Sunday, January 29, 2023

Proses pecat, gantung oleh Umno cacat - Ismail Sabri

malaysiakini.com
Diterbitkan: Jan 28, 2023 9:32 PM
Naib Presiden Umno, Ismail Sabri Yaakob berkata terdapat kecatatan dalam proses pemecatan dan penggantungan beberapa pemimpin parti itu semalam.

Menurut Ismail dia tidak bersetuju dengan keputusan tersebut memandangkan jawatankuasa disiplin tidak pernah menasihatkan presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi untuk mengambil tindakan terhadap mereka

"Saya menyatakan tidak setuju dengan keputusan tersebut atas alasan pemecatan dan penggantungan dibuat tidak mematuhi proses perundangan dan bertentangan dengan prinsip 'natural justice' seperti hak membela diri.

"Tiada surat tunjuk sebab bagi yang dituduh mengetahui pertuduhan terhadap mereka, tiada ruang menjawab pertuduhan melalui surat tunjuk sebab tersebut," katanya dalam hantaran di Instagram.

Semalam, Umno mengumumkan langkah drastik dengan memecat bekas ketua pemudanya, Khairy Jamaluddin dan bekas pengerusi perhubungan Umno Selangor, Noh Omar atas dakwaan melanggar disiplin parti semasa pilihan raya umum lalu.

Ahli Parlimen Sembrong, Hishammuddin Hussein dan penyandang timbalan Ketua Pemuda Umno, Shahril Hamdan pula digantung selama enam tahun.
Turut digantung ialah bekas Ahli Parlimen Jempol, Salim Sharif dan bekas Adun Tiram, Maulizan Bujang.

Seramai 42 ahli Umno lain turut dipecat daripada parti itu atas dakwaan melakukan pelbagai kesalahan.

'Jawatankuasa disiplin tak pernah nasihat Zahid'

Menurut Ismail, jika pihak yang menuduh tidak berpuas hati, mereka yang dituduh perlu dirujuk kepada pendengaran dalam jawatankuasa disiplin bagi mempertahankan diri.
Tambahnya, pertuduhan ke atas mereka perlu dibuktikan dengan saksi juga boleh dibawa kepada jawatankuasa disiplin.

"Jika jawatankuasa disiplin mendapati yang dituduh bersalah atau sebaliknya, maka jawatankuasa disiplin perlu memberi cadangan kepada jawatan kuasa pengurusan Umno.

"Jawatankuasa pengurusan Umno perlu berbincang dan membawa cadangan ke MT untuk keputusan," kata bekas perdana menteri itu.

Bagaimanapun kata Ismail, proses tersebut tidak dilaksanakan oleh parti itu.

"Saya dimaklumkan jawatankuasa disiplin tidak pernah menasihatkan presiden untuk sebarang tindakan namun hanya memaklumkan tentang terdapat laporan dibuat terhadap yang dituduh.

"Maka saya menyatakan tidak bersetuju dengan keputusan tersebut kerana terdapat kecacatan nyata dalam proses membuat keputusan memecat dan menggantung mereka.

"Sebagai sebuah parti yang bertamadun, Umno mesti dilihat telus dalam membuat sebarang tindakan," ujarnya.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-