Showing posts with label PRN. Show all posts
Showing posts with label PRN. Show all posts

Wednesday, March 27, 2024

PRN: Umno Sabah teroka potensi tanding solo

freemalaysiatoday.com
Nora Mahpar
-27 Mar 2024

Ketua Penerangan Suhaimi Nasir berkata mereka telah berunding dengan semua parti atas arahan Presiden Zahid Hamidi, namun masih tiada keputusan.
Zahid Hamidi berkata Umno terbuka kepada pakatan dengan mana-mana parti untuk PRN Sabah, tetapi keputusan hanya akan dibuat selepas DUN dibubarkan. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Di sebalik ura-ura semakin kuat mengaitkan kerjasama dengan Warisan pada PRN, Umno Sabah turut meneroka potensi bertanding solo bergantung kemampuannya memperkukuhkan parti menjelang pembubaran DUN negeri itu.

Ketua Penerangannya Suhaimi Nasir berkata autonomi diberikan kepada mereka telah dimanfaatkan untuk berunding dengan semua parti atas arahan Presiden Zahid Hamidi.

“Tetapi keputusan belum dibuat. Namun pada masa sama lebih baik kita perkuatkan Umno Sabah dahulu kerana jika parti kuat pastinya rakyat yakin dan percaya bahawa kepimpinan baharu ini boleh membawa kemenangan.

“Buat apa (telah kuat) kita hendak cari gabungan atau bersama parti lain,” katanya kepada FMT, mengulas perkembangan rundingan Umno dengan parti tempatan menjelang PRN Sabah yang dijangka diawalkan tahun ini walaupun penggal DUN hanya akan tamat Oktober 2025.

Pada 14 Dis lalu, Presiden Warisan, Shafie Apdal mendakwa Ketua Umno Sabah, Bung Moktar Radin bersetuju dengan pakatan dua parti itu bagi melawan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) pimpinan Ketua Menteri Hajiji Noor pada PRN ke-17.

Tetapi, dakwaan Shafie dinafikan Timbalan Ketua Umno Sabah, Rahman Dahlan yang berkata, mereka belum memutuskan pakatan pilihan raya.

Zahid pula menjelaskan Umno yang mengetuai Barisan Nasional (BN) terbuka kepada pakatan dengan mana-mana parti untuk PRN Sabah, tetapi keputusan hanya akan dibuat selepas DUN dibubarkan.

Ahad lalu, Timbalan Presiden BN Mohamad Hasan berkata keputusan sama ada komponen itu bertanding sendirian atau bekerjasama dengan parti lain akan diputuskan di peringkat pusat walaupun memberikan autonomi kepada Umno negeri berkenaan.

Mengulas kenyataan Mohamad itu, Suhaimi mengakui Umno Sabah perlu mengikut keputusan BN pusat namun menegaskan pilihan akhir sepatutnya di atas tangan mereka.

“Kita tidak mahu pisang berbuah dua kali, apapun keputusan menghadapi PRN kelak biarlah yang membawa kemenangan,” katanya.

Walaupun Umno dan GRS berada dalam kerajaan perpaduan di peringkat persekutuan namun hubungan mereka di Sabah sebaliknya apabila wujud usaha menjatuhkan Hajiji daripada kerusi ketua menteri pada Januari 2023 menerusi Langkah Kinabalu.

Tuesday, August 22, 2023

Sudah tiba masa UMNO bertanding atas bendera sendiri atau masih BN? soal Azalina

agendait.com
22/08/2023
Datuk Seri Azalina Othman Said.

Susulan keputusan buruk selepas enam Pilihan Raya Negeri (PRN) baru-baru ini, Datuk Seri Azalina Othman Said mempersoalkan sama ada UMNO perlu bertanding atas bendera sendiri atau masih kekal atas logo Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya akan datang.

Ketua Penerangan UMNO melontarkan persoalan tersebut ekoran penolakan orang Melayu terhadap parti itu selepas bersama kerajaan campuran yang dibentuk dengan Pakatan Harapan (PH)-DAP, malah wujud spekulasi konflik dalaman ekoran prestasi PRN pada 12 Ogos lalu.

“Izinkan saya untuk melontarkan persoalan ini, adakah sudah tiba masanya untuk UMNO bertanding atas tiket UMNO pada pilihan raya akan datang atau masih lagi di bawah bendera BN, ataupun di bawah BN dengan gabungan baharu?” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Azalina yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) berkata, memang mudah untuk mendesak Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengundur diri selepas UMNO mengalami kekalahan pada pilihan raya, tetapi pada waktu sama, BN adalah satu institusi.

“Kenapa segala-galanya diletakkan di bahu pengerusi, walhal bukan pengerusi yang bertanding pada PRN lalu. Paling penting sebenarnya, dalam mana-mana pilihan raya, formula kemenangan ambil kira faktor calon, pengundi serta cabaran.

“Apa yang perlu kita ubah bukan presiden, tetapi cara bagaimana kita bekerja dan menggerakkan kempen kita,” katanya.

Azalina berkata, antara cabaran utama yang UMNO dan BN masih ketinggalan ialah peperangan saraf di platform digital, memandangkan pendekatan konvensional bersemuka tidak lagi menjadi tunjang utama kempen.

“Kempen sebenar adalah di platform digital. BN sendiri perlu faham dan akur bahawa kita menghadapi defisit pengetahuan dan penguasaan platform digital pada ketika pihak lawan berbelanja tanpa had menggunakan platform itu bagi mempengaruhi pengundi.

“Kita tidak ada peraturan mahupun undang-undang yang boleh menyekat propaganda tanpa had pihak lawan menggunakan dana yang begitu banyak di platform digital kerana penyedia platform berpangkalan di luar negara.

“Melangkah ke hadapan, BN perlu bersedia untuk berubah menjadi parti yang lebih mahir dan memiliki pengetahuan menguasai teknologi digital dan Kerajaan Perpaduan juga perlu bersedia dengan penguasaan perang saraf di platform digital,” katanya.

Azalina berkata, beliau membaca dengan teliti semua pandangan dan teguran dilontarkan semua pihak, sama ada dari dalam parti mahupun luar parti sejak UMNO BN mengalami kekalahan pada PRN lalu.

“Inilah amalan demokrasi dalam parti yang mana setiap ahli boleh memberi pandangan, tetapi dalam konsep demokrasi juga, ada calon kalah dan ada yang menang dalam pilihan raya. Sudah tentu kita tahu dan faham realiti ini.

“Memang mudah untuk menuding jari terutama apabila kita kalah. Dalam pilihan raya, kalah satu undi tetap kalah dan menang satu undi, tetap menang. Mungkin kita boleh beri contoh, jika kita kalah ketika bertanding untuk jawatan Yang Dipertua PIBG (Persatuan Ibu Bapa dan Guru), usahlah kita bakar dan runtuhkan sekolah.

“Ada parti politik bermula di tangga mahkamah dan ada yang masih di tangga mahkamah, malah bertahun bergolak dengan pihak keselamatan, namun ahlinya tetap teguh merapatkan saf serta berterusan meletakkan keyakinan terhadap pemimpin mereka.

“Dan hari ini parti berkenaan berjaya memerintah negara selepas PRU-14. Mereka yakin kepimpinan parti akan bawa kejayaan,” katanya.

Saturday, August 19, 2023

Fahmi nasihat Pemuda Umno ‘sabar dan istiqamah’ susulan PRN

freemalaysiatoday.com
Yasmin Abdul Latif 
19 Aug 2023

Pengarah Komunikasi PH itu percaya pucuk pimpinan komponen gabungan perpaduan kini sedang berusaha melaksanakan penambaikan.
Pengarah Komunikasi PH Fahmi Fadzil berkata, semua parti pasti akan melalui proses pascanilai untuk mendapatkan maklum balas daripada semua peringkat ahli.

KUALA LUMPUR: Pengarah Komunikasi Pakatan Harapan (PH) Fahmi Fadzil menasihatkan parti komponen gabungan perpaduan, terutama Pemuda Umno, agar bersabar dan istiqamah susulan PRN.

“Kita sabar dan istiqamah, ‘work in progress’,” katanya pada sidang media selepas pelancaran program Wangsa Maju Kita Punya di Tasik Danau Kota.

Semalam, Ketua Pemuda Umno Dr Akmal Saleh menyatakan kesediaan meletak jawatan jika kekalahan teruk parti itu pada PRN Sabtu lepas disebabkan oleh kedudukannya sebagai ketua sayap.

Pada majlis Post Mortem PRN Pemuda Umno, Akmal berkata, beliau akan berbuat demikian jika majoriti suara daripada sayap itu menyatakan pendirian sebegitu.

“Pemuda Umno mesti berkata benar walaupun pahit. Jika majoriti yang ada ini (malam ini), membuat keputusan bahawa Umno tidak diterima oleh rakyat kerana ketua pemudanya berada di situ, saya sedia letak jawatan,” katanya.

