Monday, December 5, 2022

Segerakan juga siasat pemimpin PH main isu sensitiviti umat Islam: Hadi

agendaily.com
5/12/2022
Presiden PAS Tan Sri Abdul Hadi Awang bercakap kepada media selepas memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi, hari ini (5 Disember 2022). - Gambar Agenda Daily

Timbalan Pengerusi Perikatan Nasional Tan Sri Abdul Hadi Awang meminta pihak berkuasa menyegerakan siasatan terhadap pemimpin Pakatan Harapan (PH) yang membuat kenyataan menyentuh sensitiviti umat Islam.

“Barulah adil,” kata Presiden PAS itu.

Pada masa sama Abdul Hadi melihat tindakan memanggil beliau memberi keterangan ‘dengan cepat’ setelah laporan polis dibuat terhadapnya, sebagai langkah aktif kerajaan baharu PH-UMNO pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Sekarang adalah giliran saya (beri keterangan kepada polis)… saya nampak kerajaan baharu ini sangat aktih… proaktif.

“Saya juga minta supaya giliran pihak lain… (siasatan terhadap) pihak PH (membuat kenyataan) yang menyentuh umat Islam juga mesti disegerakan.

“Siasat sama… baru adil… kita tunggu dan lihat,” katanya pada sidang media di luar pekarangan Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi, Kuala Lumpur, selepas memberi keterangan berhubung laporan yang dibuat terhadap beliau.

Abdul Hadi disiasat mengikut Seksyen 505 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia.

Menjawab soalan, Abdul Hadi berkata pihak PAS dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam pernah membuat laporan berhubung kenyataan pemimpin PH yang menyentuh sensitiviti umat Islam.

Beliau bagaimanapun tidak pasti sama ada akan dipanggil memberi keterangan lagi atau tidak, selain pihak polis juga tidak merampas apa-apa barang, termasuk telefon bimbitnya.

Mengulas kenyataan Ahli PArlimen Arau Datuk Seri Shahidan Kassim berhubung usaha menjatuhkan kerajaan sedia ada, Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang berkata, perkara itu merujuk kepada Pilihan Raya Umum akan datang.

“Sekurang-kurangnya untuk PRU akan datang… kita lihat pengaruh yang kita ada sekarang. Kita lonjakkan lagi (sokongan).

“Kita juga akan lihat kepada perkembangan apakah tindakan kerajaan… kita tunggu apa reaksi rakyat terhadap kerajaan yang ada hari ini,” katanya.

Menjawab soalan berhubung Pilihan Raya Negeri (PRN) di Kedah, Kelantan dan Terengganu, Abdul Hadi berkata PAS dan Perikatan Nasional akan berbincang dengan menteri besar negeri berkenaan dalam masa terdekat.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-