Sunday, March 12, 2023

Dalam 7 tahun Bersatu atasi Umno yang berusia 77 tahun

malaysiakini.com
Shakira Buang & Alyaa Alhadjri
Diterbitkan: Mar 12, 2023 2:07 PM
Hanya dalam tempoh tujuh tahun, kata Muhyiddin Yassin, Bersatu sudah mengatasi Umno dengan menjadi "lebih besar" walaupun parti lawan mereka itu berusia 77 tahun.

Menurut Muhyiddin Bersatu juga sudah menjadi lebih kuat berbanding Umno walaupun masih muda usianya.

Kejayaan itu kata presiden Bersatu berkenaan mampu dicapai hasil kerjasama dan perpaduan mereka dengan parti-parti lain dalam PN iaitu PAS, Gerakan dan Parti Maju Sabah (SAPP).

"Kita telah berjaya menambah bilangan kerusi parlimen daripada 13 dalam PRU ke-14 kepada 31 kerusi dalam PRU ke-15.

"Ini adalah peningkatan kekuatan hampir tiga kali ganda dalam tempoh hanya satu penggal pilihan raya.

“Umno yang menjadi parti lawan kita pula hanya memenangi 26 kerusi. Kedudukan mereka telah merosot sejak beberapa pilihan raya yang lalu.

"Sekarang, parti kita lebih besar daripada Umno. Dalam tempoh hanya tujuh tahun, Bersatu berjaya mengatasi Umno yang kini telah menjangkau usia 77 tahun," katanya.
Muhyiddin yang juga pengerusi PN menambah ketika ini Bersatu bukan lagi 'ular lidi' manakala Umno pula tidak boleh dianggap 'naga' dalam politik negara ini.

Dia berkata demikian semasa menyampaikan ucapan dasar selaku presiden Bersatu dalam perhimpunan agung tahunan parti itu di Menara PGRM di Kuala Lumpur hari ini.

Mengulas lanjut, Muhyiddin berkata pencapaian Bersatu dan PN itu dilakar kerana terdapat perubahan dalam sikap serta minda rakyat terhadap parti-parti politik.

Rakyat, katanya, tidak lagi berfikiran statik atau jumud dalam menyokong sesebuah parti politik.

"Mereka menilai parti politik berasaskan nilai dan budaya yang dipegang oleh parti, para pemimpin parti dan ahli-ahli parti,” katanya.

Tak lagi boleh diharap

Jelas Muhyiddin, dia juga menjangkakan hayat Umno kini berada hujung selepas parti itu memilih bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH).

Malah, perdana menteri kelapan itu juga mendakwa proses 'kematian' Umno itu berlaku berpunca daripada sikap pemimpin tertinggi parti itu sendiri.

Muhyiddin yang pernah menjadi timbalan presiden Umno sebelum dipecat pada Jun 2016 tidak menyebut secara jelas nama individu terbabit namun dipercayai dia merujuk kepada Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi.

“Umno di bawah individu ini bukan lagi mementingkan kuasa politik Melayu, tetapi menjadi alat untuk meneruskan kelangsungan kuasa PH.

“Bagi kita dan sebahagian besar orang Melayu, inilah pengakhiran hayat Umno. It is the final nail in Umno’s coffin (Ia adalah paku terakhir pada keranda Umno),” katanya.
Umno juga dakwa Muhyiddin kini tidak lagi menjadi parti yang boleh diharapkan untuk menggalas amanah rakyat kerana kedudukannya yang minoriti dalam parti kerajaan.

"Apa lagi yang boleh diharapkan daripada Umno?" soalnya.

Menurut Muhyiddin lagi Umno lari daripada matlamat perjuangan asal mereka untuk membela nasib orang Melayu kepada membela kedudukan individu tertentu.

“Demokrasi juga telah mati dalam parti Umno. Perlembagaan parti dilanggar sebegitu rupa semata-mata untuk menjaga kepentingan seorang individu.

"Tujuan parti itu juga telah berubah daripada menjaga kepentingan orang Melayu dan Bumiputera, kepada menjaga kepentingan individu.

“Individu ini juga dilindungi oleh pucuk pimpinan kerajaan PH demi kepentingan untuk mempertahankan kuasa PH.

"Individu ini mesti dipastikan terus menguasai Umno kerana dengan penguasaan individu ini ke atas Umnolah, PH akan terus berkuasa,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-