Menyedari tekanan dihadapi Umno yang semakin meningkat, Fahmi bagaimanapun percaya pucuk pimpinan komponen gabungan perpaduan kini sedang dalam usaha melaksanakan penambaikan bagi parti masing-masing.

Setakat ini, katanya, semua parti akan melalui proses pascanilai (post mortem) untuk mendapatkan maklum balas daripada peringkat tertinggi sehingga ke akar umbi.

“Sudah pasti semua parti akan melakukan muhasabah mengambil pengajaran dan juga merangka pelan ke depan.

“Kita akan kenal pasti tambah baik, saya serah kepada pucuk pimpinan untuk tentukan,” katanya.

Pengundi Melayu marah Umno bagai api bakar jerami, kata Ismail

freemalaysiatoday.com
FMT Reporters 
19 Aug 2023

Bekas naib presiden Umno itu berkata, Umno memerlukan kepimpinan dinamik dan berkebolehan bagi mengembalikan idealisme perjuangan parti.
Ismail Sabri Yaakob berkata, Umno memerlukan perubahan drastik dari segi pendekatan, menjual naratif boleh diterima rakyat dan perubahan kepimpinan untuk kekal relevan.

PETALING JAYA: Bekas naib presiden Umno, Ismail Sabri Yaakob berkata kekalahan parti itu dalam PRN minggu lalu menunjukkan kebencian dan kemarahan pengundi Melayu kepada Umno “bertambah marak seperti api membakar jerami”, termasuk dalam kalangan penyokong dan ahli parti.

Justeru, beliau menyeru pucuk pimpinan parti mendengar desakan akar umbi, termasuk melepaskan jawatan bagi memulihkan Umno susulan kekalahan teruk itu.

Untuk memulihkan Umno, katanya, ia memerlukan kepimpinan dinamik dan berkebolehan bagi mengembalikan idealisme perjuangan parti.

Pada PRN Sabtu lalu, Umno menang 14 kerusi di Negeri Sembilan, masing-masing dua kerusi di Selangor dan Pulau Pinang, hanya satu kerusi di Kelantan, tetapi gagal menang sebarang kerusi di Kedah dan Terengganu.

“Umno telah mencatatkan prestasi terburuk, hilang pengundi teras, dianggarkan hanya 27% pengundi Melayu yang mengundi gabungan Barisan Nasional/Pakatan Harapan. Gabungan PAS, Bersatu dan Gerakan yang dikenali sebagai Perikatan Nasional berjaya menarik 73% sokongan pengundi Melayu pada PRN ini.

“Pengaruh Umno di Malay Belt atau lingkaran Melayu – Kedah, Kelantan dan Terengganu – sangat kritikal seperti pesakit di ICU. Umno hanya mampu menang satu kerusi, hilang 20 kerusi jika dibandingkan dengan PRU14.

“Lebih membimbangkan trend kemerosotan undi Melayu kepada Umno kini turut merebak ke Negeri Sembilan. Satu-satunya negeri yang tidak terjejas dengan gelombang peralihan undi Melayu dalam PRU15, kini turut menerima tempiasnya,” tulisnya dalam kolum Utusan Malaysia.

Bekas perdana menteri itu berkata, keputusan PRN enam negeri menunjukkan Umno seolah-olah terpaksa bergantung kepada undi bukan Melayu untuk menang, yang disifatkannya keadaan tidak pernah berlaku.

“Jangan membiarkan nasib Umno persis MCA dan Gerakan yang terpaksa berpapah kepada undi Melayu untuk memenangi sebarang kerusi dalam pilihan raya.”

Beliau berkata, pengundi Melayu menolak Umno kerana ia menyimpang daripada idealisme perjuangan asal.

“Lebih parah kepimpinan Umno memusnahkan Muafakat Nasional yang menjadi harapan umat Melayu terhadap penyatuan ummah. Lebih buruk apabila kepimpinan tertinggi mengheret Umno untuk bersama DAP, malah menggesa jentera bekerja dan mengundi parti itu.”

Ahli Parlimen Bera itu berkata, Umno memerlukan perubahan drastik dari segi pendekatan, menjual naratif boleh diterima rakyat dan perubahan kepimpinan untuk terus relevan dalam arus politik negara.

Katanya, Umno juga perlu mengubah cara ia berkempen, di mana jenteranya perlu mendekati pengundi atas pagar dan parti lawan, bukannya “berdakwah” kepada ahli sendiri, selain menguasai media sosial sepenuhnya.

“Sejarah telah mengajar kita. Lihat kembali bagaimana dan kenapa Umno ditubuhkan 77 tahun lalu. Semoga parti yang saya cintai ini bukan sahaja bangkit, malah kembali memimpin negara.”

Wednesday, August 16, 2023

PRN 2023: Pengundi Melayu menolak UMNO, PKR dan Amanah

satuberita.my
By SatuBerita
-August 16, 2023
Mantan Ketua Hakim Negara, Tun Abdul Hamid Mohamad berucap pada Wacana Intelektual bertajuk 'Perlaksanaan Hudud Di Brunei, Apa Yang Malaysia Boleh Pelajari' di Wisma Sejarah, Kuala Lumpur. Gambar FAREEZ FADZIL, 01 JANUARI 2014

Oleh Tun Abdul Hamid Mohamad

DUA tajuk terakhir rencana saya mengenai politik ialah “Melayu tidak boleh bergantung kepada UMNO lagi” (22 11 2022) dan “Selamat tinggal UMNO” (25 11 2022). Selepas itu saya tidak menulis lagi mengenai politik sehinggalah ke hari ini. Sebabnya ialah kerana saya telah hilang minat mengenainya. Ia menyababkan beberapa orang bertanya sama ada saya sihat sebab sudah lama saya tidak menulis. Mereka meminta saya terus menulis kerana, mengikut mereka, banyak orang menunggu untuk mendengar pandangan saya mengenai isu-isu semasa.

Hari ini, setelah melihat keputusan PRN di Kedah, Pulau Pinang, Selangor, Negeri Sembilan, Terengganu dan Kelantan, ada sesuatu yang saya ingin katakan. Maka, saya menulis rencana ini.

Semenjak selepas PRU 14 (2018) lagi, ramai orang Melayu veteran yang masih sayangkan UMNO menasihatkan ahli-ahli UMNO bahawa UMNO perlu berubah dan dibersihkan.

Selepas PRN Melaka dan Johor, kita memperingatkan pemimpin-pemimpin UMNO bahawa orang Melayu memberi kemenangan kepada UMNO bukan kerana mereka, tetapi in spite of them. Kita memperingatkan pemimpin-pemimpin itu bahawa orang Melayu memberi kemenangan kepada UMNO kerana mereka masih sayangkan UMNO. Pada masa yang sama, mereka mengharapkan UMNO akan berubah dan membersihkan diri daripada pemimpin-pemimpin yang menjadi liabiliti kepada parti.

Tetapi, pemimpin-pemimpin itu masih ketegar. Mereka menganggap kemenangan itu adalah kerana mereka. Mereka terus memperkuatkan dan melanjutkan kedudukan mereka dalam parti dengan meminda perlembagaan parti. Ahli-ahli UMNO bertepuk gemuruh di Perhimpunan Agung, memberi sokongan kepada “pemimpin-pemimpin kesayangan” mereka. Orang-orang Melayu veteran yang menegur pemimpin-pemimpin itu dianggap sebagai musuh UMNO.

Tiba PRU 15. Pemimpin-pemimpin itu menghadapi pilihan raya itu dengan angkuh dan penuh keyakinan mereka akan dapat menubuhkan kerajaan pusat semula.

Apa yang terjadi kepada UMNO dalam PRU 15 kita semua tahu. UMNO kalah teruk. Rupa-rupanya, orang Melayu tidak mudah lupa.

DS Zahid dan ahli-ahli MKT UMNO masih tidak mengambil pengajaran daripada keputusan itu. Mereka lakukan apa yang tidak terfikir oleh kita ada pemimpin UMNO yang sanggup melakukannya. DS Zahid membawa UMNO bekerjasama dengan DS Anwar dan DAP, melanggar resolusi Perhimpunan Agung UMNO. Ahli-ahli MKT UMNO mengikutinya kerana kepentingan diri. Mereka fikir pengundi-pengundi Melayu akan mengikut apa sahaja yang mereka lakukan. Anggapan mereka ternyata meleset.

Sebagai buktinya, lihat sahaja keputusan PRN yang berlangsung pada 12 Ogos 2023. Daripada 108 kerusi yang ditandingi UMNO, ia hanya memperolehi 19 kerusi (17.5%). Itu pun kerana sokongan kepada DSU Mohamad Hassan di Negeri Sembilan sebanyak 14 kerusi, sedangkan di Kedah BN yang bertanding 15 kerusi tidak memenangi satu kerusi pun, di Kelantan ia hanya mendapat satu kerusi, di Pulau Pinang dua kerusi, di Selangor dua dan di Terengganu kosong. Kemenangan dua kerusi di Pulau Pulau Pinang itu pun adalah di Bertam, kampung Tun Abdullah Badawi, setelah menantunya Khairy Jamaluddin turun berkempen untuk calon UMNO, seorang bekas Menteri. Satu kerusi lagi di Sungai Acheh, UMNO hanya menang dengan 147 undi.

