Monday, January 30, 2023

Menteri pun boleh lah lantik keluarga jadi penasihat di kementerian? Radzi

agendaily.com
30/01/2023
Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Dr Radzi Jidin. - Foto Agenda Daily Hiekal Rosly.

Bekas Menteri Pendidikan Datuk Dr Radzi Jidin hari ini mempersoalkan sama ada pelantikan keluarga pemimpin negara akan menjadi kebiasaan baharu dalam tadbir urus kerajaan Pakatan Harapan-Barisan Nasional (PH-BN).

Beliau mengaitkan pelantikan Nurul Izzah sebagai penasihat ekonomi dan kewangan oleh bapanya yang juga Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, kira-kira sebulan lalu.

Malah menurutnya, ada yang berpendapat tidak salah melantik Nurul Izzah ke jawatan itu kerana tidak diberi gaji.

Dr Radzi berkata sekiranya alasan itu digunakan maka Timbalan Perdana Menteri (TPM) dan menteri-menteri lain juga boleh melantik ahli keluarga mereka menjadi penasihat tanpa gaji di kementerian masing-masing.

“Ada yang menyatakan bahawa “Nurul Izzah bukan terima gaji pun sebagai Penasihat Ekonomi dan Kewangan kepada ayahnya di Kementerian Kewangan. Jadi, apa salahnya?”.

“Sekiranya itu hujah yang digunakan, adakah bermakna selepas ini Timbalan Perdana Menteri, Menteri, Timbalan Menteri boleh melantik anak isteri mereka sebagai penasihat tanpa gaji di kementerian masing-masing atas pelbagai justifikasi?

“Adakah ini akan menjadi kebiasaan baharu dalam tadbir urus kerajaan?,” kata ahli Parlimen Putrajaya itu dalam kenyataan hari ini (30 Januari 2023).

Tindakan Anwar mengangkat Nurul Izzah sebagai penasihat beliau secara diam-diam menerima kecaman, walaupun setelah lebih sebulan baharu Ahli Parlimen Tambun itu mengakui berbuat demikian.

Itupun, setelah Nurul Izzah sendiri mengesahkannya dalam satu temu bual dengan media.

Tindakan Anwar melantik ‘puteri reformasi’ itu juga dilihat membelakangkan ‘kepakaran’ Menteri Ekonomi yang juga Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli.

Sejak laporan berhubung pelantikan tersebut, reaksi orang ramai sama ada dalam media sosial dan juga orang politik khususnya adalah sangat negatif, malah tidak kurang juga pelbagai sindiran sinis dibuat terhadap kerajaan campuran.

Tidak kurang juga terdapat dikalangan orang ramai memainkan semula istilah ‘nepotisme’ yang popular sebelum ini di bibir Anwar dalam ceramahnya ketika mengkritik lawan politiknya, Tun Dr Mahathir Mohamad dan UMNO (sebelum menjadi sekutu politik).

Bagi anak muda, bait-bait ‘nepotisme’ mungkin sudah jarang kedengaran sekarang sejak Pakatan Harapan (PH) berkahwin dengan UMNO, tetapi bagi orang politik yang ‘season’ atau lama, itu adalah kata-kata yang amat sinonim dengan Anwar.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-