Wednesday, March 15, 2023

Menang, kalah semua ‘orang saya’, kata Zahid

freemalaysiatoday.com
FMT Reporters - 15 Mar 2023

Presiden Umno Ahmad Zahidi berkata beliau menganggap semua calon tewas dan menang dalam pemilihan, sebagai ‘orangnya’ kerana tidak mahu mewujudkan puak dalam parti.
Presiden Umno Ahmad Zahidi menafikan cenderung untuk memenangkan calon tertentu pada pemilihan parti.

PETALING JAYA: Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi menafikan beliau cuba campur tangan dan cenderung untuk memenangkan ‘orang Presiden’ pada pemilihan parti kali ini.

Malah, beliau menegaskan, ia terbukti apabila anaknya sendiri, Nurulhidayah kalah dalam pemilihan merebut jawatan ketua Wanita Umno Bagan Datuk.

“Kalau saya memihak dan saya mahu menangkan hanya seseorang, saya fikir elok saya menangkan anak saya sendiri sebagai ketua Wanita Umno Bagan Datuk, tapi beliau kalah.

“Kalau jelas saya menyokong seseorang sebagai ketua Wanita Umno Malaysia, bagaimana bahagian saya juga menyokong orang lain?

“Dalam perkara ini, saya sangat praktikal, bahawa hak perwakilan untuk memilih dalam keadaan yang baik-baik,” katanya dalam program bual bicara Agenda Awani – Pasca 100 Hari kerajaan perpaduan yang disiarkan secara langsung di Astro Awani, malam tadi, menurut Harian Metro.

Beliau berkata demikian ketika ditanya oleh hos Nazri Kahar mengenai dakwaan beberapa pihak bahawa hanya ‘orang Presiden’ yang menang dalam pemilihan Umno kali ini.

Terdahulu, Nurulhidayah dilaporkan tidak berpuas hati selepas kalah dalam pemilihan, dan mendakwa wujud pelanggaran etika ketika proses itu berlangsung Sabtu lalu.

Bagaimanapun, beliau berjaya memenangi jawatan Exco Wanita Umno peringkat pusat.

Selain itu, Zahid berkata beliau menganggap semua calon sama ada tewas atau menang, sebagai ‘orang Zahid’ kerana tidak mahu mewujudkan puak dalam Umno.

“Bagi saya, yang menang itu semua orang saya sebab saya Presiden Umno. Saya tak mahu ada kabilah dalam Umno.

“Semua yang tawarkan diri, sama ada jawatan Ketua Wanita, Pemuda atau Puteri, mereka semua jumpa dengan saya untuk dapat restu saya. Saya tidak ada menghalang untuk bertanding,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-