Friday, January 13, 2023

Perwakilan Umno terima k'jaan baru tapi masih berhati-hati dengan DAP

malaysiakini.com
Shakira Buang, Ng Xiang Yi & Hariz Mohd
Diterbitkan: Jan 13, 2023 8:31 AM
Selepas penjelasan yang Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan dua hari lalu, ramai perwakilan parti berkata mereka kini menerima keputusan kepimpinan untuk bekerjasama dengan PH dalam kerajaan.

Bagaimanapun, ramai dalam kalangan mereka yang ditemui Malaysiakini semalam menyatakan mereka masih berhati-hati dengan DAP yang sekian lama dianggap sebagai musuh ketat Umno.

Bagi Setiausaha Wanita Umno Kota Melaka Nurzara Mohd Ali, ia merupakan hakikat yang sukar ditelan.

"Memang orang yang tak memahami (sebab kerjasama), memang tak mahu.

"Oleh kerana mengikut kefahaman mereka, kami telah menyertai DAP walaupun bukan begitu. Kami hanya bekerjasama. Itulah perbezaan yang mereka harus faham," katanya.

Antara yang masih berhati-hati dengan DAP adalah Siti Liyana Ahmad, perwakilan dari Puteri Umno Bangi. Dia bimbang bagaimana kerjasama dengan DAP akan memberi kesan kepada kuasa politik orang Melayu di Malaysia.
Nurzara Mohd Ali
Kebimbangan itu walaupun Mohamad telah menjelaskan perseteruan sekian lama antara dua parti itu tidak membawa kepada peningkatan sokongan Melayu kepada Umno.

Sebaliknya, Mohamad berkata orang Melayu lebih mementingkan ahli politik yang bersih dan dinamik.

Siti Liyana berkata dia mengambil pendekatan tunggu dan lihat buat masa dan memberi kepercayaan kepada kepimpinan untuk menjaga kepentingan parti.

"Saya masih keraguan, tetapi itu keputusan pimpinan tertinggi.

"Pada saya, senang saja. Majlis Tertinggi kena ambil tanggungjawab sebaik-baiknya untuk menjaga kepentingan Umno," katanya.
Siti Liyana
Namun, kebanyakan perwakilan yang ditemui Malaysiakini berkata mereka memahami kerjasama dengan DAP penting untuk survival Umno.

Seorang perwailan dari Umno Subang yang hanya ingin dikenali sebagai Zainun berkata kerjasama itu lebih baik berbanding Umno menjadi pembangkang.

"Kita kalau nak ikutkan hati memang tak boleh, tak setuju (bersama DAP). Tapi apakah daya yang kita ada. Kita terpaksa terima.

"Sebab kalau tak terima, kita jadi pembangkang, lagi bermasalah.

"Sekarang sekurang-kurangnya kita dalam kerajaan. Cuma masih perlu berhati-hati," katanya.

Kebanyakan perwakilan yang ditemui juga berkata mereka lebih cenderung untuk bekerjasama dengan PH dan DAP berbanding dengan PN.

‘PN nak bunuh Umno’

Seperti yang dinyatakan Ketua Penerangan Pemuda Umno Jerlun Abdul Nizam Adnan, PN dan penerajunya, Bersatu ingin "membunuh" Umno.

"Sebab PN nak bunuh Umno. Ahli dari Bersatu adalah bekas ahli Umno yang lompat ke Bersatu.

"Bukan sekadar itu, mereka tarik PAS dari Muafakat Nasional. Di situ nampak mereka nak jahanamkan dan merosakkan Umno. Sebab itu kita tak setuju dengan PN," katanya.
Abdul Nizam
Dalam ucapannya, Mohamad Hasan turut berkata DAP tidak bermuka-muka dalam bekerjasama dengan Umno, tidak seperti PN.

Sementara itu, Setiausaha Wanita Umno Taiping Zuraida Mohd Hanafiah berkata dia sedikit lega kerana sukar untuk DAP mengkhianati Umno.

"Walaupun sedikit terluka apabila bekerjasama dengan DAP, ini sesuatu yang kita perlu buat.

"Kami pun dah baca syarat-syarat Umno untuk menyertai kerajaan, jadi kalau mereka buat apa-apa, kita boleh keluar dan habis jatuh kerajaan," katanya.

Namun, bukan semua mempunyai pandangan negatif berkenaan kerjasama dengan DAP.

Ahli jawatankuasa Puteri Umno Masliha Harun berkata dengan adanya Umno dan DAP dalam pentadbiran negara, kedua-dua kaum Melayu dan bukan Melayu mempunyai perwakilan dalam kerajaan.

"Bagi Umno, apa yang paling penting adalah undi Melayu. Jadi adakah kerjasama dengan PH bermakna kita gadai prinsip? Tidak.

"Kami anggap kami memainkan peranan sebagai suara orang Melayu dalam kerajaan dan bersama-sama PH dan DAP, ia mencerminkan kepelbagaian kaum di negara kita," katanya.
Masliha
Kerjasama ini dijangka menjadi bahan kempen utama bagi PN dalam enam pilihan raya negeri yang akan diadakan.

Justeru, Bendahari Wanita Umno Petaling Jaya Zubidah Najibullah berkata parti perlu ke lapangan untuk meyakinkan akar umbi berkenaan kerjasama itu.

"Bagi mereka yang datang untuk mendengar (Mohamad), saya rasa mereka tidak apa-apa. Tetapi mereka yang masih tidak tahu apa keadaan sebenar, mereka mungkin masih berwas-was.

"Sekarang menjadi kewajiban kita untuk menjelaskan kepada akar umbi. Ia mungkin tugas yang sukar, tetapi kita perlu melakukannya," kata Zubidah, 76, yang telah bersama Umno selama 40 tahun.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-