Monday, May 1, 2023

Pertemuan Annuar-Tun M, adakah bakal wujud kerjasama politik baharu?

agendaily.com
01/05/2023
Pertemuan Annuar Musa dengan Dr Mahathir Mohamad pada Ahad, 30 April 2023.

Tan Sri Annuar Musa bertemu dengan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad pada Ahad dalam satu hantaran yang dikongsi di Facebook semalam.

Pertemuan bekas pemimpin UMNO yang dipecat dan kini merupakan Presiden Pertubuhan Muafakat Nasional (MN) dengan Dr Mahathir itu menimbulkan spekulasi bakal wujud kerjasama politik baharu menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak lama lagi.

Menerusi hantaran di Facebook, Annuar berkata, beliau bersama Dr Mahathir sepakat untuk terus berikhtiar mengukuhkan Muafakat dan Perpaduan orang Melayu dan Bumiputera di negara ini.

“Kami sepakat untuk terus berikhtiar mengukuhkan muafakat dan perpaduan orang Melayu dan Bumiputera serta memastikan muafakat orang Melayu dan Bumiputera kembali menjadi teras politik dan pentadbiran negara.

“Selain itu amatlah penting kita menyuburkan muafakat bagi mengurus negara kita yang berbilang bangsa dan agama ini dengan baik, seperti mana Tun pernah lakukan sekian lama sebagai Perdana Menteri,” katanya dalam hantaran tersebut.

Jelas Annuar, pertemuan yang berlangsung di kediaman Dr Mahathir itu membincangkan mengenai politik khususnya soal masa depan orang Melayu dan Bumiputera di Malaysia serta hal ehwal semasa politik negara.

“Sejak dulu Tun begitu passionate bila bercakap tentang orang Melayu.

“Walaupun saya dan Tun sering berbeza pendapat dan haluan politik, namun saya amat kagumi kepimpinan Tun yang begitu banyak membawa impak dan amat berjasa pada negara. Kebijaksanaannya serta ketajaman pemikirannya kekal hingga sekarang,” katanya.

Annuar sebelum ini mengesahkan akan menyertai parti baharu selepas dipecat UMNO sebelum ini dan menunggu masa yang sesuai untuk membuat pengumuman berhubung hala tuju politiknya.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-