Tuesday, March 21, 2023

PN isytihar ‘Siap Siaga 100 Hari Gempur PN Best!’ tawan 3 negeri

agendaily.com
21/03/2023
Ketua Pemuda Perikatan Nasional yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari menunjukkan poster 'Siapsiaga 100 Hari Gempur PN Best!'. - Gambar FB Ahmad Fadhli

Perikatan Nasional (PN) mengisytiharkan kempen ‘Siapsiaga 100 Hari Gempur PN Best!’ bagi menghadapi pilihan raya yang dijangka diadakan pertengahan tahun ini di enam negeri – Kedah, Kelantan, Terengganu, Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan.

Kempen siap siaga itu diumumkan pada mesyuarat Majlis Tertinggi PN malam tadi, kata Ketua Pemuda PN, Ahmad Fadhli Shaari.

Difahamkan, mesyuarat turut membincangkan pelbagai persiapan menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) berkenaan, termasuk pembahagian kerusi.

Pelancaran ‘Siapsiaga 100 Hari Gempur PN Best!’ itu dilakukan Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Dalam kenyataan ringkas hari ini (21 Mac 2023) Ahmad Fadhli yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas dan Ketua Pemuda PAS Pusat berkata PN akan berusaha untuk menawan tiga negeri yang kini di bawah pentadbiran Pakatan Harapan (PH).

“Mesyuarat Majlis Tertinggi Perikatan Nasional malam tadi, serentak pengisytiharan SIAP SIAGA 100 HARI GEMPUR sempena PRN di enam negeri.

“Kekalkan kemenangan di tiga negeri, tawan tiga lagi negeri Insya Allah,” katanya.

Tiga negeri iaitu Kedah, Kelantan dan Terengganu kini ditadbir PN menerusi PAS, manakala Negeri Sembilan dan Selangor (PH-PKR) dan Pulau Pinang (PH-DAP).

Enam negeri itu dijangka mengadakan PRN Julai depan, setelah tidak menyertai Pilihan Raya Umum Ke-15 pada 19 November 2022.

Sebanyak 245 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) akan dipertandingkan dalam PRN itu iaitu 56 kerusi di Selangor; Kelantan (45); Pulau Pinang (40); Negeri Sembilan serta Kedah masing-masing 36 kerusi; dan Terengganu (32).

Pada PRN ke-15 di enam negeri itu, PN akan berdepan saingan daripada gabungan DAP, UMNO, PKR, dan AMANAH. Manakala, MCA dan MIC yang turut menyertai kerajaan PH-BN mungkin tidak diberi sebarang kerusi.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-