Diterbitkan: Jan 30, 2023 10:55 PM
Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Muhyiddin Yassin berkata kesilapan demi kesilapan dilakukan oleh Anwar Ibrahim sejak dia dilantik sebagai perdana menteri.
Menurutnya janji tatakelola yang baik telah dikhianati apabila Anwar melantik Ahmad Zahid Hamidi yang sedang berhadapan dengan tuduhan jenayah di mahkamah sebagai timbalannya.
"Ini dilakukan semata-mata kerana membalas "budi" Zahid yang berjaya memaksa ahli-ahli parlimen BN memberi sokongan kepada Anwar sebagai Perdana Menteri.
“Bukan setakat itu sahaja, janji perdana menteri tidak memegang jawatan Menteri Kewangan juga dibuang ke laut apabila Anwar melantik dirinya sendiri sebagai Menteri Kewangan. Ini satu lagi kesilapan Anwar yang tanpa segan silu bercakap tak serupa bikin,” katanya dalam catatan di Facebook.
Terbaru, menurut Muhyiddin, Anwar melantik anaknya sendiri, Nurul Izzah sebagai Penasihat Kanan Ekonomi dan Kewangan kepada perdana menteri itu.
"Tidak pernah berlaku dalam sejarah Malaysia seorang perdana menteri melantik anak sebagai penasihat. Pelantikan ini menjadikan slogan reformasi yang dilaungkan oleh Anwar sejak lebih 20 tahun lalu sebagai omongan kosong.
“Belum sampai 100 hari memerintah, Anwar telah mengkhianati semangat perjuangan reformasi yang didukung oleh penyokong-penyokongnya sendiri,” kata bekas perdana menteri itu.
‘Tak rela lihat maruah negara tercalar’
Menurut Muhyiddin sebagai pemimpin parti pembangkang dia boleh saja mengambil kesempatan daripada kesilapan demi kesilapan yang dilakukan oleh Anwar dan kerajaannya.
"Tetapi sebagai rakyat biasa, saya tidak rela melihat maruah negara tercalar kerana keterlanjuran perdana menteri.
“Masih belum terlambat untuk Anwar memperbaiki keadaan,” tulisnya.
Justeru Muhyiddin menggesa Anwar meletakkan jawatan sebagai menteri kewangan dan menumpukan tugas sebagai perdana menteri untuk membantu negara dan rakyat mengharungi masa yang mencabar.
Katanya, Anwar juga perlu mengarahkan Ahmad Zahid supaya bercuti sehingga kes mahkamah yang dihadapinya selesai.
"Malulah rakyat Malaysia jika beliau (Zahid) ke luar negara bertemu pemimpin dunia atas tugasan rasmi sebagai timbalan perdana menteri sedangkan kesnya masih dibicarakan di mahkamah.
“Apa agaknya tajuk berita di negara yang dilawatinya,” ujarnya.
Selain itu Muhyiddin berkata Anwar perlu menasihatkan Nurul Izzah supaya meletak jawatan sebagai penasihatnya, memandangkan anak perempuannya itu merupakan seorang pemimpin wanita muda yang berbakat dan berpotensi besar.
“Janganlah pelantikan kecil yang tidak kena pada tempatnya ini menjadi titik hitam dalam perjalanan politiknya menuju masa hadapan yang mungkin lebih cerah,” katanya.
Kritikan Muhyiddin itu muncul selepas Nurul Izzah dilantik sebagai penasihat kewangan dan ekonomi kepada perdana menteri tanpa dibayar gaji.
Keputusan itu membawa kepada dakwaan berlaku amalan nepotisme dan persoalan apakah Nurul Izzah layak untuk memegang jawatan itu, walaupun Pejabat Perdana Menteri mempertahankan kelayakan akademiknya .
Sebelum ini, Pakatan Harapan (PH) berjanji dalam manifesto pada pilihan raya 2018 bahawa perdana menteri tidak akan memegang jawatan menteri kabinet yang lain.
Bagaimanapun, janji yang sama tidak dibuat dalam manifesto untuk pilihan raya umum tahun lalu.
Anwar sebelum ini berkata dia menyandang jawatan sebagai menteri Kewangan untuk pulihkan keyakinan terhadap ekonomi Malaysia.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.