Nora Mahpar, Faiz Zainudin and Yasmin Latiff
10 Jun 2023
Umno Johor mahu pimpinan parti mencatur pemulihan Umno menerusi kerajaan perpaduan, dan di sebalik apa jua penjajaran.
KUALA LUMPUR: Umno Johor mengingatkan pimpinan bahawa pengundi tidak sebab untuk bersama Umno sekiranya ia dilihat sekadar ‘pelengkap’ kerajaan perpaduan.
Noor Azleen Ambros yang mewakili Umno Johor berkata pimpinan parti harus mencatur pemulihan parti menerusi kerajaan perpaduan, dan di sebalik apa jua penjajaran.
“Tidak ada sebab untuk orang Melayu memilih untuk dinaungi oleh Umno, sekiranya peranan dan kedudukan Umno hanyalah sebagai parti pelengkap dalam kerajaan,” katanya dalam perbahasan perhimpunan agung Umno 2023 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur petang tadi.
“Di sebalik apa jua penjajaran dan dinamika politik baharu Umno di dalam Kerajaan Perpaduan, ia mestilah disusuli dengan percaturan dan strategi jangka panjang yang ampuh untuk mengembalikan Umno di puncak kekuasaan.”
Beliau yang juga ketua Pemuda Umno Johor melihat peranan yang diberi kepada Umno ketika ini kelihatan seperti “pendekatan taktikal jangka masa pendek”.
“Ia bukan hala tuju yang kekal. Ia tidak sekali-kali menandakan kepasrahan Umno untuk sekadar menjadi pelengkap, atau pemain tambahan, mahupun ‘second fiddle’ dalam arena politik,” katanya.
“Umno Johor bertegas bahawa menjadi parti pilihan kedua, parti serpihan, parti kecil nan kerdil bertentangan dengan nilai, falsafah, sejarah, dan fitrah kejadian Umno.”
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.