tun Dr Mahathir Mohamad pada 2001, yang kemudian diikuti oleh Datuk Seri Najib Razak ketika menjadi Perdana Menteri ke-6. Apabila Dr Mahathir kembali berkuasa pada 2018, beliau meninggalkan amalan ini.

“Oleh sebab itu, tindakan kerajaan sebelum ini pada zaman PM ke-7, ke-8 dan ke-9 untuk tidak memusatkan kuasa PM dan Menteri Kewangan pada seorang individu adalah satu langkah yang sangat baik ke arah mewujudkan kerajaan yang lebih berintegriti.

“Malah pada zaman PM ke-7, ke-8 dan ke-9, PM tidak memegang apa-apa potfolio kementerian yang lain, sebaliknya menumpukan tugasnya sebagai ketua kerajaan. Bagaimanapun, dengan pengumuman malam tadi, Anwar telah kembali kepada amalan lama,” katanya mengulas barisan Kabinet yang diumumkan Anwar malam tadi (2 Disember 2022).

Sehubungan itu, Dr Mohd Zuhdi berkata bagi membuktikan komitmen Anwar untuk melakukan reformasi dalam kerajaan yang baharu ditubuhkan, adalah lebih wajar beliau melepaskan jawatan Menteri Kewangan, dan melantik individu dari kalangan ahli Parlimen lain untuk jawatan tersebut.

“Kegagalan Anwar berbuat demikian, akan menimbulkan lagi keraguan rakyat terhadap laungan beliau untuk melakukan reformasi dalam kerajaan, setelah beliau melantik individu yang masih berhadapan dengan kes rasuah sebagai Timbalan Perdana Menteri,” kata Mohd Zuhdi merujuk kepada Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang menghadapi 87 pertuduhan jenayah, termasuk rasuah.

Sementara itu, Mohd Zuhdi juga mengingatkan Anwar dan barisan Kabinet baharu kerajaan supaya memastikan Bajet 2023 dibentangkan secepat mungkin supaya ekonomi negara dapat dipacu dengan pantas.

“Penangguhan pembentangan Bajet 2023 bukan sahaja boleh mengganggu perjalanan kerajaan, bahkan menghakis keyakinan pelabur.

“Pelantikan anggota Kabinet kerajaan seharusnya disusuli dengan tindakan cepat untuk persediaan negara dan rakyat menghadapi bencana banjir yang mula melanda negara sekarang ini,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-