Showing posts with label pemilihan parti. Show all posts
Showing posts with label pemilihan parti. Show all posts

Thursday, October 17, 2024

Pemilihan BERSATU dedah wujud kem tidak 'sebulu' Muhyiddin

bharian.com.my
Oleh Dr Mohammad Tawfik Yaakub
bhrencana@bh.com.my
Oktober 17, 2024 
Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

BERSATU ketika ini sedang diselubungi aura pemilihan parti yang bakal menentukan penyandang bagi beberapa jawatan tertinggi parti itu. Antara jawatan yang menyaksikan persaingan sengit ialah Naib Presiden, Ketua Armada dan Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT).

Menariknya pada pemilihan kali ini, Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin turut mengemukakan 'pelan kompromi' dan direstui MPT bertujuan mengelakkan perpecahan dalaman parti.

Tumpuan utama pemilihan kali ini membabitkan tiga jawatan Naib Presiden dan difahamkan restu diberikan kepada tiga pemimpin kanan iaitu Datuk Seri Dr Ronald Kiandee dan Datuk Dr Mohd Radzi Jidin akan mempertahankan jawatan manakala Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu turut bercita-cita merebut kedudukan berkenaan.

Namun dua lagi ahli MPT, Datuk Razali Idris dan Timbalan Ketua BERSATU Selangor, merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuang, Mohd Rafiq Mohd Abdullah mengambil tindakan mengejutkan apabila turut menawarkan diri bertanding jawatan Naib Presiden pada pemilihan kali ini.

Menurut salah seorang ahli MPT yang juga Ketua Armada iaitu Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal, tindakan kedua-dua ahli MPT terbabit mengecewakan Muhyiddin kerana tidak akur dengan pelan kompromi dan petua Presiden bagi mewujudkan pemilihan harmoni.

Perkembangan terbaharu ini menunjukkan wujud kem antara kumpulan Hamzah dan Pengerusi BERSATU Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, mula menonjolkan diri untuk bersaing merebut jawatan utama dalam BERSATU.

Berdasarkan kepada angin politik semasa dalam BERSATU, dua calon penyandang iaitu Ronald dan Mohd Radzi tidak mempunyai masalah mengekalkan kedudukan mereka sebagai Naib Presiden, namun peluang Ahmad Faizal untuk memenangi jawatan Naib Presiden mula tergugat apabila terdapat ahli MPT sendiri 'menderhaka' petua Muhyiddin.

Berbanding Ahmad Faizal dan Mohd Rafiq, Razali mempunyai kelebihan selaku Ketua Penerangan kerana hubungan beliau yang rapat dengan kepemimpinan dan akar umbi. Justeru Razali dilihat lebih menonjol dan berpotensi mengisi kerusi Naib Presiden sekali gus mengenepikan Ahmad Faizal untuk memenangi jawatan berkenaan.

Peluang Ahmad Faizal untuk kekal sebagai pemimpin peringkat nasional semakin sukar sekiranya beliau tewas dalam pemilihan Naib Presiden dan tidak mustahil beliau menjadi 'korban politik' terperangkap untuk membuka laluan kepada Hamzah bagi mendaki hiraki tertinggi dalam kepemimpinan parti.

Oleh demikian, kepemimpinan BERSATU perlu mengakui pemilihan kali ini sebenarnya mengundang perpecahan serius dan mampu merencatkan persediaan serta momentum parti untuk berhadapan Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) dalam tempoh terdekat.

Mungkin umum tidak begitu menyedari hal ini. BERSATU hari ini seolah-olah seorang pesakit sedang bersabung nyawa pada waktu kritikal disebabkan pelbagai komplikasi 'penyakit politik' selepas gagal membentuk kerajaan pasca PRU15.

Antara 'penyakit politik' awal merebak sehingga melemahkan parti itu bermula dengan pemecatan pemimpin utama parti seperti Tun Dr Mahathir Mohamad, Dr Maszlee Malik dan Syed Saddiq Abdul Rahman pada 2020.

Ia disusuli pengumuman keluar parti diketuai Ketua BERSATU Sabah ketika itu, Datuk Seri Hajiji Noor bersama 14 ADUN dan lima Ahli Parlimen pada Disember 2022 untuk membentuk Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan menyertai Kerajaan Perpaduan.

Jun lalu, enam Ahli Parlimen dan seorang ADUN di Selangor digugurkan keahlian kerana menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Di samping itu, BERSATU juga tewas dalam beberapa siri pilihan raya kecil (PRK) seperti di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Bharu, DUN Nenggiri dan dimalukan dengan kekalahan besar di DUN Mahkota dengan majoriti 20,648 undi kepada calon UMNO/Barisan Nasional (BN) baru-baru ini.

