Wednesday, March 22, 2023

Bila DAP nak ada Setiausaha Agung orang Melayu pula?

agendaily.com
22/03/2023
Parti DAP.

Dalam satu ulasan oleh Lim Kit Siang yang berjudul ‘Nasihat Terakhir Kepada Mahathir Mohamad’ yang disiarkan oleh portal berita, beliau ada menyentuh mengenai kegagalan Wawasan 2020 oleh Tun Dr Mahathir.

Beliau menyebut kembali bahawa Tun telah mengumumkan kegagalan wawasan 2020 yang baginya sebagai suatu hujah kegagalan Tun M.

Saya merasa lucu dengan kenyataan orang besar DAP ini kerana, hujah ini sering digunakan oleh mereka yang tidak membaca malah senantiasa mencari salah Tun Mahathir.

Kenapa saya katakan lucu, kerana; sungguhpun idea wawasan 2020 ini diilhamkan oleh Tun, kejayaan wawasan ini sebenarnya bergantung kepada pewaris kepimpinan selepasnya.

Adalah tidak masuk akal bagi Tun untuk memegang jawatan perdana menteri dari 1983 hingga tahun 2020 bagi memastikan Wawasan 2020 berjaya atau gagal.

Justeru, kegagalan Wawasan 2020 ini tidak wajar diletakkan di bahu Tun seorang kerana pewaris kepimpinan negara antara 2003 hingga 2018 ada dua orang perdana menteri. Mengapa tak ditanya kepada dua orang PM ini, mengapa mereka gagal meneruskan kesinambungan Wawasan 2020 hingga berjaya, mengapa?

Menjadikan kegagalan Wawasan 2020 sebagai kegagalan Mahathir, itu hujah ‘macai’ politik, bukan taraf ahli politik seperti Lim Kit Siang. Kerana itu saya merasa lucu dengan hujah beliau.

Malah, saya sanggup mengatakan bahawa Lim Kit Siang juga harus bertanggungjawab atas kegagalan Wawasan 2020 apabila dia sendiri gagal meyakinkan pertubuhan pendidikan Cina, Dong Zong hingga mereka menolak cadangan Tun Mahathir untuk mewujudkan sekolah wawasan.

Penolakan sekolah wawasan oleh kumpulan Don Zong kerana mereka berhujah ia akan menghakis identiti mereka. Soalannya, identiti apa?

Apakah identiti yang Dong Zong mahukan tidak sama dengan identiti yang didambakan oleh Lim Kit Siang iaitu Malaysian Malaysia? Atau sama? Yang mana satu?

Jika Kit Siang mahu dilihat Malaysia sebagai negara pelbagai kaum, seharusnya tiada lagi sekolah vernakular dan sekolah wawasan adalah lebih ‘Malaysian’ kerana semua pelajar merentasi kaum duduk dibawah satu bumbung.

Begitu juga dengan hujah beliau tentang perjuangan Melayu oleh Tun Mahathir.

Jika Kit Siang merasakan perjuangan Tun Mahathir untuk orang Melayu suatu yang tidak releven dan salah, beliau seharusnya bertanya berapa jumlah tanah rizab orang Melayu yang terkini.

Adakah Kit Siang sebagai warga Malaysia yang cintakan tanah air, merasakan permasalahan mengenai tanah rizab Melayu ini bukan suatu perkara yang penting? Atau ia hanya sekadar isu bumiputera sahaja?

Adakah Lim Kit Siang tidak sedar bagaimana pemodal kaya menggunakan wang sebagai tarikan kepada orang Melayu yang miskin dan malas untuk menjual tanahnya sebagaimana kroni Umno mengambil tanah orang Melayu miskin di bandar?

Kit Siang mempunyai suatu masalah apabila hujahnya berpusing-pusing. Dalam ulasan ‘Nasihat Terakhir Kepada Mahathir’ beliau juga menyentuh tentang tiada halangan bukan Melayu untuk jawatan perdana menteri.

Kita bersetuju bahawa perlembagaan tidak menyatakan secara tersurat sebaliknya secara tersirat bahawa sesiapa boleh menjadi perdana menteri jika mendapat sokongan majoriti dewan.

Kita tak perlu berbeza pendapat dalam hal ini. Kita bersetuju.

Kit Siang harus menjawab dengan jujur atau tak perlu jawab kerana soalan ini datang dari saya yang bukan setaraf dengannya. Tak mengapa.

Tetapi saya utarakan juga soalan ini agar pembaca sendiri boleh menilai kejujuran seorang lelaki bernama Lim Kit Siang.

Sebelum kita bercakap tentang perdana menteri bukan Melayu, ada baiknya kita melihat dulu bagaimana seorang Melayu boleh menjadi Setiausaha Agung parti DAP dalam hayat Lim Kit Siang sendiri.

Apakah akan ada? Jawapan tiada.

Maka persoalan tentang perdana menteri bukan melayu, tak perlu dipolemikkan dan berhentilah di sini.

Lebih baik kita belajar berucap dalam bahasa Melayu dengan betul dan fasih dahulu. Itu nasihat saya buat Lim Kit Siang.

Mahdzir Ibrahim
*Penulis ialah Timbalan Ketua Penerangan Gerakan Tanah Air. Beliau juga salah seorang calon Melayu yang bertanding pilihanraya umum bagi tiket DAP pada Pilihan Raya Umum Ke-12 lalu.


Artikel ini kali pertama disiarkan di portal Malaysiakini.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-