Wednesday, December 14, 2022

UMNO, DAP bakal bekerjasama hadapi PRN 6 negeri tahun depan

agendaily.com
14/12/2022
UMNO kini bekerjasama dengan DAP di dalam PH.

Pakatan Harapan (PH) yang turut disertai DAP tidak menolak kemungkinan bekerjasama dengan Barisan Nasional (BN), khususnya UMNO, bagi menghadapi enam Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

Setiausaha Agung PH Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail bagaimanapun berkata kerjasama menghadapi PRN yang bakal diadakan tahun depan itu belum dimuktamadkan lagi.

Katanya setakat ini PH sedang memperkasa keserasian bersama BN dalam Kerajaan Persekutuan.

“Namun, tumpuan utama PH adalah untuk menggerakkan Kerajaan Persekutuan bagi mendepani pelbagai isu berbangkit yang membelenggu masyarakat.

“Ketika ini perbincangan belum sampai ke situ (kerjasama dengan BN bagi menghadapi enam PRN) sama ada akan wujud kerjasama, persefahaman atau gabungan politik. Itu belum kita bincangkan lagi.

“Fokus kita adalah mewujudkan keserasian Kerajaan Perpaduan. Dalam konteks ini supaya kerajaan berfungsi dan perlu dilihat (sebagai) kompak dan intact (utuh), barulah keyakinan rakyat akan dapat dibina,” katanya menurut BH.

Beliau berkata demikian pada sesi temu bual Naratif Khas bertajuk ‘Jaminan Keselamatan dan Perpaduan’ terbitan Berita RTM di Angkasapuri malam ini.

Enam negeri iaitu Kedah, Kelantan, Terengganu, Negeri Sembilan, Selangor dan Pulau Pinang, bakal mengadakan PRN masing-masing tahun depan, setelah tidak menyertai PRU-15, bulan lalu.

Kedah, Kelantan dan Terengganu kini ditadbir Perikatan Nasional menerusi parti komponennya PAS, manakala Negeri Sembilan, Selangor dan Pulau Pinang ditadbir PH.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-