Siri kekalahan dialami BERSATU sebenarnya berpunca daripada kegagalan mewujudkan ahli akar umbi kuat seperti parti lain khasnya UMNO dan PAS. Keadaan ini sebenarnya menyukarkan pembentukan jentera politik kuat untuk berhadapan dengan mana-mana pilihan raya sehingga menyebabkan parti perlu meminjam jentera dan calon daripada PAS.

Kenapa keadaan ini berlaku kepada BERSATU. Hal ini berpunca daripada matlamat penubuhannya yang sekadar menjadi platform kedua kepada orang Melayu menggantikan UMNO dan parti tidak mempunyai roh perjuangan tulen seperti UMNO serta PAS semenjak sebelum merdeka.

BERSATU juga dibentuk berdasarkan kekuatan palsu dicipta pemimpin keluar meninggalkan parti, dipecat dan kecewa sama ada dari UMNO, PAS dan PKR.

Tidak mengejutkan satu hari nanti BERSATU juga akan mengalami nasib sama dengan parti serpihan Melayu lain sebelum ini Parti Melayu Semangat 46, Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (BERJASA) serta Parti Pejuang Tanah Air (PEJUANG) sekiranya gagal melaksanakan pembaharuan politik.

Pembaharuan segera perlu dilakukan parti menerusi beberapa tindakan iaitu pertama, Muhyiddin perlu berundur sebagai Presiden bagi memberi peluang kepada pemimpin pelapis mewujudkan kesegaran idea baharu dalam parti.

Kedua, persepsi BERSATU adalah platform kedua orang Melayu menggantikan UMNO perlu dihapuskan kerana ahli parti perlu mempunyai genetik DNA baharu bukan sekadar menerima ahli parti lain untuk memperluaskan keanggotaannya.

BERSATU perlu mempertimbangkan sekatan terhadap bekas ahli parti lain untuk menyertai partinya dan merekrut lebih ramai ahli tidak pernah menganggotai mana-mana parti sebelum ini.

Ketiga, parti perlu berani bertanding atas simbol, calon dan jentera sendiri berbanding berselindung dengan kekuatan parti lain atas payung Perikatan Nasional (PN) ketika bertanding dalam pilihan raya bagi memastikan orang Melayu dan penyokong kaum lain dapat mengenali lebih dekat parti berkenaan.

Masa depan BERSATU hanya bergantung kepada iltizam politik pemimpinnya, jika pemimpin berani membuat perubahan drastik sebelum PRU16, parti ini akan relevan dalam kalangan orang Melayu.

Akan tetapi jika pemimpinnya masih berhempas pulas menjaga jawatan masing-masing tanpa mengendahkan masa depan parti itu, maka tidak mustahil parti ini boleh terkubur seperti parti berteraskan Melayu dan Islam lain.

Penulis iala Pensyarah Kanan, Jabatan Sains Politik, Pentadbiran Awam dan Pengajian Pembangunan, Universiti Malaya

Sunday, July 14, 2024

Zahid sedia dua jawatan tertinggi Umno dipertanding

malaysiakini.com
Bernama
Diterbitkan: Jul 14, 2024 9:09 PM
Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi terbuka sekiranya dua jawatan tertinggi dipertanding semasa pemilihan parti itu pada 2026.

Beliau berkata bagaimanapun, perkara itu tertakluk kepada perbincangan dan keputusan Majlis Tertinggi (MT) UMNO.

"Mengikut Perlembangaan UMNO, pemilihan dalam parti akan diadakan setiap tiga tahun apabila cukup jeda waktu nanti. Ada klausa pemilihan boleh ditangguhkan selama 18 bulan, jadi ia bergantung kepada keputusan MT dan Perhimpunan Agung UMNO, kita akan patuhi Perlembagaan dan peraturan UMNO.

"Saya terbuka dalam perkara ini, apa yang penting UMNO harus dipertahan dan kekal releven. Pemilihan parti untuk memantapkan dan memperkasakan parti tetapi sekarang jangan fikir soal pertandingan, yang penting perkukuhkan UMNO dahulu," katanya.

Ahmad Zahid berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Muar hari ini.

Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu mengulas mengenai tiga usul yang diluluskan oleh Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Tenggara semalam termasuk gesaan agar jawatan Presiden dan Timbalan Presiden parti itu dipertanding pada pemilihan akan datang.

Semalam, Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hasan berkata beliau sedia mempertahankan jawatannya jika ia dipertanding pada pemilihan akan datang.

