Wednesday, January 11, 2023

Enggan mengaku jadi punca kalah, Zahid kini ajak ahli UMNO bersama kuatkan parti

agendaily.com
11/01/2023
Akar umbi digesa bersama untuk membangkitkan semula UMNO selepas kekalahan Pilihan Raya Umum Ke-15 lalu.

Ahli UMNO diajak untuk bersama-sama membina semula gerakan parti, selepas keputusan hambar pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi enggan mengakui dirinya menjadi punca kekalahan, sebaliknya mengajak ahli parti itu untuk bersama-sama dibawah pimpinannya untuk bangkit daripada kekalahan terburuk dalam sejarah parti itu.

Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri, yakin parti itu mampu bangkit selepas rebah pada PRU-15, dengan berbekalkan semangat musyawarah dan keikhlasan.

Menerusi catatan di Facebook, selepas Taklimat Presiden UMNO di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur di sini hari ini, Zahid juga menekankan, perubahan serta pembaharuan yang akan dilaksanakan, perlu dibincangkan secara berjemaah.

“Alhamdulilah, saya amat terharu melihat ramai perwakilan yang sudah tiba di Dewan Merdeka, bagi satu sesi Taklimat Presiden UMNO.

“Ruang ini seluasnya, saya gunakan bagi meluahkan rasa, menzahirkan cerita dan menelusuri cabaran-cabaran yang saya hadapi, sepanjang menakhodai bahtera UMNO ini,” kata beliau.

Untuk rekod, Zahid antara paling lantang mendesak PRU-15 diadakan segera sebelum ini, malah dengan yakinnya mendakwa UMNO mampu menang besar.

Bagaimanapun, UMNO mengalami kekalahan paling memalukan dalam sejarah pilihan raya negara apabila hanya berjaya memperoleh 30 kerusi sahaja selepas PRU-15 lalu.

Taklimat Presiden secara tertutup selama dua jam bermula kira-kira 3 petang tadi, diadakan sempena Perhimpunan Agung UMNO 2022, bermula hari ini sehingga Sabtu.

Seramai 2,822 perwakilan dan pemerhati hadir ke perhimpunan kali ini, sementara 1,117 perwakilan ke Perhimpunan Agung Pergerakan Wanita; 1,146 Pemuda dan 1,113 ke Perhimpunan Agung Pergerakan Puteri, yang akan dirasmikan secara serentak oleh Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hasan, malam ini.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-