Saturday, May 13, 2023

Malaysia Madani perlukan sokongan padu rakyat Kelantan - PM

malaysiakini.com
Bernama
Diterbitkan: May 13, 2023 8:00 AM
Kerajaan Perpaduan mengharapkan sokongan dan komitmen yang padu daripada seluruh rakyat Kelantan dalam merealisasikan agenda membangunkan Malaysia MADANI.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata ia merupakan wadah bersepadu dan holistik, bertunjangkan dasar-dasar yang berorientasikan masa depan, demi mewujudkan sebuah masyarakat yang madani, maju, terampil dan terangkum.

"Kerajaan Perpaduan memberi jaminan bahawa seluruh hak rakyat Malaysia akan sentiasa terbela tanpa mengira agama dan bangsa. Perlembagaan Malaysia, Bangsa Melayu, Agama Islam sebagai agama rasmi negara dan kedudukan Raja-Raja Melayu akan sentiasa dipertahankan.

"Selain itu kerajaan juga tidak akan berkompromi terhadap amalan rasuah dan penyelewengan dengan melalui reformasi tadbir urus kerajaan yang padu dan dinamik serta memberi fokus kepada pemulihan ekonomi dalam mendukung dan merealisasikan agenda nasional untuk Membangun Malaysia MADANI," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Rumah Terbuka Malaysia MADANI di perkarangan Stadium Sultan Muhammad IV, di Kota Bharu semalam, yang turut dihadiri Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof serta Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob.
Mengulas lanjut, Anwar berkata kerajaan juga akan sentiasa berlaku adil dan tidak meminggirkan mana-mana negeri meskipun berbeza ideologi politik dalam memastikan keselesaan dan kesejahteraan rakyat.

"Banyak usaha-usaha yang diambil oleh kerajaan Perpaduan dalam meningkatkan ekonomi dan taraf hidup penduduk di Kelantan tahun ini seperti meningkatkan akses kemudahan perubatan kepada komuniti setempat dan mengurangkan kesesakan pesakit di fasiliti-fasiliti kesihatan sedia ada.

"Kerajaan telah membaik pulih dan menaik taraf klinik-klinik kesihatan di seluruh Kelantan seperti Bachok, Gua Musang, Jeli, Kota Bharu dan Kuala Krai yang merangkumi 38 fasiliti dengan menelan perbelanjaan sebanyak RM9.3 juta," katanya.

Beliau berkata kerajaan juga amat prihatin terhadap isu banjir yang sering membelenggu rakyat Kelantan, dan penyelesaian yang ampuh perlu dirungkai bagi menoktahkan isu banjir itu dengan kadar segera dengan beberapa kajian telah dilaksanakan dalam membendung permasalahan ini.

"Selain itu, pembinaan Jambatan Palekbang akan menjadi pencetus kepada pembangunan baharu di jajahan Tumpat dan merangsang lagi pembangunan sedia ada di Kota Bharu.

"Reka bentuk jambatan ini merupakan reka bentuk Cable Stayed dengan kepanjangan 1.29 kilometer dan 24 meter lebar yang melibatkan jajaran utama dua arah dua lorong. Projek yang sepatutnya bermula pada tahun ini dijangka siap sepenuhnya pada tahun 2025," katanya.

- Bernama

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-