Walaupun Presiden PKR memegang jawatan Perdana Menteri, prestasi PKR juga meleset. Daripada 58 kerusi yang ditandinginya, PKR hanya menang 26 kerusi, itu pun dengan sokongan padu penyokong-penyokong DAP, BN dan Amanah. Di Selangor, kubu terkuatnya, ia hanya memenagi 12 daripada 20 yang ditandinginya, 16 kerusi kurang daripada yang dimenanginya dalam PRU 14, iaitu 28. Di Kedah ia hanya memenangi dua daripada 10 kerusi yang ditandinginya. Di Pulau Pinang, enam kerusi yang dimenanginya dalam PRU 14 dirampas oleh PN. Di Kelantan dan Terengganu, PKR ditolak sama sekali.

Amanah juga menerima nasib yang sama dengan UMNO dan PKR. Ia hanya memenagi lapan kerusi daripada 31 yang ditandinginya, termasuk lima daripada sembilan yang ditandinginya di Selangor. Saya berani mengatakan ia menang itu pun atas undi penyokong DAP, BN dan PKR. Mengharapkan undi penyokongnya sendiri, ia tidak boleh menang walau satu kerusi pun. Buktinya, lihatlah apa yang berlaku di Kedah, Kelantan dan Terengganu.

DAP mempertahankan kedudukannya dengan cemerlang. Ia memenangi 46 kerusi daripada 47 kerusi yang dipertandingkannya (98%).

PN jelas dapat menambah penguasaannya. Ia memenangi 146 kerusi daripada jumlah keseluruhan sebanyak 245 kerusi berbanding dengan 80 oleh PH dan 19 oleh BN. Di Selangor, kubu kuat PH pun, PN dapat menambah lima kerusi yang dimenanginya dalam PRU 14 kepada 22, yang lebihnya itu datangnya daripada PKR, UMNO dan Amanah. Di Kedah, PN berjaya merampas lima daripada tujuh kerusi PKR, empat daripada Amanah, tiga daripada BN dan satu daripada DAP. Di Pulau Pinang, satu lagi kubu kuat PH, PN berjaya menambah satu kerusi (PAS) yang dimenanginya dalam PRU 14 kepada 11, kesemuanya dirampas daripada PKR, UMNO dan Amanah.

Tetapi, yang betul-betul menang adalah PAS. Keseluruhannya PAS memenangi 117 kerusi berbanding dengan rakan kongsinya, Bersatu 28 dan Gerakan 1. Apa yan lebih menarik dengan pencapaian PAS ialah lonjakan yang dibuatnya sekali gus membenam UMNO, PKR dan Amanah.

Saya fikir pengundi Melayu bertindak seperti itu atas beberapa sebab...

Pertama, mereka masih tidak lupa dan tidak memaafkan apa yang dilakukan oleh Kerajaan PH yang mereka berpendapat menggugat hak-hak keistimewaan orang Melayu dan kedudukan agama Islam dan tindakan dan kenyataan penyokong-penyokong PH, terutama sekali dari DAP. Mereka tahu bahawa DAP berdiam diri bukanlah bererti ia telah berubah: ia hanya menukar taktiknya kerana cara konfrontasi dahulu menaikkan kemarahan orang Melayu.

Kedua, orang Melayu, terutama sekali ahli dan penyokong PAS dan Bersatu merasakan bahawa hak mereka untuk menubuhkan kerajaan Persekutuan selepas PRU 15 telah dirampas daripada mereka dengan penubuhan Kerajaan Perpaduan yang digemari oleh pihak Istana.

Ketiga, keputusan PRN ini menunjukkan orang Melayu sedar bahawa Kerajaan Perpaduan adalah Kerajaan PH yang diberi nama baharu.

Keempat, orang Melayu, termasuk bekas pengundi UMNO tidak dapat memaafkan DS Zahid dan ahli-ahli MKT kerana membawa UMNO masuk bekerjasama dengan DS Anwar dan DAP sedangkan resolusi Perhimpunan Agung terang-terang mengatakan “No Anwar. No DAP.”

Kelima, orang Melayu tidak percayakan DS Anwar untuk menjadi pemimpin mereka.

Keenam, di antara parti-parti Melayu yang ada sekarang, biar apa pun kelemahannya, pemimpin-pemimpin PAS nampak lebih bersih, lebih berintegri dan lebih boleh dipercayai.

Ketujuh, penyokong-penyokong PAS terdiri daripada semua lapisan masyarakat, daripada pelajar-pelajar universiti dan graduan-graduan muda, lapisan pertengahan umur, apatah lagi warga emas.

Penambahan bilangan kerusi yang diperolehi PN adalah daripada yang sebelumnya dimenangi UMNO, PKR dan Amanah. Ertinya, pengundi-pengundi yang dahulunya mengundi parti-parti itu telah berpindah kepada PN, khususnya PAS. Pengundi-pengundi baru Melayu juga nampaknya lebih suka memilih PAS daripada parti-parti Melayu lainnya. Saya percaya, jika PRN 15 diadakan pada 12 Ogos 2023, PN akan memperolehi majoriti yang jelas dan Kerajaan Perpaduan tidak akan tertubuh. Keputusan ini adalah penolakan Kerajaan Perpaduan dan parti-parti Melayu yang bekerjasama dengan DAP dan PH. Semua pihak perlu mengambil perhatian

Mengenai kekalahan teruk UMNO, faktor utamanya ialah orang Melayu tidak dapat menerima UMNO bekerjasama dengan DAP dan PH. Itulah hakikatnya. Mengenai PKR, orang Melayu tidak percaya DS Anwar dan PKR boleh diharap untuk mempertahankan kepentingan orang Melayu dan agama Islam. Amanah hanya parti parasit yang tidak relevan dari awal lagi yang digunakan oleh DAP untuk memecahbelahkan PAS.

Adakah DS Zahid dan ahli-ahli MKT UMNO akan menerima hakikat itu?

Saya percaya DS Zahid tidak akan menerimanya. Beliau akan bergantung kepada jawatan Presiden UMNO yang sudah dilanjutkan tempohnya itu kerana beliau percaya hanya dengan cara itu beliau dapat berkuasa dan melepaskan dirinya daripada pertuduhannya di mahkamah. Untuk itu beliau telah membawa UMNO bekerjasama dengan PH (DS Anwar dan DAP). DS Anwar menanggung bebannya kerana perlukan bilangan kerusi Parlimen BN untuk membolehkannya menjadi Perdana Menteri. Sekarang, pengaruh UMNO lebih lemah, DS Zahid terpaksa bergantung kepada DS Anwar dengan harapan untuk mendapat perlindungan dan disebabkan kedudukan PKR sendiri sudah lebih lemah, DS Anwar terpaksa bergantung kepada DS Zahid untuk dapat terus menjadi Perdana Menteri. Mereka memerlukan satu sama lain.

Bagaimana dengan ahli-ahli MKT UMNO? Terdapat seorang yang telah bersuara, itu pun bukanlah seorang ahli politik profesional. Beliau adalah seorang profesional yang dilantik menjadi Ahli Dewan Negara untuk membolehnya dilantik menjadi Menteri. Bagi yang lainnya, sekian lama mereka mengikuti kehendak DS Zahid kerana kepentingan diri. Saya tidak nampak ada di antara mereka yang akan bangun menuntut beliau meletak jawatan.

Perlu diingati DS Zahid boleh berkata, keputusan MKT bukan keputusannya seoang. Semua ahli bertanggungjawab. Mengapa hanya dia seorang yang hendak dipersalahkan?

Mungkinkah akan ada gerakan dari bawah? Sehari selepas PRN itu diadakan, terdapat laporan beberapa orang ketua pemuda yang mengatakan UMNO perlu berani melakukan perubahan sekiranya ia tidak mahu dilupakan oleh masyarakat.

Ketua Pemuda dan Wanita UMNO membuat kenyataan mereka akan mengadakan kaji siasat mengenai kekalahan teruk UMNO itu.

Mengambil iktibar daripada apa yang telah berlaku sebelum ini, saya tidak fikir perubahan besar akan berlaku kepada UMNO. Selepas DS Zahid dihadapkan ke mahkamah dahulu, Pemuda UMNO meluluskan satu resolusi meminta beliau melepaskan semua jawatan dalam parti sehingga beliau dilepas dan dibebaskan oleh mahkamah. Apabila UMNO pulih di bawah pimpinan DSU Mohamad Hasan, DS Zahid kembali memimpin UMNO. Kita tidak tahu apa yang berlaku di belakang tabir, Pemuda pun senyap dan nampaknya bertukar menjadi penyokong DS Zahid yang setia. Saya tidak hairan, jika Perhimpunan Agung tergempar dapat diadakan sekalipun (saya fikir tidak), setelah mendengar ucapan DS Zahid berapi-api, perwakilan akan memberi tepukan bergemuruh menyokongnya. Pemuda, Wanita dan Puteri pun akan turut memberi sokongan tak berbelah bagi. “Pi mai pi mai tang tu” (kata orang Pulau Pinang). “Biarkan. Biarkan (Si-Lunchai).

