Wednesday, March 22, 2023

BN-PH semakin serasi? Tunggu PRN nanti, kata Tajuddin

freemalaysiatoday
FMT Reporters 
22 Mar 2023, 8:00am

Tajuddin Abdul Rahman percaya PH tidak akan mudah beri laluan kepada BN terutama di kerusi mudah menang.
Tajuddin Abdul Rahman berkata apa yang penting untuk Umno ketika ini ialah meningkatkan keyakinan rakyat terhadap parti itu dan mengelakkan kemerosotan kepercayaan.

PETALING JAYA: Bekas ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno Tajuddin Abdul Rahman sangsi dengan keyakinan pemimpin partinya yang mendakwa kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) boleh menjamin kelangsungan Umno dan Barisan Nasional (BN).

Bercakap kepada FMT, bekas pengarah pilihan raya Umno itu tidak yakin PH yang menjadi rakan BN dalam kerajaan perpaduan akan mudah memberi laluan terutama di kerusi mudah menang.

“Mustahil mereka boleh kata ‘Umno ambillah kerusi ini, kami tak bertanding’ padahal itu kerusi DAP punya,” katanya, yang secara sinis berkata keserasian PH dan BN akan boleh dilihat pada PRN di enam negeri tidak lama lagi.

Beliau mengulas kenyataan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi baru-baru ini yang dipetik sebagai berkata terdapat keserasian antara PH dan BN di peringkat pusat, dan beliau meminta kerjasama itu diterjemahkan di peringkat DUN menjelang pilihan raya.

Bekas Ahli Parlimen Pasir Salak itu melihat kerjasama dengan PH lebih kepada memberikan jawatan dalam Jemaah Menteri kepada pemimpin tertentu, bukan menjamin kelangsungan dan kemenangan Umno pada masa depan.

“Saya rasa itu tanggapan salah sama sekali (PH beri kerusi kepada Umno-BN). Ingat PKR nak bagi kita percuma (kerusi boleh menang)?” katanya yang mendakwa PH mungkin hanya mampu menyokong Umno dari segi perbelanjaan pilihan raya.

Pada 28 Dis lalu, Zahid dilaporkan berkata mereka memilih bekerjasama dengan PH kerana ia akan menjamin kelangsungan politik parti itu.

Beliau menjelaskan kerjasama dengan Perikatan Nasional (PN) akan membawa lebih banyak mudarat untuk jangka panjang memandangkan kedua-duanya bersaing di kerusi sama.

Mengulas lanjut, Tajuddin berkata perkara paling mustahak perlu dilakukan Umno kini adalah meningkatkan keyakinan rakyat terhadap parti itu dan mengelakkan kemerosotan kepercayaan seperti dialami ketika dipimpin Najib Razak.

“Rakyat tidak percaya sedangkan banyak pembangunan kita bawa, tetapi pembangunan saja tidak cukup.

“Dalam PRU keyakinan rakyat kepada kita menentukan kemenangan, ia tidak boleh dibeli dengan wang ringgit atau projek,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-