Tuesday, January 17, 2023

Tak sakit hati kah selepas pujian melangit tetapi dibalas hinaan?

agendaily.com
17/01/2023
Selepas Timbalan Presiden Datuk Seri Mohamad Hasan memuji DAP sebagai rakan yang setia, tiba-tiba pemimpin parti yang baharu saja tidur sebantal dengan mereka 'menembak' UMNO dan presiden Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2022 yang bermula 11 hingga 14 Januari lalu, bukan main lagi parti itu menerusi timbalan presidennya mengisytiharkan ke seluruh Malaysia segala puji-pujian terhadap rakan sebantal baharu mereka – DAP.

Malah, Datuk Seri Mohamad Hasan sanggup ‘menghina’ parti yang pernah menjadi penyelamat dan penolong mereka – PAS – setelah Barisan Nasional (BN) dan UMNO kalah buat kali pertama dalam sejarah pilihan raya di Malaysia pada 2018.

Untuk rekod, menyusul Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) beberapa Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) diadakan dengan BN/UMNO mendapat kerjasama PAS menerusi Muafakat Nasional (MN) sehingga calon-calonnya menang – ada yang mengalahkan calon Bersatu yang ketika itu berada bersama Pakatan Harapan (PH).

Namun, bagai melepaskan anjing tersepit, jasa yang ditaburkan dibalas tuba, apabila menuduh parti yang menghulur tangan, berpelukan di atas pentas di Menara Dato Onn dengan mereka, tidak jujur. Tetapi, telajak perahu boleh diundur, telajak kata buruk padahnya.

Sebaliknya Mohamad atau Tok Mat, – yang baharu saja berkahwin dengan DAP – memuji-muji parti itu yang menurutnya setia dalam berkawan dan jujur.

Dan ketika pujian Tok Mat itu masih terngiang-ngiang di telinga perwakilan yang hadir di Pusat Dagangan Dunia mulai Rabu hingga Sabtu lalu, tiba-tiba gegendang mereka hampir pecah apabila salah seorang pemimpin kanan DAP mengkritik UMNO dan presiden yang mereka sayangi, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Bukan, DAP sahaja yang mengkritik parti ‘keramat’ Melayu itu, tetapi sehari kemudian satu lagi parti komponen PH – PKR yang dipimpin sendiri Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim – turut melepas peluru terhadap UMNO dan Zahid.

Mungkin, merah padam muka Tok Mat setelah beliau memuji DAP tiba-tiba pemimpin parti yang dianggap rasis dan cauvinis itu, memulangkan sindiran tajam dan kutukan, bukan sebaliknya berterima kasih terhadap pujian yang membanggakan itu.

“Malu ooo… masuk ke rumah orang tiba-tiba tuan rumah tak layan sebaliknya menyindir-nyindir pula. Mungkin masuk tak cuci tangan dan kaki. Kena asap pedih mata, tapi kalau kena sindir dan kena kutuk… menusuk kalbu ooo,” kata seorang rakan penulis sambil ketawa.

“Takkan Tok Mat tak terasa kena hentam macam tu? Atau kerana kuasa biarkan maruah diri dan parti terkulai layu,” tambahnya lagi merujuk kepada kenyataan Timbalan Pengerusi DAP Pulau Pinang, P Ramasamy, kelmarin (15 Januari 2023).

Ya! Memang benar Ramasamy tu kasar sedikit, tapi beliau bukan mabuk atau hilang akal ketika mengatakan Zahid adalah beban dan ‘duri dalam daging’ kepada kerajaan PH dan Anwar.

Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang II itu juga menyifatkan Zahid yang kini Timbalan Perdana Menteri daripada UMNO, sebagai ‘albatross’ atau ‘pembawa masalah yang menjadi penghalang’ yang bukan sahaja melingkari leher UMNO, tetapi juga PH.

Ramasamy yang berpendidikan kewartawanan dan sains politik, percaya usaha UMNO untuk berubah juga akan melalui jalan sukar selagi imej korupsi yang melingkari parti itu tidak dibersihkan dan malangnya, Zahid selaku teraju parti sendiri dilihat sebagai pemimpin paling terkesan dengan imej korup itu.

Perkara itu, katanya, mungkin mendatangkan kesan kepada usaha parti serta kerajaan pimpinan Anwar untuk menarik sokongan, khususnya dalam kalangan pengundi Melayu pada pilihan raya negeri (PRN) akan datang.

Menurutnya lagi UMNO yang sudah kehilangan dukungan Melayu kini lebih memerlukan sokongan PH berbanding sebaliknya, malah ia juga menjadi faktor yang memaksa parti ‘keramat’ itu bekerjasama membentuk kerajaan PH-UMNO.

Belum pun hilang kesan di kalbu UMNO, Zahid dan Tok Mat, tiba-tiba PKR pula menembak mengiakan kata-kata DAP. Kita tidak terkejut kerana PKR dan DAP sudah lama serasi, sedang UMNO baru berada di pinggiran tapi peliknya sudah mengenali hati budi DAP dalam berkawan.

Veteran PKR yang juga Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Karim, dalam kenyataan semalam (16 Januari) menyifatkan BN dan UMNO adalah sekumpulan penjenayah yang terlibat dengan rasuah dan pecah amanah.

Menurutnya dilema dihadapi kerajaan pimpinan Anwar sekarang antara lain ialah sekiranya rakyat yang celik huruf dan berilmu peengetahuan bertanya, bagaimana kerajaan yang ada sekarang boleh dihormati jika Timbalan Perdana Menteri 1 (TPM1) terdiri dari sosok tubuh individu yang sedang dibicarakan di mahkamah atas berpuluh tuduhan jenayah rasuah dan pecah amanah?

“TPM1 (Zahid) sekarang berada di peringkat membela diri. Di akhir kes pendakwaan yang lalu, beliau telah didapati bersalah oleh Hakim kerana pihak Pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie,” katanya dalam kenyataan di Facebooknya.

“BN-UMNO dari kelompok kes jenayah rasuah dan pecah amanah ini boleh diibaratkan sebagai virus yang sedang menjangkiti Perdana Menteri Anwar Ibrahim, Parti Keadilan Rakyat dan Pakatan Harapan.

“Tiada vaksin untuk menawar racun toksik ini. Jalan kesudahannya mungkin maut dan mati,” tambah Hassan lagi menambah pedihnya hati ahli UMNO yang sayangkan Tok Mat dan Zahid.

Jadi, selepas pujian itu dibalas ‘pujian’ juga oleh DAP dan PKR, Tok Mat dan ahli UMNO patut ingat ‘sepahit-pahit mambu, kelatnya menjadi ubat’.

Ketua Pengarang
Agenda Daily.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-