Sumber: Malaysia Gazette

— Tun Abdul Hamid mantan Ketua Hakim Negara. Tulisan beliau boleh juga dibaca di http://www.tunabdulhamid.my

Sunday, August 13, 2023

‘Isu Zahid dan pemenjaraan Najib juga punca Umno kalah’

malaysiakini.com
Diterbitkan: Aug 13, 2023 
Selain kerjasama Umno dengan DAP melalui Pakatan Harapan (PH), isu Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi serta kedudukan Najib Razak yang kini meringkuk di penjara memberi kesan kepada BN pada enam pilihan raya negeri (PRN) yang berlangsung semalam.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Isham Jalil, berkata rekod Umno menunjukkan parti itu kalah teruk dalam PRN enam negeri apabila menang 19 daripada 108 kerusi ditandingi.
“Kita (hanya) menang 1 (kerusi) di Kelantan, 2 di Pulau Pinang, 2 di Selangor, dan 14 di Negeri Sembilan. Di 89 kerusi lain semua kita kalah.

"Kita perlu berbuat sesuatu. Jika tidak Umno akan terus kalah dan akan pupus terus menjelang PRU-16,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.

Ahli MKT itu berkata, dia telah meluahkan sebelum ini bahawa kerjasama dengan DAP adalah amat sensitif kepada akar umbi Umno.

“Jika kita paksa akar umbi kita undi DAP, mereka akan bantah dan besar kemungkinan tidak akan keluar mengundi, atau lebih teruk mereka protes dan undi PN.

“Ini yang telah berlaku di enam negeri ini," katanya.

Selain isu kerjasama dengan DAP, Isham berkata terdapat dua perkara yang menyebabkan kekalahan teruk parti itu pada PRN semalam iaitu berkenaan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi, dan berkaitan pemenjaraan bekas perdana menteri Najib Razak.
"Berkenaan isu presiden yang ditanya oleh akar umbi, saya telah jawab apa yang termampu di sesi-sesi dialog saya. Saya bukan orang presiden, namun saya hormat institusi itu.

“Saya mohon supaya presiden dapat berjumpa akar umbi sendiri sehingga ke peringkat bawah di akar umbi dan berdialog dengan mereka untuk menjernihkan yang keruh dan memperbaiki keadaan.

"Berkenaan Najib, saya telah beberapa kali berkata bahawa jika Najib ada bersama kita berkempen, kita mempunyai peluang yang lebih cerah. Namun, Najib masih di dalam penjara sudah setahun kini, dan walaupun kita dalam kerajaan, belum lagi nampak keadilan untuk Najib," katanya.
Menurutnya, Najib kerap berkata kepadanya bahawa dia bukan mahu kesnya digugurkan, tetapi mahu mendapat perbicaraan yang adil dan ia masih belum berlaku.

"Saya telah cadang supaya kerajaan membenarkan tahanan di rumah untuk Najib sementara dia menjalani proses pengampunan atau perbicaraan semula atau sebagainya.

"Saya harap kita melihat dan berusaha untuk memperbetulkan keadaan. Kita perlu melakukan sesuatu yang drastik, kerana kita kini berada di keadaan yang getir dan kritikal.

“Jika kita tidak berbuat apa-apa, kita dan perjuangan Umno akan lenyap di bumi Allah ini. Kita perlu bangun," tambahnya.

Saturday, August 12, 2023

PN pertahan Terengganu 33

agendaily.com
12/08/2023

Perikatan Nasional (PN) dan PAS mempertahankan Negeri Terengganu pada pilihan raya negeri (PRN) kali ini.

Melalui keputusan tidak rasmi yang disiarkan, gabungan itu mengumumkan kemenangan di Terengganu dengan menyapu bersih kesemua 33 kerusi DUN.

Kemenangan itu membolehkan PN membentuk kerajaan negeri selepas menang semua kerusi Parlimen dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Pengumuman itu dibuat pemimpin Penerangan PAS Terengganu, Naraza Muda di Facebook, sebentar tadi.

Antara kerusi DUN yang telah dimenangi PAS kali ini kerusi Jabi dengan majoriti 4,678 undi, Tepuh (10,890), Buluh Gading (10,858) dan Bukit Tunggal (10,961).

DUN-DUN lain Bukit Payung (10,961), Telemong (295), Manir (11,260), Kuala Berang (5,917), Ajil (6,286), Rantau Abang( 12,922), Kemasik (6,505) dan Cukai (8,106).

Menteri Besar Terengganu sementara, Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar juga berjaya mempertahankan DUN Rhu Rendang dengan majoriti 17,286 undi apabila memperoleh 20,927 undi menewaskan Suhaimi Sulaiman dari Pakatan Harapan (Amanah) yang mendapat 3,641 undi.

Sementara itu di DUN Kijal calon BN, Datuk Seri Ahmad Said tumbang di tangan calon PAS-PN, Datuk Razali Idris aoabila hanya mendapat 9,552 undi sementara Razali mendapat 13,172 undi.

Friday, August 11, 2023

DAP gantung ahli buat ‘ucapan provokatif’

freemalaysiatoday.com
FMT Reporters - 11 Aug 2023

Setiausaha Agung DAP, Loke Siew Fook berkata, program itu dianjurkan Jun lalu dan bukannya ketika tempoh berkempen PRN.
Tangkap layar daripada video tular menunjukkan seorang lelaki mengecam sebuah parti politik kerana membangkitkan isu agama dan kaum.

PETALING JAYA: DAP menggantung seorang ahlinya yang didakwa membuat ucapan berunsur provokatif dalam sebuah majlis parti.

Setiausaha Agung DAP, Loke Siew Fook berkata, siasatan mendapati program itu dianjurkan Jun lalu, bukannya ketika tempoh berkempen PRN sekarang.

“Saya mengarahkan status keahlian individu itu digantung serta-merta. Jawatankuasa Disiplin DAP akan mengambil tindakan susulan.

“Individu berkenaan adalah ahli biasa DAP dan sama sekali tidak mewakili kepimpinan parti,” katanya dalam kenyataan di Facebook.

Beliau berkata, pucuk pimpinan DAP mengutuk ucapan itu yang disifatkannya provokatif dan berunsurkan kata-kata kesat.

Beliau juga mendakwa video itu sengaja ditularkan “pihak tertentu” untuk memecah momentum kempen Pakatan Harapan dan Barisan Nasional untuk PRN esok.

Dalam video itu, seorang lelaki berpakaian jaket DAP dilihat menyampaikan ucapan dalam bahasa Kantonis yang disertakan sarikata mencerca “Parti Serban”.

Katanya, parti itu terkenal kerana memainkan isu agama dan perkauman, selain sering berkata ia akan “menang besar” dalam PRN enam negeri.

“Mereka fikir kami mudah dibuli, tetapi kami tidak takut dengan mereka kerana kami mempunyai sokongan anda.

“Malah, Umno telah tampil meminta permohonan maaf daripada kami. Apa yang lebih kelakar ialah MCA (telah meminta permohonan maaf daripada kami) juga.”

Monday, August 7, 2023

Muhammad Faiz letak jawatan Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi BERSATU

bharian.com.my
Fahmy A Rosli
fahmy.azril@bh.com.my
MUHAMMAD Faiz Na'aman. FOTO arkib NSTP

Kuala Lumpur: Dr Muhammad Faiz Na'aman hari ini mengumumkan peletakan jawatan sebagai Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) BERSATU termasuk berhenti sebagai ahli parti itu.

Beliau turut mengutuskan surat kepada Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin, hari ini mengenai keputusannya itu.

Dalam surat berkenaan, beliau menjelaskan bahawa keputusannya itu adalah secara sukarela dan tidak dipengaruhi mana-mana pihak.

"Keputusan yang saya ambil ini itidak dipengaruhi oleh mana-mana pihaik, dibuat secara sukarela dan berdasarkan prinsip yang saya pegang di mana saya tidak boleh lagi mewakili kepimpinan parti kerana mempunyai pertentangan pendapat, idea serta visi mengenai pengurusan serta hala tuju BERSATU.

"Saya ucapkan terima kasih atas segala peluang yang diberikan kepimpinan parti, selama tujuh tahun saya bersama dalam parti ini, sejak ia ditubuhkan pada 2016," katanya.

Dalam kenyataan berasingan, Dr Muhammad Faiz menjelaskan, pemberhentiannya sebagai ahli parti berkenaan dibuat secara berat hati memandangkan beliau antara orang muda terawal menyertai BERSATU.

Mengakui memainkan peranan secara aktif selain watak terhadap saf kepimpinan parti, beliau sedar jarang diberikan peluang serius untuk 'diperkasakan' sebagai pemimpin pelapis walaupun ketika itu, BERSATU memegang tampuk kekuasaan dalam kerajaan pusat sejak 2018 hingga 2021.

