Wednesday, March 22, 2023

PAS gesa acara pembukaan kelab malam ketika Ramadan dibatalkan

malaysiakini.com
Diterbitkan: Mar 22, 2023 10:26 AM
PAS menggesa pihak berkuasa terutama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menimbang semula kebenaran untuk acara pembukaan sebuah kelab malam yang dijadual pada 30 Mac ini, yang antara lain menampilkan persembahan lelaki warga Thailand berpakaian wanita.

Setiausaha agungnya Takiyuddin Hassan berkata PAS membantah keras penganjuran acara itu yang disifatkan sebagai "keterlaluan, tidak sensitif, tidak bermoral, malah menjijikkan".

Menurutnya, sebuah kelab malam bernama Privacy Club Tun Razak yang terletak di Kuala Lumpur telah memuat naik poster di laman Facebooknya berkenaan acara itu, yang memaparkan kumpulan lelaki itu sebagai tarikan utama.

"Jelas bahawa acara ini mempromosi budaya hedonistik, lucah dan seks bebas.

"PAS menggesa pihak berkuasa, terutama DBKL supaya menimbang semula kebenaran penganjuran acara berkenaan yang jelas sangat berlawanan dengan budaya tempatan dan tidak sensitif kepada kedudukan Islam sebagai agama persekutuan, apatah lagi diadakan pada bulan Ramadhan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Takiyuddin berkata PAS kesal apabila kelab tersebut dibenarkan untuk menggunakan nama bekas perdana menteri Allahyarham Tun Abdul Razak.

"Perbuatan itu sangat tidak sensitif mahupun bertanggungjawab, malah menghina nama baik pemimpin negara.

"Agensi pendaftaran syarikat juga perlulah lebih berhati-hati dalam hal ini dan tidak sewenang-wenangnya membenarkan individu atau syarikat mendaftarkan nama perniagaan mereka tanpa mengambil kira faktor-faktor seperti kesesuaian dan kewajaran," katanya lagi.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-