Friday, March 31, 2023

Najib dah guna semua saluran untuk merayu, kata pendakwa

freemalaysiatoday.com
Danial Azhar
- 31 Mar 2023, 1:05pm

Pendakwa Raya Ad-Hoc V Sithambaram berharap keputusan mahkamah tertinggi akan menutup kes SRC International.
V Sithambaram berkata keputusan Mahkamah Persekutuan mengesahkan bahawa pertuduhan terhadap bekas perdana menteri Najib Razak adalah sah di sisi undang-undang dan tidak bermotifkan politik.

PUTRAJAYA: Bekas perdana menteri Najib Razak sudah menggunakan semua saluran dalam usahanya membuat rayuan terhadap kes rasuah SRC International, kata Pendakwa Raya Ad-Hoc V Sithambaram.

Pada sidang media, Sithambaram berkata beliau berharap keputusan Mahkamah Persekutuan yang menolak permohonan Najib untuk menyemak sabitan dan hukumannya dalam kes SRC akan membawa penutupan kepada kes itu.

“Keputusan Mahkamah Persekutuan juga merupakan satu pewajaran bahawa pertuduhan terhadap Najib adalah sah dari segi undang-undang dan bukan pertuduhan politik.

“Kepada ahli politik dan pesalah lain yang berkemungkinan, pendakwaan ini menunjukkan bahawa tiada siapa di negara ini berada di atas undang-undang. Pendakwaan yang berjaya ini mesti memberi mesej kepada semua, yang mereka tidak boleh terlepas daripada undang-undang,” katanya.

Beliau turut menggesa semua pihak menerima keputusan majoriti mahkamah tertinggi.

Terdahulu, Hakim Vernon Ong, Rhodzariah Bujang, Nordin Hassan dan Abu Bakar Jais menolak permohonan bekas perdana menteri itu.

Hakim Besar Sabah dan Sarawak Abdul Rahman Sebli yang mempengerusikan panel mendengar permohonan itu adalah satu-satunya hakim yang tidak bersetuju.

Susulan keputusan itu, bekas Ahli Parlimen Pekan tersebut akan menjalani baki tempoh penjara 12 tahunnya, melainkan mendapat pengampunan diraja daripada Yang di-Pertuan Agong.

Pada 28 Julai 2020, Najib disabitkan oleh Hakim Nazlan Ghazali, yang ketika itu hakim Mahkamah Tinggi, atas kesalahan salah guna kuasa, pengubahan wang haram dan pecah amanah jenayah (CBT) ke atas dana SRC berjumlah RM42 juta.

Dia dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta.

Rayuannya kepada Mahkamah Rayuan ditolak pada 8 Dis 2021.

Najib memulakan hukuman penjara 12 tahun pada 23 Ogos 2022, selepas Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan dan hukuman asal.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-