Beliau juga mendakwa, BERSATU sudah terpesong dari objektif awal penubuhannya yang kononnya untuk menggantikan UMNO, dengan memberi lebih ruang kepada ramai orang muda dan muka baharu, terutama mempunyai latar belakang bersih, berkelulusan akademik, dihormati dan mereka yang setia dengan parti dari mula.

"Keputusan kepimpinan parti yang sering kali mengabaikan suara akar umbi, pengasas awal dan teguran jentera bawahan menyebabkan BERSATU mengalami kekalahan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Johor sebelum ini.

"Sejarah itu juga dilihat bakal berulang dalam PRN di enam negeri terutama untuk kerusi BERSATU dalam PRN Selangor sekarang.

"Pemilihan calon yang berat sebelah kepada pihak kartel tertentu serta calon bidan terjun yang baharu dijadikan ahli parti, hanya semata-mata untuk dipertandingkan dalam PRN Selangor telah menyebabkan terjadi pemberontakan lebih kurang sembilan bahagian BERSATU di Selangor," katanya.

Mengulas pemberontakan dalaman itu, beliau berkata, ia mengakibatkan insiden membakar bendera Perikatan Nasional (PN) secara terbuka sebagai tanda protes akar umbi terhadap percaturan Jawatankuasa Pemilihan dan Saringan Calon yang bertanggungjawab terhadap penamaan calon PRN.

Dakwanya lagi, protes tercetus kerana jawatan kuasa berkenaan mengabaikan sentimen penerimaan pihak bahagian dan jentera di lapangan.

"Malah kelemahan Lembaga Disiplin parti yang lambat dan banyak kerenah telah menyebabkan watak-watak yang telah keluar dan mengkhianati parti dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) lalu, boleh kembali dan mendakwa dirinya masih ahli BERSATU untuk dipilih menjadi calon PN pada PRN ini.

"Justeru, tidak menghairankan jika BERSATU tidak lagi menjadi wadah tumpuan penghijrahan mereka dari parti lain atau menjadi sasaran kemasukan anak muda serta orang baharu dalam politik, memandangkan kerapuhan sistem pengurusan keahlian, kedudukan MPT," katanya.

Pada PRU15, Dr Muhammad Faiz pernah bertanding mewakili PN bagi kerusi Parlimen Bagan Datuk dalam pertembungan empat penjuru dengan penyandang kawasan itu, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi (BN), Datuk Seri

Shamsul Iskandar Mohd Akin (PH) dan Tawfiq Ismail (BEBAS).

Bagaimanapun, beliau tewas di kerusi itu apabila hanya memperoleh 8,822 undi.

Disiarkan pada: Ogos 7, 2023 @ 12:34pm

Friday, August 4, 2023

Kemenangan PH-UMNO di Selangor adalah kemenangan bersama kumpulan korup

agendaily.com
04/08/2023
Kerajaan campuran yang terdiri daripada UMNO dan DAP.

Pakatan Harapan (PH) menggunakan naratif kononnya kemenangan di Selangor adalah bukti kejayaan sebuah kerajaan campuran bersama UMNO di peringkat Persekutuan, namun itu bukan realiti yang sebenar.

Sebaliknya kemenangan PH bersama UMNO di Selangor adalah kemenangan bersama kumpulan korup yang bersekongkol mengabaikan prinsip yang selama ini diperjuangkan tetapi digadaikan oleh pemimpin mereka asalkan dapat berkuasa dan jawatan semata-mata.

Lihat apa yang berlaku di peringkat kerajaan Persekutuan, seorang yang mempunyai 47 kes rasuah dan naik turun mahkamah diberikan jawatan tinggi dalam kerajaan campuran oleh Perdana Menteri.

Malah, tiada langsung rasa segan silu atau malu kepada rakyat yang menyokong mereka semasa Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) lalu apabila boleh duduk bersama dengan musuh yang mereka gelar sebagai ‘Hoi Ya Hoi’ atau penyamun dalam kempen-kempen sebelum ini.

Lebih mengecewakan adalah apabila pemimpin PH pula dilihat seakan berusaha bersungguh-sungguh untuk membersihkan dan menyucikan UMNO yang sebelum ini mereka dakwa penyamun terbesar merompak hasil negara dan terpalit dengan banyak kes rasuah.

Dalam ceramah dan kempen sepanjang Pilihan Raya Negeri (PRN), kempen PH tertumpu ke arah untuk membela dan mempertahankan rakan politik baharu mereka, UMNO yang diketahui umum terpalit banyak dengan skandal salah guna kuasa dan rasuah.

Jika sebelum ini UMNO berjaya ditendang keluar daripada menjadi parti pemerintah di Selangor pada 2008, kini PH nampaknya sedang berusaha keras untuk memastikan UMNO kembali menjadi sebahagian dalam kerajaan negeri tersebut.

Sudah tiga penggal kerajaan negeri Selangor diperintah tanpa kehadiran wakil UMNO, tetapi kini bersama kerajaan campuran nampaknya PH jika menang PRN nanti bakal membentuk sebuah pentadbiran dipenuhi dengan kumpulan penyamun yang sebelum ini mereka sendiri beri gelaran.

Sepanjang tiga penggal memerintah, kerajaan negeri Selangor diperintah dengan aman dan tanpa terpalit dengan skandal rasuah yang besar, malahan hasil dan rizab juga semakin meningkat berbanding semasa UMNO memerintah sebelum 2008.

Namun, senario politik sudah berubah selepas terbentuknya kerajaan campuran PH-UMNO di peringkat Persekutuan dan bakal berkongsi kuasa dengan rakan politik baharu yang mereka anggap seteru sebelum ini.

Walaupun UMNO hanya memenangi lima kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) semasa PRU-14 lalu, namun dalam rundingan kerusi kali ini mereka berjaya mendapat jumlah kerusi yang lebih banyak untuk ditandingi sebanyak 12 kerusi.

Jika UMNO berjaya memenangi ke semua 12 kerusi DUN Selangor, ia secara tidak langsung bakal menyaksikan parti itu juga menjadi dominan dalam kerajaan negeri.

Apabila mempunyai banyak kerusi yang dimenangi selepas PRN nanti, sudah semestinya PH juga terpaksa akur dan memberi lebih banyak jawatan kepada UMNO dalam pembentukan kerajaan negeri Selangor nanti.

Malah, pemimpin akar umbi juga pastinya mengintai jawatan ahli majlis dan juga anak syarikat negeri untuk mereka dilantik sekiranya menang PRN bersama PH nanti.

Apabila menjadi rakan kongsi dengan PH, UMNO kini mempunyai peluang untuk kembali berada dalam kerajaan negeri selepas tiga penggal hanya menjadi pembangkang di negeri tersebut.

Sebelum ini, seorang pemimpin lama DAP Selangor, Tony Pua sendiri mengeluarkan kenyataan berhubung kerjasama dengan UMNO yang dianggap sebagai pakatan ‘korup’ selepas membentuk kerajaan campuran.

Dalam konteks PRN Selangor kali ini, sekiranya PH-UMNO memenangi banyak kerusi dan berjaya membentuk kerajaan negeri, ia juga bermakna kemenangan bersama dengan kumpulan korup yang sebelum ini ditentang rakyat di Selangor.

Terpulang kepada pengundi Selangor untuk membuat keputusan pada 12 Ogos ini, mereka boleh memilih untuk terus menyokong PH pada PRN nanti dan melihat kembali kerajaan negeri diperintah dan ditadbir bersama dengan parti korup yang sebelum ini mereka tendang keluar.

Pilihan di tangan rakyat Selangor, sama memilih sebuah kerajaan PH-UMNO atau menghalang sebuah pakatan korup di Selangor dengan memilih gabungan Perikatan Nasional (PN) untuk mentadbir negeri tersebut selepas PRN 12 Ogos ini.

Tuesday, August 1, 2023

Kerajaan Kelantan teruskan bas percuma bawa mahasiswa balik undi

freemalaysiatoday.com
FMT Reporters 
01 Aug 2023

Ahmad Yakob berkata, perkhidmatan itu bertujuan membantu pelajar kurang berkemampuan pulang mengundi.
Ahmad Yakob berkata, perkhidmatan bas percuma itu untuk membawa pelajar universiti pulang mengundi, bukannya bertujuan membeli undi. (Gambar Facebook)

PETALING JAYA: Kerajaan Kelantan meneruskan perkhidmatan bas percuma bagi membawa pelajar universiti pulang mengundi pada 12 Ogos ini, walaupun timbul kebimbangan seperti disuarakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Menteri Besar Kelantan, Ahmad Yakob berkata perkhidmatan bas percuma itu tidak dibatalkan kerana kerajaan negeri sudah berjanji kepada rakyat dan ia bukan bertujuan membeli undi, sebaliknya tanggungjawab negeri bagi membantu pelajar kekurangan wang untuk pulang mengundi.

