Thursday, April 27, 2023

Tolak pengampunan Najib, Amanah dakwa langkah UMNO terpesong

agendaily.com
27/04/2023
Bekas Presiden UMNO Datuk Seri Najib Razak menjalani hukuman 12 tahun penjara setelah kekal didapati bersalah melibatkan RM42 juta dana SRC International.

Parti Amanah merayu kepada Yang di-Pertuan Agong dan Lembaga Pengampunan agar menolak permohonan Datuk Seri Najib Razak untuk diampun dan dibebaskan dari penjara.

Rayuan Amanah tersebut dibuat menjelang sidang Lembaga Pengampunan esok yang dijangka akan membincangkan berhubung permohonan dibuat UMNO untuk membebaskan Najib yang sedang menjalani hukuman penjara ekoran sabitan kes SRC International Sdn Bhd.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan Pengarah Komunikasi Amanah, Khalid Abd Samad, parti itu berpendirian, hanya dengan cara itu sahaja nama baik negara dan komitmen untuk memerangi rasuah dan penyalahgunaan kuasa dapat dijaga.

“Dengan penuh hormat dan takzim, kami dari Parti Amanah Negara ingin merayu kepada Agong dan Lembaga Pengampunan supaya permohonan pengampunan ini ditolak dan Najib terus dipenjarakan atas sebab kesalahan yang jelas telah beliau lakukan.

“Hanya dengan itu, rakyat akan yakin bahawa Kerajaan Perpaduan dan Institusi Raja-raja Melayu, bersama Seri Paduka, ingin menyelamatkan negara kita dari pandemik rasuah dan salah guna kuasa yang melandanya sekian lama,” katanya dalam kenyataan dilaporkan oleh Harapandaily.

Lembaga Pengampunan dikatakan akan bersidang dan membuat keputusan sama ada akan memberikan pengampunan kepada Datuk Seri Najib Razak atau tidak esok.

Amanah menyifatkan, pendirian lembaga itu sebagai satu peristiwa yang akan diikuti pelbagai pihak, bukan setakat rakyat negara ini tetapi juga seluruh dunia.

“Keputusan yang dibuat akan menetapkan batu tanda yang penting dalam sejarah negara ini.

“Adalah diharap pandangan ini apabila disuarakan akan membantu Seri Paduka untuk membuat keputusan yang baik dan tepat bagi dirinya, institusi raja-raja Melayu dan negara ini secara keseluruhannya.

“Ia akan memberi petanda sejauh mana perjuangan menentang rasuah dan salah guna kuasa diambil serius atau sekadar cogan kata politik dan pilihan raya sahaja.

“Dalam pada itu, ramai yang bertanya, apa pendirian Parti Amanah sebagai rakan kongsi dalam Kerajaan Perpaduan melalui Pakatan Harapan (PH) dalam isu ini,” tegas Khalid.

Khalid berkata, ramai turut hairan dengan apa yang disebut sebagai “the deafening silence” atau “kesunyian yang memekakkan” berhubung isu ini, khususnya oleh parti-parti gabungan dalam PH.

“Kami ingin tegaskan bahawa Amanah mengakui dan mengiktiraf, pengampunan adalah hak mutlak Yang di-Pertuan Agong.

“Namun demikian, tiada salahnya untuk Amanah memberi pandangannya terhadap isu ini.

“Adalah diharap pandangan ini apabila disuarakan akan membantu Seri Paduka untuk membuat keputusan yang baik dan tepat bagi dirinya, institusi raja-raja Melayu dan negara ini secara keseluruhannya,” kata kenyataan itu lagi.

Katanya, Amanah berpandangan, pengampunan kepada Najib akan menghantar mesej yang sangat tidak baik kepada rakyat, sistem keadilan negara negara ini dan juga kepada seluruh dunia berhubung sikap dan pendirian kita terhadap rasuah dan salah guna kuasa.

“Apakah memberikan pengampunan kepada orang yang telah memalukan negara di serata dunia akan menunjukkan sikap tegas dan tiada kompromi kita terhadap rasuah?

“Sudah pasti tidak!

“Sebaliknya ia akan memberikan isyarat salah bahawa perang rasuah hanya cogan kata kosong untuk kepentingan politik dan akhirnya semua akan kembali seperti biasa,” kata kenyataan itu.

Apatah lagi, katanya, satu demi satu negara di dunia sedang membicarakan pihak-pihak yang bersekongkol dengan Najib dalam skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) ini.

Kalau sebelum ini Amerika Syarikat, Singapura, Kuwait dan terkini Switzerland pula membicarakan pesalah dalam skandal 1MDB ini.

“Selepas 13 dari 14 hakim bersidang bagi membicarakan Najib memutuskan beliau bersalah tiba-tiba negara melalui Lembaga Pengampunan mahu memberikan pengampunan kepada beliau pula?

“Tidakkah ini bererti adanya golongan yang kebal undang-undang dan ‘above the law’?” katanya.

Bagi Amanah, persoalan pengampunan ini dibawa oleh UMNO atas rasa tanggungjawab mereka terhadap bekas Presiden mereka.

“Walaupun sifat kesetiaan dan mengenang jasa terhadap pemimpin secara amnya adalah satu sifat positif, namun dalam konteks ini adalah lebih baik UMNO bersama PH menunjukkan komitmen terhadap usaha memerangi rasuah yang menjadi paksi masyarakat madani.

“Tindakan UMNO kelihatan sedikit terpesong dari wawasan masyarakat madani yang diperjuangkan bersama,” katanya.

Lagipun, kata kenyataan itu, Najib berdepan dengan banyak lagi kes di mahkamah yang sedang dibicarakan.

“Apakah selepas diampunkan, beliau akan masuk ke penjara lagi jika didapati bersalah selepas ini?

“Atau dianggap beliau berada di satu maqam dan kedudukan istimewa yang kebal undang-undang?” katanya.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-