Ahmad Zahid, yang juga Timbalan Perdana Menteri, berkata pihaknya tidak mahu UMNO kehilangan negeri Johor selaku deposit tetap seperti yang berlaku di Sabah.

“Saya berasa sangat dekat dengan Johor apabila kita mencapai kejayaan pada Pilihan Raya Negeri lepas dengan kemenangan dua pertiga sekali gus menubuhkan kerajaan negeri UMNO dan BN.

"Kehilangan Sabah berpunca daripada situasi politik dan saya harap di Johor masalah dapat diselesaikan. Saya yakin (Menteri Besar) Datuk Onn Hafiz Ghazi akan terus menjadikan Johor sebagai kubu kuat UMNO," katanya.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid dalam ucapan perasmiannya mengingatkan ahli UMNO yang mahu jawatan dalam parti agar menggunakan saluran yang betul.

"Diam tak diam sudah tujuh tahun saya menjadi Presiden UMNO selepas diberikan tanggungjawab oleh Bossku (Datuk Seri Najib Tun Razak).

"Saya dah rasa semua jawatan, jangan naik pijak orang, kalau naik pijak orang, tunggulah masa orang pijak kita pula," katanya.

- Bernama
View Synonyms and Definitions

Wednesday, March 15, 2023

Menang, kalah semua ‘orang saya’, kata Zahid

freemalaysiatoday.com
FMT Reporters - 15 Mar 2023

Presiden Umno Ahmad Zahidi berkata beliau menganggap semua calon tewas dan menang dalam pemilihan, sebagai ‘orangnya’ kerana tidak mahu mewujudkan puak dalam parti.
Presiden Umno Ahmad Zahidi menafikan cenderung untuk memenangkan calon tertentu pada pemilihan parti.

PETALING JAYA: Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi menafikan beliau cuba campur tangan dan cenderung untuk memenangkan ‘orang Presiden’ pada pemilihan parti kali ini.

Malah, beliau menegaskan, ia terbukti apabila anaknya sendiri, Nurulhidayah kalah dalam pemilihan merebut jawatan ketua Wanita Umno Bagan Datuk.

“Kalau saya memihak dan saya mahu menangkan hanya seseorang, saya fikir elok saya menangkan anak saya sendiri sebagai ketua Wanita Umno Bagan Datuk, tapi beliau kalah.

“Kalau jelas saya menyokong seseorang sebagai ketua Wanita Umno Malaysia, bagaimana bahagian saya juga menyokong orang lain?

“Dalam perkara ini, saya sangat praktikal, bahawa hak perwakilan untuk memilih dalam keadaan yang baik-baik,” katanya dalam program bual bicara Agenda Awani – Pasca 100 Hari kerajaan perpaduan yang disiarkan secara langsung di Astro Awani, malam tadi, menurut Harian Metro.

Beliau berkata demikian ketika ditanya oleh hos Nazri Kahar mengenai dakwaan beberapa pihak bahawa hanya ‘orang Presiden’ yang menang dalam pemilihan Umno kali ini.

Terdahulu, Nurulhidayah dilaporkan tidak berpuas hati selepas kalah dalam pemilihan, dan mendakwa wujud pelanggaran etika ketika proses itu berlangsung Sabtu lalu.

Bagaimanapun, beliau berjaya memenangi jawatan Exco Wanita Umno peringkat pusat.

Selain itu, Zahid berkata beliau menganggap semua calon sama ada tewas atau menang, sebagai ‘orang Zahid’ kerana tidak mahu mewujudkan puak dalam Umno.

“Bagi saya, yang menang itu semua orang saya sebab saya Presiden Umno. Saya tak mahu ada kabilah dalam Umno.

“Semua yang tawarkan diri, sama ada jawatan Ketua Wanita, Pemuda atau Puteri, mereka semua jumpa dengan saya untuk dapat restu saya. Saya tidak ada menghalang untuk bertanding,” katanya.

Tuesday, June 28, 2022

Nazri cabar buat pemilihan parti kalau berani, baharu PRU-15

agendaily.com
27/06/2022
Bekas ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Nazri Aziz.

Veteran UMNO, Datuk Seri Nazri Aziz mencabar supaya pemilihan parti diadakan terlebih dahulu sebelum Parlimen dibubar bagi mengadakan pilihan raya umum ke-15 (PRU-15).

Ahli Parlimen (MP) Padang Rengas itu berkata tidak wajar sekiranya UMNO hanya mendesak untuk mengadakan PRU-15 tetapi pemilihan parti boleh pula ditangguhkan demi kepentingan politik peribadi individu tertentu.