“Kita yang hanya menyediakan perkhidmatan bas percuma pun dikata mahu membeli undi sedangkan kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Zahid Hamidi berhubung pemberian geran di Terengganu jelas mahu membeli undi, namun dikatakan sebaliknya.

“Jika macam itu pun bukan rasuah, jadi yang sebenar rasuah adalah macam mana?” katanya menurut Berita Harian selepas pelancaran program Perikatan Nasional “Kelantan Maju Rakyat Sejahtera” di Tanah Merah malam tadi.

Minggu lalu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki menasihatkan perkhidmatan bas percuma tidak menawarkan untuk membawa pengundi pulang.

Katanya, perkhidmatan bas percuma yang ditawarkan calon atau parti politik akan menimbulkan persoalan kerana ada “perkara boleh berlaku dalam bas yang kita tidak akan tahu”.

Jumaat lalu, Zahid mengumumkan geran untuk belia di Terengganu dan menggesa mereka mengundi “gelombang biru dan merah” pada PRN bulan depan.

Katanya, jumlah diperuntukkan itu mungkin ditambah, bergantung kepada keputusan 12 Ogos nanti.

Tetapi, Azam kemudian menyifatkan geran RM350,000 yang diumumkan Zahid kepada belia Terengganu tidak menyalahi undang-undang atau berunsur rasuah kerana sebagai kerajaan memerintah, Putrajaya berhak memberi inisiatif yang difikirkan wajar kepada rakyat.

Monday, July 31, 2023

‘Penyokong Bossku’: Kami akan tetap sokong PN

malaysiakini.com
B Nantha Kumar
Diterbitkan: Jul 31, 2023
Persatuan yang mendakwa menyokong bekas perdana menteri Najib Abdul Razak bertegas akan tetap menyokong Perikatan Nasional (PN) pada pilihan raya enam negeri hujung minggu depan.

Bercakap kepada Malaysiakini, Pengerusi Pertubuhan Jalinan Perpaduan Negara Malaysia Syed Muhammad Imran Syed Abdul Aziz, berkata penyokong Najib tidak akan sesekali mengubah pendirian tersebut.

"PRN ini jelas kami penyokong Bossku akan menyokong PN.

“Tiada siapa boleh ubah pendirian kami kerana kami tidak dibiayai oleh sesiapa mahupun Najib kerana perjuangan kami ikhlas kepadanya.

"Penyokong Bossku menegaskan tidak menunggang nama Najib tetapi mereka telah merasakan tertipu dengan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi," katanya.

Dia juga menyoal kenapa kumpulan itu tidak digelar “menunggang” nama Najib, semasa membuat laporan SPRM dan polis untuk menuntut “keadilan” buat Najib.

"Takkan saya ingin beritahu saya berjumpa Najib seperti mana Zahid Hamidi umumkan.

"Biarlah ia kekal sulit tetapi mesej sampai dengan jelas pada Najib di mana penyokong Bossku akan bersama PN dan tidak melibatkan mana-mana individu," katanya.

Dia berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan anak Najib, Nooryana Najwa bahawa ayahnya tidak pernah meminta penyokongnya mengundi PN.
Nooryana Najwa Najib
Nooryana juga berkata Syed Imran dan bekas pemimpin Pemuda Umno Wan Azri Wan Deris atau Papagomo tidak mewakili bapanya mahupun penyokong Najib.

Tambahnya, pendirian Najib hanya akan disampaikan di laman sosial rasminya melalui mesej daripada peguamnya.

Syed Muhammad bagaimanapun menyoal “di mana Najib ada menyatakan perlu sokong Kerajaan Perpaduan”?

Khamis lalu, Syed berkata dalam perjumpaan "penyokong" Najib, mereka kecewa dengan Zahid yang dianggap pengecut dan tiada keinginan untuk mencari keadilan buat Najib.

Syed dijangka mengadakan satu lagi acara malam ini bersama bersama Papagomo.

Najib kini berada di Penjara Kajang, menjalani hukuman penjara 12 tahun selepas disabitkan atas kesalahan pengubahan wang haram berjumlah RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.

Sunday, July 30, 2023

Umum peruntukan kempen PRN, Ahmad Zahid langgar larangan 3C – Bersih

satuberita.my
By SatuBerita
-July 30, 2023
Gambar hiasan

TINDAKAN Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan peruntukan khas kepada tiga badan sosial di Terengganu telah melanggar dua daripada tiga larangan 3C iaitu No Conditions (tidak bersyarat), No Campaign (tidak berkempen) dan No Candidates (tidak bawa calon).

Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) berkata, Ahmad Zahid dalam kerajaan Persekutuan sebagai Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah secara jelas mengenakan syarat bahawa jumlah peruntukan itu akan dinaikkan sekiranya parti kerajaan menang dalam pilihan raya negeri (PRN) pada 12 Ogos ini.

“Peruntukan yang bukan untuk semua badan yang sejenis bagi seluruh negara, telah melanggar prinsip tidak berkempen, manakala kenyataan mengaitkan jumlah peruntukan kepada kemenangan PRN, terang-terang melanggar prinsip tidak bersyarat.

“Ini berlainan dengan pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam Ekonomi Madani yang merangkumi seluruh rakyat Malaysia.

“Tidak boleh ada pengumuman khas yang disasarkan kepada negeri-negeri yang menghadapi PRN untuk menarik sokongan. Maka sebarang pengumuman sebelum ini yang bersyarat, termasuk kenyataan Zahid di Terengganu, mesti dibatalkan serta-merta,” tegas Bersih dalam satu kenyataan.

Ahmad Zahid dalam ucapan semasa program Sentuhan Kasih Desa di Terengganu pada Jumaat malam mengumumkan tambahan peruntukan RM100,000 kepada Persatuan Belia Gabungan Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah).

Selain itu, beliau juga mengumumkan peruntukan sebanyak RM250,000 kepada Majlis Belia Terengganu dan RM200,000 bagi persatuan permotoran di negeri tersebut.

Ujar Bersih, Perdana Menteri dan Kerajaan Madani perlu ingat bahawa pelanggaran 3C akan menjejaskan kredibiliti kerajaan dan dilihat sebagai satu propaganda kepartian serta bukan idealisme untuk seluruh negara.

“Larangan 3C telah dikemukakan oleh Bersih pada 20 Julai lalu untuk mengawal kerajaan yang tidak bersifat sementara iaitu kerajaan Persekutuan dalam PRN dan kerajaan-kerajaan negeri semasa pilihan raya umum (PRU).

“Larangan 3C adalah untuk menutup lubang bagi kerajaan bukan sementara tanpa melarang mereka daripada melaksanakan amanah-amanah masing-masing.

“Bersih akan sentiasa bersikap adil, seimbang dan berkecuali dalam memantau tingkah laku semua parti politik dan wakil rakyat,” katanya, lapor Sinar Harian.

PM: Zahid umum peruntukan tiada kena-mengena PRN

malaysiakini.com
Diterbitkan: Jul 30, 2023 

Perdana Menteri Anwar Ibrahim menafikan pengumuman peruntukan oleh Timbalannya Ahmad Zahid Hamidi pada Jumaat mempunyai kaitan dengan pilihan raya.

Katanya, kerajaan persekutuan masih beroperasi dan akan terus membuat pengumuman penting.

Ini termasuk pengembangan RM50 juta kepada inisiatif Rahmah, yang diumumkan Anwar hari ini.

"Seperti yang saya umum tadi (peruntukan perluas program Rahmah), dia (pengumuman Zahid) tak ada kena mengena dengan PRN," katanya seperti dipetik Berita Harian.
Anwar berkata demikian ketika diminta mengulas maklum balas terhadap pengumuman Zahid itu.

Zahid yang juga menteri pembangunan luar bandar dan wilayah mengumumkan pada Jumaat bahawa kementeriannya akan memberi RM250,000 kepada Majlis Belia Terengganu dan RM200,000 kepada pasukan motosikal di seluruh negeri itu.

Dia berkata akan ada lebih banyak bantuan disalurkan jika belia pada acara itu mengundi "gelombang biru dan merah" dalam pilihan raya negeri 12 Ogos.

Bagaimanapun, Anwar berkata walaupun ada yang mencadangkan agar kerajaan tidak membuat apa-apa pengumuman semasa tempoh kempen, ini tidak boleh dilakukan.

"Saya perdana menteri jaga negara sepenuhnya, kalau penting kita umum.

"Tapi saya sudah beritahu tak boleh guna jentera negeri kempen di negeri mulai semalam, hari penamaan calon sehingga hari mengundi. Itu keputusan jemaah menteri," katanya lagi.

Pengundian PRN akan berlangsung pada 12 Ogos depan.

Peruntukan k'jaan diumum Zahid tiada unsur rasuah - KP SPRM

malaysiakini.com
Diterbitkan: Jul 30, 2023 
Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki tidak melihat pengumuman Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi mengenai geran RM450,000 di Terengganu sebagai satu bentuk sogokan pilihan raya.

Katanya, ini kerana geran tersebut merupakan peruntukan daripada kerajaan persekutuan.

