Siti Aminah Mohd Yusof
am@hmetro.com.my
Kon Yeow (tengah) ketika menghadiri Majlis Jamuan Teh bersama Jentera PRU-15 Peringkat Kadun Batu Maung di Sungai Ara di sini, hari ini. Foto Facebook.
Bayan Lepas: Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow mengingatkan pimpinan Pakatan Harapan (PH) negeri agar tidak memandang remeh kepada 'Tsunami Hijau' iaitu sokongan pengundi kepada Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Umum ke -15 (PRU-15) lalu.
Beliau yang juga Pengerusi PH Pulau Pinang berkata gabungan parti itu perlu mempertahankan sekurang-kurangnya kekal 37 kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) yang dimenangi dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) kelak.
"Sasaran kita (PH) sekurang-kurangnya 37 kerusi kalau kita letak sasaran yang lebih rendah, (maka) lebih rendahlah pencapaian kita.
"Adalah penting untuk meletakkan objektif tinggi dalam PRN...kita perlu atur strategi, kerja keras pada setiap peringkat Parlimen dan Dun serta mula bekerja dengan serius," katanya di sini hari ini.
Kon Yeow berkata demikian ketika berucap pada Majlis Jamuan Teh bersama Jentera PRU-15 Kawasan Dewan Undangan Negeri (Kadun) Batu Maung di Sungai Ara di sini yang turut dikongsi di laman Facebook beliau.
Majlis itu turut dihadiri Ahli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin dan Adun Batu Maung, Datuk Abdul Halim Hussain
Dalam pada itu, Kon Yeow turut meminta rakyat Pulau Pinang membantu kerajaan diterajui Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam membina semula negara.
"Kita mengharapkan Kerajaan Persekutuan ini boleh kekal, jangan ulangi 'kerajaan 22 bulan' sekurang-kurangnya habis satu penggal (PRU-15), "katanya.
Disiarkan pada: Januari 1, 2023
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.