Monday, May 1, 2023

UMNO perlu belajar hidup ‘kahwin paksa’ dalam kerajaan campuran

agendaily.com
01/05/2023
UMNO-BN kini menyertai kerajaan Pakatan Harapan.

Dalam hidup rumah tangga ‘kahwin paksa’, setiap pasangan perlu menelan asam garam kehidupan walaupun pahit.

Pasangan ‘kahwin paksa’ perlu belajar menerima kekurangan dan kelebihan masing-masing jika mahu berbahagia sehingga anak cucu, jika tidak mahu bercerai di tengah jalan.

Begitu jua dalam politik, ‘kahwin paksa’ antara parti politik yang berbeza ideologi dan fahaman juga akan menempuh pelbagai cabaran dan dugaan.

‘Kahwin paksa’ dalam politik hanya semata-mata mahu berkuasa dan mendapat jawatan tanpa hala tuju yang sama adalah sangat tidak ideal dan pasti akan bertemu kegagalan di tengah jalan kerana niat yang tidak ikhlas.

Situasi sekarang yang sedang dihadapi UMNO apabila ‘kahwin paksa’ dengan Pakatan Harapan (PH) yang terdiri daripada PKR, DAP dan Parti Amanah.

Ketiga-tiga parti dalam PH adalah musuh tradisi UMNO sejak berpuluh tahun, malah pelbagai kecaman dan kutukan dibuat sesama mereka dalam kempen pilihan raya sebelum ini.

PH melabel UMNO sebagai sebuah parti perompak dan penyamun, malah lagu sebuah lagu ‘Hoi Ya Hoi’ dicipta pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) yang ditujukan khususnya kepada UMNO-Barisan Nasional (BN).

Setiap kempen ceramah politik semasa PRU-15 lalu, pemimpin PH akan menyanyi dan berjoget lagu rap yang dipopularkan Altimet itu dengan matlamat mengutuk pemimpin UMNO yang terpalit dengan kes rasuah dan salah guna kuasa.

Bagaimanapun, demi kuasa dan jawatan semua prinsip yang diperjuangkan mereka sebelum ini sanggup dicampak ke dalam tong sampah dan bersama-sama dengan UMNO untuk membentuk sebuah kerajaan ‘kahwin paksa’.

Rakyat semua terkedu dan tidak faham melihat situasi politik negara apabila sebuah parti politik yang bermusuhan bermati-matian sebelum ini boleh tidur sekatil berkongsi satu selimut.

Setiap perkahwinan pasti indah pada mulanya, masing-masing sering memuji kecantikan dan bercakap soal kebahagian, tetapi sampai bilakah semua itu dapat dipertahankan dalam sesebuah ‘kahwin paksa’?

Perkara ini yang sedang berlaku dalam kerajaan campuran ketika ini, nampaknya parti dalam PH sudah mula bercakap mengenai soal keburukan UMNO secara terbuka dan terang-terangan tanpa berselindung lagi.

Masalah rumah tangga yang sepatutnya diselesaikan secara diam-diam di dalam kelambu dibawa keluar dan diceritakan kepada khayalak awam sehingga memalukan pasangan pengantin baharu tersebut.

Demikian yang terpaksa dihadapi UMNO apabila DAP dan Parti Amanah mula menceritakan keburukan kepada orang ramai sehingga tidak tahu dimana lagi mahu letak muka mereka.

Maka terpaksalah UMNO mempertahankan diri daripada terus dimalukan dengan membalas balik setiap kritikan kepada rakan parti yang berada dalam satu kerajaan ketika ini.

Namun, tidak ada gunanya UMNO menunjukkan kononnya mereka masih kuat dan mempunyai maruah kerana hakikatnya parti itu hanya penumpang dalam kerajaan campuran.

UMNO bukan lagi sebuah parti besar yang disegani seperti suatu ketika dahulu, UMNO kini hanya sebuah parti kecil yang tidak berdaya membentuk kerajaan secara bersendirian.

Pemimpin UMNO perlu belajar menerima realiti untuk hidup dalam sebuah ‘perkahwinan paksa’ dan perlu menelan setiap kepahitan dalam hidup berumahtangga dengan rakan politik mereka yang baharu.

Atau dalam erti kata lain, UMNO kini boleh diibaratkan ’habis madu, sepah dibuang’, apabila sudah dipergunakan untuk membentuk kerajaan, mereka tidak lagi berguna kerana kerajaan sekarang sudah kuat dan tanpa UMNO sekalipun, kerajaan ini dapat berdiri sendiri.

Tidak ada gunanya UMNO cuba menunjukkan kuat atau ego kerana ia kelak hanya akan merugikan mereka sahaja, kehilangan jawatan dan pangkat adalah sesuatu yang amat mengerikan buat pemimpin UMNO.

Tambahan pula, ramai pemimpin UMNO yang kalah semasa bertanding PRU-15 lalu sudah mendapat jawatan dan habuan, pastinya mereka tidak mahu menjadi semula parti pembangkang.

Mahu tidak mahu, pemimpin UMNO perlu menerima apa sahaja pandangan rakan parti dalam kerajaan campuran terhadap mereka walaupun agak pedas dan menguris hati kerana itu lah realiti sebuah ‘kahwin paksa’.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-