"Ini adalah sebuah kerajaan pemerintah yang boleh melaksanakan inisiatif yang difikirkan wajar untuk rakyat.

"Pada hemat saya, tiada masalah berhubung isu pemberian geran ini kerana ia merupakan inisiatif kerajaan.
"Jadi kalau inisiatif peruntukan yang telah diluluskan kerajaan, ia tiada unsur rasuah," katanya seperti dipetik Sinar Harian.

Zahid, yang juga menteri pembangunan luar bandar dan wilayah, sebelum ini dikritik kerana ucapannya ketika mengumumkan peruntukan yang disediakan kementeriannya pada satu majlis Jumaat lalu.

Selepas mendedahkan kementerian akan memberi RM250,000 kepada Majlis Belia Terengganu dan RM200,000 kepada pasukan bermotosikal di seluruh negeri itu, Zahid kemudian meminta belia yang hadir pada majlis itu mengundi “gelombang biru dan merah” pada pilihan raya negeri 12 Ogos ini.

Presiden Muda Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang membidas ucapan Zahid itu tidak berpuas hati dengan kenyataan SPRM.
"Bantuan diumumkan ditengah-tengah musim kempen pilihanraya dengan syarat, undi mereka.

"Ini jelas sogokan untuk beli undi. Jangan normalisasikan rasuah.

“Apa yang salah tetap salah," katanya pada ciapan di Twitter hari ini.

Zahid telah menafikan dia mahu menormalisasikan rasuah atau pengumumannya sehari sebelum hari penamaan calon itu sebagai sogokan kepada pengundi.

Mohd Amar dakwa difitnah dalam kenyataan adik Nik Aziz

malaysiakini.com
N Faizal Ghazali
Diterbitkan: Jul 30, 2023 8:15 AM
Naib Presiden PAS Mohd Amar Abdullah mendakwa dirinya menjadi mangsa fitnah adik kepada bekas menteri besar Kelantan berhubung ketiadaan nama Nik Mohammad Abduh Nik Aziz sebagai calon pilihan raya negeri (PRN) Kelantan bagi DUN Chempaka.

Mengulas kenyataan Nik Din Nik Aziz, jelasnya, nama bekas anggota Parlimen Bachok itu sedari awal lagi tidak tersenarai sebagai calon kerusi berkenaan.

“Itu fitnah bila mengatakan saya yang menghalang sedangkan dia (Nik Din) tidak terbabit dalam mesyuarat pimpinan parti selain tiada jawatan dalam parti.

“Saya tidak tahu dari mana sumbernya yang mendapat maklumat sedemikian termasuk menyentuh surat daripada Presiden PAS Abdul Hadi Awang,” katanya.

Dia berkata demikian pada sidang media selepas majlis memperkenalkan calon-calon DUN dalam Parlimen Pengkalan Chepa di Kota Bharu, malam tadi.

Semalam, Malaysiakini melaporkan Nik Din yang merupakan adik kepada Allahyarham Nik Abdul Aziz Nik Mat mendedahkan Mohd Amar adalah punca menyebabkan Nik Abduh tidak dicalonkan pada PRN kali ini.

Nik Din turut mendedahkan, nama anak saudaranya itu pada awalnya disenaraikan sebagai calon namun dihalang Mohd Amar dan menyatakan Abdul Hadi sudah menghantar surat meminta PAS Kelantan menyenaraikan nama Nik Abduh.

Dakwanya, tindakan itu dibuat kerana Mohd Amar yang juga calon DUN Panchor tidak mahu keluarga Nik Abdul Aziz bertapak di kawasan Pengkalan Chepa.

Dakwaan itu dibuat menerusi satu rakaman video berdurasi dua minit 33 saat yang tular di whatsApp sejak petang semalam.

Sementara itu , Mohd Amar yang juga timbalan menteri besar sementara Kelantan berkata, isu berkenaan (pencalonan) sudah selesai selepas Nik Abduh sendiri dan Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man sudah memberi penjelasan.

“Tuan Ibrahim sebelum ini sudah jawab Nik Mohamad Abduh tidak mahu bertanding dan Nik Abduh sendiri juga mengatakan tidak berhasrat dan tiada masalah tidak bertanding kerana mahu menguruskan sekolah agama peninggalan ayahnya.

“Jadi, kenapa orang lain yang perlu membuat tuduhan dan sibuk? Bagi saya perkara itu tidak betul,” katanya.

Rentetan isu tersebut Mohd Amar bagaimanapun yakin ia tidak menjejaskan sokongan pengundi di DUN Chempaka dan Panchor.

“Saya tidak berhasrat untuk mengambil sebarang tindakan kerana merasakan dia tidak mendapat maklumat yang betul. Fokus kita adalah menang dalam PRN.

“Bagi saya isu seperti ini biasalah terutama ketika PRN dan kita perlu hadaplah. Namun saya yakin pengundi pun bijaksana kerana kita sokong PAS, bukan sokong individu,” jelasnya.

Friday, July 21, 2023

Tajuddin tak mahu rayu lagi, enggan kempen untuk Umno pada PRN

freemalaysiatoday.com
Anne Muhammad 
21 Jul 2023

Tajuddin telah mengemukakan rayuan sebanyak empat kali bagaimanapun tidak dibalas, sambil menambah sudah tidak mahu merayu lagi.
Sebelum ini, Tajuddin Abdul Rahman menggesa Presiden Umno Zahid Hamidi menarik balik penggantungan keahliannya agar beliau boleh menggempur pesaing Umno.

PETALING JAYA: Ahli politik veteran, Tajuddin Abdul Rahman enggan berkempen untuk Umno pada PRN Ogos depan kerana parti berkenaan tidak memberi maklum balas berkenaan rayuan menarik balik penggantungan keahliannya.

Tajuddin berkata, beliau mengemukakan rayuan sebanyak empat kali namun tidak dibalas, sambil menambah sudah tidak mahu merayu lagi.

“Itulah saya cakap bagi balik lah keris saya itu – keahlian saya itu. Penggantungan keahlian saya itu kenapa tak ada respon? Kalau nak suruh saya kempen, tapi penggantungan saya itu lepaskan lah,” katannya kepada FMT.

“Macam mana nak buat kerja? Nak tolong (kempen) kalau saya pun ‘diikat’, kaki saya ‘diikat’, tangan saya ‘diikat’, nak buat apa?”

Bekas Ahli Parlimen Pasir Salak itu berkata demikian ketika diminta mengulas kesediaannya berkempen pada PRN bulan depan, termasuk status rayuan terhadap penggantungan keahlian enam tahun.

Sebelum ini, Tajuddin menggesa Presiden Umno Zahid Hamidi menarik balik penggantungan keahliannya agar beliau boleh menggempur pesaing Umno.

“Saya dalam Umno 50 tahun, daripada jadi ketua pemuda pada usia 25 tahun. Mereka buat saya macam ini apa salah saya? Takkan tak boleh mengkritik, bagi pandangan, bagi nasihat, takkan tak boleh ditegur? Nak jadi apa parti kalau tak boleh ditegur?” katanya.

Tajuddin bagaimanapun tidak kecewa dengan Umno, sebaliknya yang bersalah adalah pemimpin yang mengendalikan parti berkenaan.

“Nampak pemimpin ini tak ada kepentingan parti, lebih kepentingan peribadi. Nak kedudukan, pangkat, tak fikirkan parti. Mereka tahu parti dalam keadaan lemah pun mereka tak kisah, mereka rasa yakin sahaja, macam sebelum PRU15.

“Jadi kerajaan menumpang pun rasa hebat lagi, apa benda ni? Di mana maruah Umno,” katanya.

Tajuddin turut menolak untuk menyertai parti lain ketika ini.

Sunday, July 16, 2023

PRN Negeri Sembilan: Parti Amanah enggan lepas kerusi DUN Lenggeng kepada UMNO

agendaily.com
16/07/2023
Datuk MK Ibrahim Abd Rahman.

Kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Lenggeng tidak akan diberikan kepada UMNO, kata Parti Amanah Negeri Sembilan.

Pengerusi Amanah Negeri Sembilan, Datuk MK Ibrahim Abd Rahman menegaskan kerusi DUN Lenggeng yang dimenangi mereka sebelum ini tidak akan dilepaskan kepada UMNO kerana sudah bersetuju secara prinsip pembahagian kerusi dibuat secara status quo.

Menurutnya, jika ada perubahan sekali pun ia semestinya diputuskan dalam Majlis Pimpinan Sekretariat Kerajaan Perpaduan dan kemudian akan dimaklumkan kepada ketua setiap parti.

“Jadi buat masa ini kita tetap dengan pendirian yang Amanah akan bertanding kerusi DUN Lenggeng kerana secara prinsipnya semua parti telah bersetuju pembahagian kerusi dibuat secara status quo.

“Saya pun dah rujuk dengan Presiden Amanah, Datuk Seri Mohamad Sabu dan beliau turut mengesahkan yang Amanah Negeri Sembilan akan bertanding mempertahankan tiga kerusi yang kita menang pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) iaitu DUN Lenggeng, Kuala Klawang dan Paroi,” katanya dipetik laporan Sinar Harian.