“Buatlah pemilihan parti kalau berani, …nak hadapi PRU berani …(perlu berani) hadapi pemilihan parti juga. Apa yang perlu dibuat UMNO ketika ini adalah pemilihan bukannya PRU.

“Saya risau kalau tidak dibuat sebelum Disember, UMNO akan dibubar sebab kita ada 18 bulan bermula Jun tahun lalu untuk adakan pemilihan,” katanya lapor BH.

Nazri juga menyahut cadangan yang dikemukakan bekas ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman yang baharu dipecat supaya Presiden, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berundur kerana terpalit dengan banyak pertuduhan di mahkamah.

“Zahid patut tarik diri, …amalan lepas menunjukkan siapa ada kes perlu berundur seperti mana Dr Mohamad Khir Toyo (bekas Menteri Besar Selangor); Tan Sri Muhammad Muhd Taib (bekas Naib Presiden UMNO) dan Tan Sri Rahim Tamby Chik (bekas Ketua Menteri Melaka).

“Malah, sebelum ini, UMNO buat keputusan sesiapa ada kes perbicaraan perlu mengundurkan diri bagi fokus kepada kes supaya kes peribadi tidak dijadikan kes parti.

“Tetapi tak undur diri pula (Zahid) itu yang jadi masalah sekarang,” katanya.

Mengulas berhubung pendedahan Tajuddin semalam, Nazri berkata MP Pasir Salak itu berhak untuk melontarkan pandangan dan bebas mengkritik kerana beliau bukan lagi ahli MT.

“Ia kebebasan bersuara, …Tajuddin dah bukan ahli MKT, jadi orang tidak boleh marah beliau. Beliau cakap benda betul. Biar rakyat dan ahli UMNO membuat keputusan,” katanya lagi.

Jun tahun lalu, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan mengumumkan UMNO menangguhkan pemilihannya di semua peringkat cawangan, bahagian dan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) selama 18 bulan.

Ahmad dilaporkan berkata, sudah menemui dan menulis surat kepada Ketua Pengarah Majlis Keselamatan Negara (MKN), Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan (KKM) dan Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS).

Mei lalu, UMNO juga sudah meminda perlembagaan bagi membolehkan pemilihan parti diadakan enam bulan selepas PRU-15.

Friday, December 17, 2021

'Segerakan pemilihan Umno, beri peluang pada Ismail Sabri sehingga 2023'

malaysiakini.com

Diterbitkan: Dec 17, 2021 6:01 PM

Umno bahagian Ketereh hari ini mengemukakan usul menggesa supaya pemilihan parti itu diadakan segera tahun hadapan sebelum November.

Usul berkenaan dibentang Ketua Penerangan Umno bahagian, Roslan Ab Hamid dan disokongan wakil Pemuda Umno bahagian, Mohd Aura Muhammad.

"Tahun 2022 adalah tahun wajib diadakan pemilihan di semua peringkat parti dan tidak boleh lewat dari November 2022.

"Justeru parti perlu menyegerakan proses tersebut agar setiap lapisan kepimpinan di cawangan, bahagian dan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) mendapat mandat ahli untuk melangkah menuju Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) yang tempohnya sehingga 2023.

"Mandat ahli amat penting dalam proses merekayasa parti, meningkatkan integriti, serta memperkasa saf pimpinan bagi menjamin penerimaan rakyat dan memenangkan parti dlm PRU 2023," kata Roslan ketika membentangkan usul berkenaan.

Usul berkenaan dibentangkan pada Mesyuarat Perwakilan Umno bahagian Ketereh di Kelantan, hari ini.

Majlis dirasmikan Ketua Umno Ketereh, Annuar Musa yang juga Menteri Komunikasi dan Multimedia.

Dalam sidang medianya, Annuar berkata Mesyuarat Umno bahagian Ketereh meluluskan usul menyokong Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakub sehingga 2023 dan menggesa pemilihan parti diadakan tahun depan.

"Tahun 2022 adalah tahun wajib diadakan pemilihan dan lagi cepat kita selesaikan pemilihan adalah lagi baik dan ia tidak boleh dikaitkan dengan pilihan raya.

"Urusan pilihan raya adalah urusan kerajaan dan perkenan seri paduka baginda Yang di-Pertuan Agong. Ia boleh datang sebelum pemilihan, ia boleh datang selepas pemilihan.

"Dari sudut parti pemilihan parti tak boleh lebih daripada 22 Nov," kata Annuar.

Katanya, tiada alasan untuk Umno menagguhkan lagi pemilihan parti kerana situasi Covid-19 telah mengizinkan pemilihan diadakan.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-