By SatuBerita
-April 19, 2023
KEBERADAAN UMNO di dalam kerajaan hanyalah seperti menumpang kasih dan sekiranya parti itu menarik sokongan ia tidak akan memberi sebarang kesan, kata timbalan presidennya, Datuk Seri Mohamad Hasan.
Beliau yang juga menteri pertahanan mengingatkan ahli UMNO supaya sedar diri dan tidak berkelakuan seperti ketika parti itu memerintah negara ini dulu.
Katanya, ini terutamanya selepas parti Melayu itu mencatatkan prestasi mengecewakan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang berlangsung pada November tahun lepas apabila hanya mampu memperoleh 26 kerusi Parlimen.
Ia merupakan prestasi terburuk yang pernah dicatatkan parti itu sejak penubuhannya.
“Kita ini dalam kerajaan menumpang kasih saja.
“Kalau kita keluar esok pagi pun dengan 30 kerusi, kerajaan takkan tumbang,” katanya dalam satu wawancara bersama UMNO Online baru-baru ini.
“Sebab kerajaan ada 148 (kerusi). Tak tumbang, jadi jangan acah-acah. Orang tidak takut. Jadi berperangai elok-elok.”
Baru-baru ini, bekas naib presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyifatkan keberadaan parti Melayu itu dalam kerajaan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai “kahwin paksa”.
Katanya, keretakan dalam gabungan antara Barisan Nasional (BN)-Pakatan Harapan (PH) itu sudah boleh dilihat apabila sekurang-kurangnya dua pemimpin kanan UMNO Johor menegur beberapa pemimpin DAP dan PKR kerana melontarkan komen yang dianggap sebagai menghina parti Melayu itu.
“Setakat ini, baru permulaan. Kita tengoklah. Saya tak mahu komen lebih.
“Tapi dah ada dah, DAP komen tentang UMNO, UMNO komen tentang DAP,” kata bekas perdana menteri itu.
Sementara itu, Mohamad yang juga ahli Parlimen Rembau turut mengingatkan ahli partinya supaya tidak berlagak seperti menang pilihan raya dan mula memperbaiki imej UMNO yang mula mencatatkan trend penurunan sokongan sejak PRU11 pada 2004.
“Kadang-kadang kita lupa, kita berlagak macam kita menang. Kita tidak berubah mengambil sikap orang kalah.
“Jangan cerita mengenai hala tuju. Bila orang dah lemas mana ada hala tuju. Hala tuju dia (UMNO) adalah untuk hidup,” katanya.
Mengulas mengenai kedudukan UMNO dalam kerajaan, Mohamad menyifatkan ini sebagai takdir Allah apabila BN yang menang 30 kerusi berupaya jadi kerajaan manakala Perikatan Nasional (PN) yang memperoleh 74 kerusi tidak dapat berbuat demikian.
Beliau turut menyarankan supaya UMNO menggunakan peluang ini untuk membina semula kekuatan parti secara diam-diam dengan mengambil hati rakyat semula.
“Kalau sesiapa jadi menteri atau timbalan menteri, urus baik-baik supaya orang boleh melihat kualiti pemimpin menteri UMNO ini lebih baik dari menteri lain.
“Lebih baik jadi penyemak imbang di dalam berbanding di luar.
“Itu yang sedang kita lakukan, menyemak imbang kerajaan dari dalam,” tambah beliau.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.