Diterbitkan: Dec 11, 2022 8:18 PM
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata usul undi percaya kepadanya adalah bertujuan membolehkan beliau memimpin negara dengan mandat yang jelas dan berdasarkan sokongan majoriti ahli parlimen.
Anwar berkata beliau menjelaskan perkara itu semasa menghadap Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah baru-baru ini.
"Dari segi undang-undang, ia tidak diperlukan. Pendapat Peguam Negara juga tidak perlu sebab majoritinya jelas dan kuasa Yang di-Pertuan Agong juga jelas.
"Yang di-Pertuan Agong menerima pandangan peguam negara (dan) bertanya saya selaku perdana menteri apakah perdana menteri merasakan perlu usul undi percaya kerana jumlahnya sudah jelas, pengakuan daripada Pakatan Harapan (PH), Barisan Nasional (BN), Gabungan Parti Sarawak, Gabungan Rakyat Sabah dan beberapa parti kecil lain.

"Patik yakin akan memperoleh (sokongan), andai kata tidak peroleh, patik akan tunduk kepada suara rakyat," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Pertemuan Mahabbah bersama Ulama dan Asatizah di Seri Perdana, Putrajaya hari ini yang turut dihadiri Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar.
Anwar berkata Al-Sultan Abdullah bersama Raja-Raja Melayu juga memainkan peranan berlandaskan Perlembagaan Persekutuan dalam menyelesaikan kemelut yang berlaku selepas Pilihan Raya Umum ke-15 walaupun dipertikai oleh sesetengah pihak.

“Kemudian ada usaha sambilan untuk dapatkan akuan bersumpah dan ini terus berlaku dalam tempoh yang ditetapkan (Yang di-Pertuan) Agong sehingga dua petang. Jadi, berapa pun jumlah diperoleh dimuktamadkan dalam waktunya.
“Sepertimana dalam perlumbaan, dia boleh potong kita di pusingan pertama, kita potong dia di pusingan ketiga. Tapi yang pentingnya ialah garis penamat. Ternyata saya peroleh jumlah yang besar kerana orang yang beri pengakuan sebelumnya telah menarik balik sebelum dua petang,” katanya.
Perdana Menteri berkata beliau memilih untuk menjelaskan situasi itu selepas diminta oleh Al-Sultan Abdullah bagi mengelakkan kekeliruan dalam kalangan rakyat terutama berkaitan isu yang boleh menyinggung kedudukan Raja-Raja Melayu.

Berdasarkan Notis Mesyuarat Pertama yang dikeluarkan oleh Setiausaha Dewan Rakyat Dr Nizam Mydin Bacha Mydin untuk edaran kepada ahli-ahli parlimen, usul itu adalah yang kelapan di bawah aturan urusan mesyuarat.
Anwar, semasa sidang media sulung selepas mengangkat sumpah jawatan pada 24 Nov lepas, berkata satu usul undi percaya akan dibentang dalam persidangan Parlimen pada 19 Dis ini bagi menamatkan kemelut berhubung soal keabsahan beliau selaku Perdana Menteri ke-10.
- Bernama

No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.