Tuesday, June 20, 2023

Ambil iktibar kejatuhan UMNO-BN di Selangor pada 2008: Noh

agendaily.com
20/06/2023
Bekas Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar menjangkakan UMNO akan kalah teruk pada PRN akan datang setelah parti itu berkawan dengan DAP.

Kejatuhan UMNO-Barisan Nasional (BN) di Selangor pada Pilihan Raya Umum Ke-12 (PRU-12) boleh dijadikan iktibar ke arah usaha menumbangkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) walaupun sudah memerintah kerajaan negeri selama tiga penggal.

Bekas Pengerusi UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar berkata tidak mustahil Perikatan Nasional (PN) boleh mencipta keajaiban pada Pilihan Raya Negeri (PRN) nanti kerana pengundi di negeri tersebut bijak menilai dalam memilih parti yang dirasakan lebih layak untuk memerintah.

“Ambillah iktibar apa yang berlaku pada Barisan Nasional tuan-tuan, tahun 2004 semasa PRU-11 di Selangor, Barisan Nasional menang kerusi Parlimen seratus-peratus, 22 Parlimen sapu bersih.

“Di Dewan Undangan Negeri (DUN), BN hanya kalah dua (kerusi) sahaja dan 54 (kerusi) kita menang… Tetapi rakyat Selangor jangan main-main tuan-tuan, bila berlaku tsunami, bila rakyat Selangor nak berubah.

“Walaupun menang 2004 dengan luar biasa, datang tsunami dengan rakyat Selangor nak berubah, maka BN kalah pada 2008.

“Daripada (kerusi) Parlimen menang 22, hanya tinggal lima kalau tak silap saya… Daripada 54 kerusi DUN, kita hanya tinggal 20 (kerusi). Akhirnya terlepas lah Selangor daripada BN,” katanya semasa berceramah atas pentas Selangor Baharu PN di Kuala Langat malam tadi.

Noh yang juga bekas Ahli Parlimen Tanjung Karang itu berkata selepas kalah tiga penggal berturut-turut, UMNO-BN sukar untuk memenangi semula di Selangor dan menjadi pemerintah kerajaan negeri.

“Dan hari ini saya nampak, BN takkan dapat baliklah,” ujarnya lagi.

Mengambil iktibar daripada sejarah yang berlaku pada 2008, Noh yakin PN mampu mencipta sejarah pada PRN Selangor nanti.

“Jadi kerana itu tuan-tuan dan puan-puan, saya amat yakin insya-Allah dengan semangat Perikatan Nasional Kita akan mampu untuk memenangi pilihan raya negeri yang akan datang ini,” ujarnya lagi.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-