freemalaysiatoday.com
FMT RR - 04 Mar 2023, 7:00pmKetua Penerangan Bersatu, Razali Idris berkata, Salleh Bajuri dibenarkan pulang ke rumahnya pada tengah hari Jumaat.
Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki mengesahkan Bendahari Agung Bersatu, Salleh Bajuri ditahan dan direman dua hari. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA: Bendahari Agung Bersatu, Salleh Bajuri yang ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membantu siasatan berhubung perbelanjaan dana parti itu dibebaskan semalam.
Ketua Penerangan Bersatu Razali Idris berkata, Salleh dibebaskan dengan jaminan SPRM dan balik ke rumahnya pada tengah hari semalam, lapor Sinar Harian.
Razali juga berkata, penahanan Salleh itu tiada asas dan dibuat semata-mata untuk memburukkan Bersatu di mata rakyat.
“Tujuan hanya untuk memberi satu pandangan pada rakyat betapa buruknya Bersatu ini,” katanya.
Menurutnya, tugas Salleh hanya menjaga akaun parti malah akaun tersebut diaudit setiap tahun.
“Ini bermaksud akaun itu bersih selain tiada kemasukan yang meragukan dan duit itu tidak dimasukkan dalam akaun peribadi Salleh.
“Jadi saya melihat kalau macam ini caranya maka saya jangkakan akan ada ramai lagi pemimpin Bersatu ditangkap dan disiasat oleh SPRM,” katanya.
FMT sebelum ini melaporkan Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki mengesahkan Salleh ditahan pada Rabu lalu dan direman dua hari.
Walaupun tiada penjelasan mengenai penahanan itu, sumber dalam Bersatu memberitahu ia adalah berkait siasatan ke atas program Jana Wibawa dan Platform Akar Umbi Pemacu Negara (AkuPN).
Jana Wibawa inisiatif yang dilancarkan kerajaan ketika wabak Covid-19 melanda untuk membantu kontraktor Bumiputera.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.