Monday, January 30, 2023

Lantik anak jadi penasihat PM: Anwar khianati rakyat Malaysia

agendaily.com
30/01/2023
Ketua Pembangkang Datuk Seri Hamzah Zainudin menggesa Datuk Seri Anwar Ibrahim membatalkan pelantikan Nurul Izzah sebagai Penasihat Kanan Ekonomi dan Kewangan kepada Perdana Menteri.

Ketua Pembangkang Datuk Seri Hamzah Zainudin menyifatkan tindakan Perdana Menteri melantik anak sendiri sebagai Penasihat Kanan Ekonomi dan Kewangan adalah satu pengkhianatan kepada rakyat Malaysia.

Dalam satu kenyataan hari ini (30 Januari 2023) Ahli Parlimen Larut itu berkata perlantikan itu bukan sahaja tidak wajar, malah salah serta merosakkan imej kerajaan.

“Amalan nepotisme oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang melantik anaknya sendiri, Nurul Izzah, sebagai Penasihat Kanan Ekonomi dan Kewangan kepada Perdana Menteri adalah pengkhianatan kepada rakyat Malaysia.

“Pelantikan ini bukan sahaja tidak wajar, salah, serta merosakkan imej kerajaan, malah bertentangan sama sekali dengan amalan tadbir urus baik, berintegriti dan bebas rasuah.

“Pro bono bukan alasan untuk menghalalkan nepotisme dan tindakan Anwar mempertahankan pelantikan anaknya adalah sesuatu yang amat memalukan, lebih-lebih lagi Tan Sri Hassan Marican sudah pun bertindak sebagai penasihat kepada Perdana Menteri,” katanya.

Tindakan Anwar mengangkat Nurul Izzah sebagai penasihat beliau secara diam-diam menerima kecaman, walaupun setelah lebih sebulan baharu Ahli Parlimen Tambun itu mengakui berbuat demikian.

Itupun, setelah Nurul Izzah sendiri mengesahkannya dalam satu temu bual dengan media.

Tindakan Anwar melantik ‘puteri reformasi’ itu juga dilihat membelakangkan ‘kepakaran’ Menteri Ekonomi yang juga Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli.

Sejak laporan berhubung pelantikan tersebut, reaksi orang ramai sama ada dalam media sosial dan juga orang politik khususnya adalah sangat negatif, malah tidak kurang juga pelbagai sindiran sinis dibuat terhadap kerajaan campuran.

Tidak kurang juga terdapat dalam kalangan orang ramai memainkan semula istilah ‘nepotisme’ yang popular sebelum ini di bibir Anwar dalam ceramahnya ketika mengkritik lawan politiknya, Tun Dr Mahathir Mohamad dan UMNO (sebelum menjadi sekutu politik).

Mengulas lanjut, Hamzah yang juga Setiausaha Agung Perikatan Nasional berkata ternyata Malaysia Madani hanyalah retorik kosong kerana keutamaan Perdana Menteri nampaknya lebih terarah kepada ahli keluarga sendiri berbanding menyelesaikan isu kos sara hidup, menangani cabaran ekonomi serta meneroka pasaran baharu untuk Malaysia.

“Perdana Menteri perlu menarik balik pelantikan ini. Nepotisme dalam PKR tidak boleh diheret sama ke dalam pentadbiran kerajaan. Walk the talk please,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-