Selain itu, beliau juga berkata Parti Amanah juga akan menamakan calon di tiga DUN berkenaan yang akan diumumkan tidak lama lagi.

Beliau turut meluahkan rasa kesal dengan pengumuman yang dibuat Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan yang kononnya Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah membuat keputusan memberikan kerusi itu kepada UMNO.

“Bagi saya itu kenyataan provokasi dan boleh mengundang persepsi tidak baik terhadap PH dan BN yang seolah-olah menunjukkan kita berpecah-belah. Semestinya ia akan diambil kesempatan oleh pihak lawan.

“Selagi bukan Perdana Menteri yang umumkan, saya tidak akan percaya yang kerusi Lenggeng diberi kepada UMNO,” katanya.

Friday, July 14, 2023

Undi PH di Selangor bermakna beri laluan UMNO berkuasa semula: Ulasan

agendaily.com
14/07/2023
UMNO bersama PH menghadapi PRN Selangor pada 12 Ogos.

Pengundi Selangor bakal membuat perhitungan pada 12 Ogos depan sama ada untuk mengekalkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang kini bersama UMNO atau membuat pilihan kerajaan negeri baharu bersama Perikatan Nasional (PN).

Selepas 15 tahun rakyat Selangor hidup bersama kerajaan negeri tanpa UMNO di dalam pentadbirannya, namun senario itu akan berubah jika pengundi memilih PH pada Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini kerana ia bermakna mereka juga akan mengundi parti diketuai Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Pengundi Selangor pada 2008 membuat kejutan apabila menendang keluar UMNO yang sejak sekian lama memerintah kerajaan negeri dengan menggantikan kerajaan baharu Pakatan Rakyat (PR) ketika itu.

Ketika bersama PR ketika itu yang terdapat PAS di dalam gabungan itu, UMNO berjaya disingkirkan dengan hanya mendapat 20 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

Apabila UMNO-Barisan Nasional (BN) disingkirkan pada 2008 itu, ia juga menyaksikan pelbagai skandal dan pendedahan kes rasuah yang dilakukan oleh pemimpin parti tersebut sepanjang mereka berkuasa.

Rakyat Selangor juga tidak lupa kes rasuah melibatkan bekas Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Khir Toyo yang disabitkan disabitkan atas pertuduhan menyalah guna kuasa sebagai penjawat awam bagi memperoleh dua lot tanah dan sebuah banglo di Shah Alam bernilai RM6.5 juta pada harga RM3.5 juta pada 2007 untuk dirinya dan isteri.

Kes Khir tersebut adalah permulaan kepada kejatuhan UMNO di Selangor dan pada PRN 2013 juga menyaksikan gabungan PR sekali lagi berjaya mengekalkan kemenangan mereka.

Pada 2013, jumlah kerusi dimenangi PR juga bertambah daripada hanya memenangi 36 kerusi menjadi 44 kerusi DUN, sementara UMNO-BN hanya menang 20 kerusi.

Kemenangan PR di Selangor adalah disebabkan sentimen kuat pengundi di negeri itu yang menolak UMNO-BN dan pada 2018 sekali lagi pengundi memberi kepercayaan kepada Pakatan Harapan (PH), bukannya UMNO untuk mentadbir negeri tersebut.

Berbeza dengan PRN 2008 dan 2013, PH masuk bertanding tanpa PAS berada dalam gabungan tersebut kerana PR sudah terbubar.

PH adalah gabungan baharu yang terdapat di dalamnya, Bersatu dan masuk PRN Selangor menentang PAS dan UMNO ketika itu.

UMNO-BN mengalami kekalahan paling memalukan dalam sejarah pada PRN 2018 apabila hanya berjaya memenangi empat kerusi DUN sahaja.

Tiga PRN Selangor sebelum ini membuktikan sentimen rakyat yang menolak UMNO-BN dan apa sahaja anasir yang mempunyai kaitan dengan parti tersebut.

Rakyat Selangor memberi sokongan kepada mana-mana gabungan parti politik asalkan tidak terdapat elemen UMNO, bagaimanapun pada PRN 2023 kali ini senario tersebut sudah berubah.

PH mengambil risiko untuk bekerjasama dengan UMNO pada PRN yang akan berlangsung 12 Ogos depan, pembahagian kerusi dibuat antara PH dengan UMNO-BN dan sudah semestinya kerusi yang paling banyak akan menjadi milik parti komponen PH yang terdiri daripada PKR, DAP dan Amanah.

Bagaimanapun, PH kini sudah bekerjasama dengan UMNO, musuh tradisi politik sejak sekian lama atas alasan kononnya kerajaan perpaduan.

Retorik politik dimainkan untuk menyejukkan hati pengundi yang tertipu dengan helah pemimpin PH yang mahu berkuasa di peringkat Persekutuan.

Realitinya, langkah PH untuk bekerjasama dengan UMNO di Selangor akan membuka laluan kepada kembalinya parti yang suatu ketika dahulu merompak dan menyakau hasil bumi di negeri tersebut.

PH kini memberi nyawa untuk UMNO kembali berkuasa di Selangor dan sudah pastinya jawatan penting dalam kerajaan negeri juga sedang diintai pemimpin UMNO di negeri tersebut yang sudah bertahun-tahun menjadi pembangkang.

Peluang kini terhidang buat pemimpin UMNO untuk membuat ‘comeback’ di Selangor dan langkah PH bekerjasama dengan mereka adalah permulaan langkah untuk mereka menguasai negeri tersebut selepas PRN nanti.

PH beri laluan kepada Umno di 'satu atau dua' kerusi S'gor - Amirudin

malaysiakini.com
Hariz Mohd
Diterbitkan: Jul 14, 2023 11:45 AM
PH bersetuju memberi laluan kepada BN di beberapa kerusinya pada pilihan raya negeri Selangor akan datang, kata Amirudin Shari.

Bercakap dalam temu bual di sebuah stesen radio yang disiarkan pagi ini, pengerusi PH Selangor itu berkata ini dilakukan atas semangat perpaduan tetapi tidak memberi butiran khusus kecuali sekadar berkata, ia melibatkan "satu atau dua kerusi".

“Sudah tentu, kita terpaksa mengalah atas semangat perpaduan. (Tetapi) Saya tidak dalam kedudukan untuk menjawab. Pengerusi gabungan kerajaan perpaduan akan mengumumkannya (senarai calon).

“Kami lepaskan apa yang kami anggap untuk setiap parti sebelum ini pada pilihan raya umum ke-14... Sudah tentu kerusi yang dimenangi Bersatu ketika bertanding di bawah bendera PKR.

"Dan satu atau dua (kerusi PH) kepada Umno atas semangat perpaduan," katanya pada temu bual di segmen Breakfast Grille di radio BFM.

Amirudin, yang juga menteri besar Selangor, juga cuba mengelak daripada mengulas tentang senarai calon PH-BN untuk Selangor apabila ditanya oleh pengacara program jika akan ada kejutan.

Adun Sungai Tua itu mendakwa dia belum melihat senarai calon, sambil menambah bahawa PH Selangor hanya mengemukakan cadangan mereka kepada kepimpinan pusat gabungan itu berdasarkan pencalonan daripada bahagian.

“Ia semata-mata senarai PH dan Umno. Tetapi saya belum melihatnya lagi. Kami akan mengadakan mesyuarat pada 16 Julai ini.

“Ya, (kami kemukakan) cadangan, tetapi ini belum muktamad. Saya tidak boleh umum, saya tidak boleh mengulas tentang senarai itu.

“Sudah tentu, presiden ada hak, pengarah pilihan raya negara kita Rafizi (Ramli) ada hak. Kita hanya susun calon-calon dari peringkat bahagian,” katanya.

Pada wawancara itu, Amirudin juga membidas slogan “Selangor Baharu” yang dicetuskan oleh Perikatan Nasional (PN).

Dia memberitahu BFM bahawa tiada perkara baharu dengan apa yang ditawarkan PN, terutama dengan rancangannya untuk menampilkan beberapa bekas pemimpin Umno.

“Ini bukan ‘baru’ atau perubahan dalam kepimpinan. Bagi saya, propaganda Selangor Baharu hanyalah kitar semula,” kata Amirudin sambil menambah dia bagaimanapun tidak mengambil mudah cabaran PN.

Menurut menteri besar itu, PH dan BN masih perlu menangani isu pemindahan undi antara kedua-dua parti yang pernah menjadi seteru utama.

Beberapa tinjauan menunjukkan bahawa penyokong PH lebih bersedia untuk memberikan sokongan kepada calon BN, tetapi sebaliknya, bilangan kumpulan yang belum membuat keputusan juga masih tinggi.

“... Saya rasa kita perlu menjelaskan kepada jentera kita, teruskan menjelaskan kepada pengundi betapa pentingnya perpaduan dan untuk sejajar dengan kerajaan persekutuan untuk pemulihan ekonomi.”

[Baca berita penuh]

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-