Oleh Irwan Shafrizan Ismail
bhnews@bh.com.my
- Januari 30, 2023 @ 5:36pm
Penganalisis berpandangan keputusan UMNO memecat dan menggantung beberapa pemimpin berpengaruh dalam parti boleh ‘memakan diri’ dan mengundang ‘malapetaka’ politik menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN). - Foto hiasan NSTP/Mohd Yusni Ariffin
PUTRAJAYA: Keputusan UMNO memecat dan menggantung beberapa pemimpin berpengaruh dalam parti boleh 'memakan diri' dan mengundang 'malapetaka' politik menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN).
Langkah itu yang disifatkan tidak tepat diambil kepimpinan tertinggi bersama Majlis Kerja Tertinggi (MKT) dijangka menyebabkan sokongan terhadap parti terutama kalangan pengundi muda akan merosot pada PRN nanti.
Penganalisis Politik Universiti Malaya, Dr Mohammad Tawfik Yaakub, berkata ketika Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), UMNO dan Barisan Nasional hilang Perlis yang dikuasai sejak merdeka selepas Ahli Parlimen Arau yang juga bekas Ketua UMNO Bahagian Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim tidak menjadi calon.
"Apabila diusik Shahidan, tumbang BN di Perlis. Saya jangkakan malapetaka yang sama juga akan berlaku sekali lagi di Selangor apabila Tan Sri Noh Omar yang berpengaruh di Selangor dan Khairy Jamaluddin yang ada penyokongnya sendiri di Negeri Sembilan. Ini akan menggugat dan menyebabkan sokongan kepada UMNO dan BN semakin merosot di kedua-dua negeri pada PRN akan datang.
"Bagi saya, ia (pemecatan, gantung adalah) langkah yang tidak tepat diambil MKT, walau ada beza pandangan ataupun masalah disiplin, tetapi jangan bertindak terlalu keras kepada pemimpin yang berpengaruh dalam parti itu sendiri apatah lagi menjelang PRN," katanya kepada BH.
Pemecatan pemimpin muda, pelapis berwibawa seperti Khairy akan memberi satu gambaran dan imej tidak baik kepada UMNO.
Berbeza pandangan itu perkara biasa dalam parti politik, tetapi apabila tindakan diambil terlalu keras, ini akan beri kesan besar kepada sokongan anak muda, belia malahan Pemuda UMNO itu sendiri yang melihat bahawa parti itu sukar untuk menerima pandangan anak muda.
Suasana perwakilan UMNO pada majlis perasmian Perhimpunan Agung UMNO 2022 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur pada 13 Januari lalu. - Foto NSTP/Hazreen Mohamad
Perkara ini tidak boleh diteruskan dalam UMNO. Tindakan itu akan menyebabkan parti semakin lemah dan akhirnya berdepan kesukaran luar biasa untuk dipulihkan.UMNO tak boleh bergantung harap kepada PH
"UMNO tidak boleh bergantung malahan berpaut kepada Pakatan Harapan (PH) untuk memulihkan semula kekuatan parti itu dalam kerajaan, tetapi UMNO perlu bangkitkan kekuatan dengan idealisme, perjuangan dan meneliti kelemahan yang ada.
"Itu tidak boleh berlaku kepada kepimpinan UMNO hari ini, mesti disemak semula, dilihat kembali apakah kelemahan parti dan pemimpin juga harus ingat bahawa pemimpin datang dan pergi dalam parti , tetapi parti itu akan terus kekal," katanya.
Mohammad Tawfik juga berpandangan PH juga akan menerima 'tempias' daripada keputusan UMNO selain kerjasama politik PH-BN apatah lagi menjelang PRN.
Pengundi PH sebenarnya kecewa gabungan dengan BN
Seperti dalam PRU15, penyokong PH tidak mengundi BN pun, tetapi disebabkan tidak ada pilihan, akhirnya pemimpin PH menerajui kerjasama dengan BN untuk membentuk kerajaan dan ini menimbulkan kekecewaan dalam kalangan penyokong dan pengundi PH.
Sudah semestinya mereka akan berfikir dua kali sama ada kerjasama itu akan terus berlaku dan mereka perlu mengundi PH, kalau undi PH pun akan dapat BN, mungkin mereka akan memilih alternatif gabungan parti politik lain sebagai pilihan kerana atas dasar kekecewaan itu.
Tambah beliau, menjelang PRN, PH juga perlu memastikan sama ada perlu atau tidak kerjasama politik dengan UMNO itu sendiri kerana tindakan pemimpin UMNO yang bertentangan dengan idealisme perjuangan PH.
"PH perlu berhati-hati menjelang PRN, kerana ini juga akan mencalar imej pemimpin PH yang sebelum ini sangat sensitif tentang isu nepotisme, ketelusan, kejujuran dan salah guna kuasa.
"Ini ialah sebenarnya ujian yang besar bagi PH supaya mereka tidak menerima tempias terhadap apa jua tindakan UMNO, BN pada ketika ini," katanya.
Sementara itu penganalisis politik, Prof Wong Chin Huat, berkata keputusan dibuat UMNO boleh menggugat kestabilan kerajaan dan dalam senario terburuk mampu menyebabkan kejatuhannya.
"Memastikan UMNO terus bertahan adalah penting bagi kerajaan Anwar sendiri untuk terus bertahan.
"Ia pada asasnya untuk menarik kembali undi Melayu atas pagar yang terlepas kepada PAS dan BERSATU. Sejauh mana berjayanya usaha sedemikian, ia adalah ujian menunggu pada PRN enam negeri, yang dijangka diadakan pada Jun atau Julai atau selewat-lewatnya pertengahan Ogos," katanya.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.