Thursday, March 23, 2023

Harus ada kesediaan antarabangsa tangani Islamophobia - PM

malaysiakini.com
Nik Nurfaqih Nik Wil & Bernama
Diterbitkan: Mar 23, 2023 7:45 AM
Perdana Menteri Anwar Ibrahim menggesa Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) mengambil langkah tegas dalam menangani isu Islamophobia.

Katanya pandangan berkenaan adalah antara yang disuarakannya secara peribadi ketika menerima kunjungan hormat Setiausaha Agung OIC Hissein Brahim Taha dan delegasinya di Jeddah semalam.

“Islamaphobia ialah sikap melampau benci dan anti-Islam yang tidak munasabah, tidak siuman kerana dia mengambil sikap yang agak benci kepada semua penganut Islam dan memandang rendah serta menghina agama dan pegangan umat.

“Jadi kita menyatakan harus ada kesediaan di peringkat antarabangsa (dalam soal ini),” katanya dalam sidang media selepas kunjungan hormat berkenaan yang turut disertai Menteri Luar Zambry Abdul Kadir serta Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil.

Anwar dan delegasi Malaysia tiba di Jeddah semalam bagi melakukan lawatan rasmi tiga hari ke Arab Saudi.

Menurut perdana menteri dia turut memberi jaminan bahawa Malaysia akan terus memainkan peranan bukan sahaja sebagai anggota aktif OIC, malah sebagai antara negara pengasas pertubuhan itu bagi menangani pelbagai isu dihadapi umat Islam di seluruh dunia.

“Manakala pihak Turkiye bersama Malaysia akan bersama-sama dalam usaha mengetengahkan isu Islamophobia supaya difahami dan jangan kita biarkan serangan beberapa kelompok di Barat yang benci pada agama, tapi kita harus mengambil sikap memberi jawapan yang tegas,” katanya.

Selain itu, Anwar berkata dia turut membangkitkan isu Palestin dengan menyatakan komitmen Putrajaya untuk terus menyokong perjuangan hak warganya, selain mahu kerjasama rapat Malaysia dan OIC dalam hal berkenaan.

Dalam pertemuan berkenaan, perdana menteri berkata dia turut melaporkan usaha dan kesediaan Malaysia membantu menyelesaiskan isu di selatan Thailand dengan meningkatkan kerjasama dengan Bangkok, serta isu umat Islam di selatan Filipina.

“Seperti juga di selatan Filipina, di Mindanao. Apabila perbincangan saya dengan Presiden Ferdinand R Marcos Jr ini kita laporkan supaya pihak OIC dapat mendengar sendiri langkah-langkah kita cuba selesaikan masalah, membantu Filipina dan umat Islam yang sekarang diberi kuasa sementara,” katanya.

Selain itu, Anwar berkata OIC memaklumkan beberapa langkah telah diambil, umpamanya Arab Saudi akan mengadakan persidangan wanita peringkat antarabangsa untuk menekankan kepentingan pendidikan wanita.

- Bernama

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-