Saturday, December 3, 2022

Tiada wakil BN Sabah dalam Jemaah Menteri, Bung Moktar luah rasa ‘terpinggir’

freemalaysiatoday.com
FMT Reporters
-December 3, 2022 9:59 AM
Bung Moktar Radin berkata hanya dua menteri mewakili Sabah, berbanding Sarawak dengan lima portfolio termasuk jawatan timbalan perdana menteri kedua. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Barisan Nasional (BN) Sabah mengakui rasa “terpinggir” dalam pembentukan Jemaah Menteri kerajaan perpaduan berikutan tiada seorang pun daripada tujuh Ahli Parlimennya dilantik sebagai menteri penuh.

Pengerusinya, Bung Moktar Radin, berkata hanya dua menteri yang mewakili negeri itu, iaitu masing-masing dari Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) selaku komponen Pakatan Harapan (PH) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Katanya, jumlah itu adalah terlalu kecil dan tidak seimbang berbanding Sarawak yang diberi lima portfolio termasuk jawatan timbalan perdana menteri kedua.

“Pembentukan Kabinet baharu kerajaan perpaduan ini nampaknya menyaksikan Sabah dipinggirkan dalam pelantikan portfolio khususnya wakil BN Sabah yang memberikan komitmen awal bersama BN pusat untuk menyokong PH menjadi kerajaan dan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai calon Perdana Menteri

“Tiada seorang pun wakil dari BN Sabah dalam Kabinet baharu ini. Berbanding Sarawak, mereka ada lima menteri,” katanya dalam kenyataan berhubung pembentukan Jemaah Menteri kerajaan perpaduan pimpinan Anwar.

BN Sabah memenangi paling banyak kerusi Parlimen di Sabah, dengan tujuh kerusi pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15), diikuti GRS (6), PH (5), Warisan (3), Bebas (2) serta masing-masing satu bagi Perikatan Nasional (PN) dan Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM).

Malah, BN Sabah turut menyumbang kerusi kedua terbanyak selepas BN Johor daripada 30 kerusi dimenangi BN di seluruh negara pada PRU15.

Bung Moktar yang juga timbalan ketua menteri Sabah, berharap “peminggiran” itu bukan petanda negeri itu akan kurang mendapat perhatian kerajaan persekutuan, khususnya dalam aspek pembangunan.

“Kita tidak mahu Sabah sekali lagi dipinggirkan dalam aspek pembangunan terutama pelaksanaan projek infrastruktur yang penting untuk kemudahan rakyat negeri ini.

“Projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah umpamanya mesti diteruskan dan dipercepatkan. Kita tidak mahu melihat projek ini sekali lagi tergendala seperti yang berlaku ketika PH menjadi kerajaan pada 2018,” katanya.

Katanya, Sabah juga memerlukan perhatian kerajaan persekutuan dalam menyelesaikan isu bekalan air bersih yang menjejaskan rakyat di seluruh negeri ini, selain masalah bekalan elektrik dan jalan luar bandar.

Malam tadi, perdana menteri mengumumkan barisan Jemaah Menteri yang terdiri daripada 28 menteri termasuk dua timbalan perdana menteri yang masing-masing disandang Ahli Parlimen Bagan Datuk Ahmad Zahid Hamidi mewakili BN dan Ahli Parlimen Petra Jaya Fadillah Yusof dari Gabungan Parti Sarawak (GPS).

Sabah hanya diwakili Ahli Parlimen Penampang Ewon Benedick (PH-UPKO) yang dilantik sebagai menteri pembangunan usahawan dan koperasi dan Ahli Parlimen Papar Armizan Mohd Ali (GRS) yang memegang jawatan menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak).

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-