Thursday, June 8, 2023

10 warlord Umno sertai PN, Zahid ucap selamat maju jaya

hmetro.com.my
Mohammad Khairil Ashraf Mohd Khalid
khairil.ashraf@hmetro.com.my
AHMAD Zahid pada sidang media Perhimpunan Agung Umno 2023 di WTCKL. FOTO Aziah Azmee

Kuala Lumpur: Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hari ini mengucapkan selamat maju jaya kepada beberapa bekas pemimpin parti itu yang akan menyertai Perikatan Nasional (PN) sebelum Pilihan Raya Negeri (PRN).

Katanya, bagi menghadapi enam PRN yang dijangka berlaku tidak lama lagi, Umno akan menyusun gerak kerja bersama-sama dengan parti yang membentuk Kerajaan Perpaduan.

Beliau berkata, gerak kerja itu bukan hanya sekadar untuk mengekalkan kerusi Umno tetapi turut mahu menawannya.

"Kita bukan hanya (nak) menawan tetapi yang penting matlamat utamanya untuk mengekalkan kerusi-kerusi yang ada," katanya pada sidang medianya di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) hari ini.

Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Datuk Razali Idris sebelum ini mendakwa sekurang-kurangnya 10 'warlord' daripada Umno dijangka akan menyertai PN sebelum PRN.

Razali berkata, antara mereka yang dijangka menyertai gabungan terbabit adalah pemimpin yang disisihkan Umno.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berkata, kombinasi antara tawan dan kekal ini telah dibincangkan bersama parti yang membentuk Kerajaan Perpaduan.

"Insya-Allah apabila kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang akan dibubarkan pada akhir bulan ini, saya yakin gerak kerja kita akan bertambah rancak," katanya.

Ahli Parlimen Bagan Datuk itu berkata, Umno pernah melalui tindakan beberapa pemimpinnya yang meninggalkan parti tetapi akhirnya tetap mendapat sokongan.

"Telah beberapa kali perkara itu berlaku. Insya-Allah Umno tetap Umno dan rakyat khususnya orang-orang Melayu dan Islam akan terus menyokong Umno .

"Tetapi kita mesti melempiaskan soal fitnah, soal mehnah dilontarkan oleh mereka yang agak terkesan dalam PRU-14 dan PRU-15.

"Jadi Insya-Allah, kita ada pimpinan baru, cara kita bergerak itu berbeza pada waktu sebelum ini," katanya.

Disiarkan pada: Jun 8, 2023

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-