Friday, January 13, 2023

Tak berani pecat 10 MP BN, adakah Zahid takut hilang jawatan TPM?

agendaily.com
13/01/2023
Pengerusi PH Datuk Seri Anwar Ibrahim pastinya akan menyokong anak muridnya Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi kekal sebagai Presiden UMNO demi survival politik dan kerusi Perdana Menteri yang telah lama diidam-idamkan.

Sudah terbongkar sudah siapa 10 Ahli Parlimen UMNO-Barisan Nasional (BN) yang menandatangani surat akuan berkanun (SD), tetapi mengapa tidak berani pecat pula?

Jika sebelum ini UMNO boleh memecat pemimpin veteran seperti Datuk Seri Shahidan Kassim dan Tan Sri Annuar Musa tetapi kenapa kini takut pula hendak memecat 10 MP yang didakwa menyokong Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata sudah memaafkan tindakan 10 MP tersebut tetapi adakah ahli UMNO masih mahu mempercayai kata-kata Presiden UMNO itu yang sudah banyak kali cakap berbelit-belit.

Penipuan terbesar dilakukan adalah apabila Zahid sendiri melanggar ketetapan parti yang memutuskan ‘No Anwar, No DAP’, sebaliknya kini bekerjasama dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan juga DAP untuk membentuk kerajaan campuran.

Ternyata dakwaan sebelum ini Zahid mempunyai hubungan istimewa dengan cikgunya, Anwar bukan palsu malah adalah realiti sebenar.

Jika benar 10 MP UMNO-BN tersebut melanggar disiplin parti, Zahid sepatutnya mengambil tindakan berani dengan memecat mereka semua kerana ia boleh dianggap satu pengkhianatan kepada parti tersebut.

Pengkhianat dalam UMNO perlu dibersihkan dan jika tidak diambil tindakan, dibimbangi selepas ini kekalahan lebih teruk bakal dihadapi dalam PRU-16 nanti.

Tindakan memaafkan 10 MP tersebut memperlihatkan betapa lemahnya Zahid yang dilihat tidak berani mengambil tindakan tegas terhadap ahli UMNO yang ingkar dan tidak patuh arahan parti.

UMNO tidak boleh menyimpan terlalu lama ahli-ahlinya yang dianggap pengkhianat kerana ia akan menjadi barah kepada parti, ia terbukti semasa PRU-15 lalu kerana kelewatan mengambil tindakan mengakibatkan UMNO mengalami kekalahan terburuk dalam sejarah negara.

Bukannya Zahid tidak tahu sebelum PRU-15 lalu siapa pengkhianat dalam parti yang tidak mengikut arahannya, malah boleh pula menjalin kerjasama dengan pihak musuh.

Pendedahan 10 MP tersebut oleh Zahid tidak memadai jika tiada tindakan tegas diambil, bagaimanapun adakah ada keberanian untuk memecat mereka tersebut?

Namun, ia sesuatu yang mustahil dapat dilakukan Zahid untuk memecat semua 10 MP tersebut kerana UMNO-BN kini tidak memiliki jumlah kerusi yang banyak berbanding parti lawan yang lain.

Untuk rekod, UMNO-BN kini hanya memiliki 30 kerusi Parlimen selepas PRU-15 lalu dan sekiranya 10 orang dipecat ia akan menyebabkan tinggal 20 MP yang menyokong kerajaan campuran dengan Pakatan Harapan (PH).

Selepas bekerjasama dengan Anwar dan DAP, nampaknya Zahid mendapat manfaat dan untung paling banyak walaupun masih sedang berdepan kes mahkamah, malah diberikan jawatan kedua tertinggi dalam kerajaan campuran.

Sebelum ini, semasa Muhyiddin dan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menjadi Perdana Menteri, Zahid tidak langsung berpeluang dilantik dalam Kabinet tetapi sebaliknya apabila menyertai kerajaan campuran PH-DAP, beliau diberikan jawatan Timbalan Perdana Menteri.

Ganjaran jawatan tersebut diberikan kepada Zahid memandangkan kejayaannya memujuk semua MP UMNO-BN untuk mengikut cakapnya untuk menyertai kerajaan campuran dan menyokong Anwar menjadi PM Ke-10.

Jika Zahid selepas PRU-15 mengambil keputusan untuk menyokong kerajaan PN,mustahil sama sekali beliau akan dilantik ke dalam barisan Kabinet.

Berbeza dengan Anwar, ternyata kasih sayang cikgu dan anak murid masih ada, jadi jawatan Timbalan Perdana Menteri diberikan kepada Zahid.

Jawatan Timbalan Perdana Menteri amat penting dan berharga kepada Zahid tatkala kes mahkamahnya masih sedang berjalan ketika ini.

Zahid pastinya tidak mahu kehilangan jawatan penting tersebut dan tidak mahu mengambil risiko tinggi dengan memecat 10 MP UMNO-BN yang didakwa tidak menyokong tindakannya untuk bekerjasama dengan Anwar dan DAP.

Jika dipecat 10 MP UMNO-BN, ia menyaksikan tinggal 20 sahaja baki wakil UMNO-BN dalam kerajaan campuran PH-BN dipimpin Anwar.

Apabila tinggal 20 sahaja MP dalam kerajaan, UMNO akan menjadi parti paling lemah dalam kerajaan campuran Anwar dan pastinya ia perkara yang mahu dielakkan Zahid daripada berlaku.

Jadi, tidak hairanlah jika Zahid tidak akan berani mengambil tindakan memecat semua 1O MP UMNO-BN tersebut kerana ia juga berisiko besar akan menyebabkan dirinya kehilangan jawatan Timbalan Perdana Menteri.

Langkah memaafkan 10 MP UMNO-BN tersebut hanya lakonan dan drama semata-mata kononnya mahu menonjolkan sikap pemaaf Zahid walaupun realitinya sangat marah dan tidak dapat menerima tindakan tersebut yang dianggap mengkhianati parti.

Disinilah ahli UMNO dan orang ramai dapat menilai samada Zahid sebenarnya tidak berani memecat 10 MP tersebut demi menjaga jawatan Timbalan Perdana Menterinya.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-