Tuesday, January 17, 2023

Kebebasan bersuara dalam UMNO sudah mati: Noh Omar

ismaweb.net
Athirah Huda Zalhe
Wakil anak muda tak dibenar berucap kerana kritik Zahid

BANGI, 24 Jamadilakhir 1444H, Selasa – Ibarat rumah siap, pahat berbunyi. Itulah perumpamaan yang boleh digambarkan terhadap keadaan UMNO pasca Perhimpunan Agung (PAU 2022), baru-baru ini.

Meskipun usul tambahan untuk tidak dipertandingkan jawatan Presiden dan Timbalan Presiden pada pemilihan akan datang sudah diluluskan, masih ramai akar umbi serta pimpinan UMNO tidak berpuas hati.

Keputusan itu juga tidak disokong Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Tan Sri Noh Omar yang menganggap amalan demokrasi semakin mati di dalam parti berkenaan.


Beliau dalam kenyataan di Facebook kecewa apabila mengetahui terdapat wakil anak muda daripada Kelab-Kelab UMNO Luar Negara tidak dibenarkan berucap pada saat-saat akhir oleh pemimpin tertinggi UMNO ketika PAU 2022.

“Saya mendengar rintihan pelajar Malaysia dari Sheffield, United Kingdom yang pulang mewakili Kelab-Kelab UMNO Luar Negara di Perhimpunan Agung UMNO 2022 (PAU) yang berakhir pada 14 Januari 2023 yang lalu.

“Saudara Muhammad Iman Irfan bin Yahya merupakan pelajar dari luar negara yang telah disenaraikan sebagai pembahas Ucapan Dasar Presiden No.17 di PAU 2022 tetapi di saat-saat akhir telah tidak dibenarkan berucap oleh pemimpin tertinggi UMNO Malaysia,” katanya.

Noh percaya tindakan yang dikenakan ke atas Muhammad Iman itu adalah disebabkan tulisannya di media sosial yang dilihat sebagai pengkritik Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

“Amat membimbangkan apabila anak-anak muda terutamanya pelajar-pelajar Malaysia di luar negara, yang ingin mendekati dan bersama parti UMNO, kini menjauhkan diri kerana melihat demokrasi semakin mati dalam UMNO.

“Bukan sahaja jawatan Presiden dan Timbalan Presiden tidak dibenarkan ditandingi tetapi pembahas-pembahas seperti Muhammad Iman yang pulang jauh dari United Kingdom telah disingkirkan dan dibuang daripada berucap di PAU 2022 kerana takut beliau mungkin akan mengkritik Presiden UMNO di dalam ucapannya,” katanya.

Bekas Pengerusi Perhubungan UMNO Selangor itu mendakwa, situasi itu jelas memperlihatkan bahawa bukan hanya demokrasi bahkan kebebasan bersuara juga telah mati di dalam UMNO.

“Kerana itulah ketika Usul Jawatan Presiden dan Timbalan Presiden di undi untuk tidak dipertandingkan, saya duduk dan tidak menyokong. Ini adalah kerana saya mahukan demokrasi subur di dalam UMNO.

“Kerana saya juga amat bimbang sekiranya demokrasi di dalam parti tidak dipertahankan, apabila tiba pilihan raya umum negara dan pilihan raya umum negeri Selangor nanti, hanya saluran 1 dan 2 sahaja yang akan mengundi UMNO-BN.

“Manakala saluran 4 dan 5, undi dari anak-anak muda akan menjauhkan diri dari Barisan Nasional dan UMNO,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-