Saturday, June 10, 2023

Harap Najib dibawa keluar ‘secepat mungkin’, kata Rosmah

freemalaysiatoday.com
 - 10 Jun 2023

Presiden Umno Zahid Hamidi berkata parti itu akan memberi keadilan kepada Najib Razak.

KUALA LUMPUR: Rosmah Mansor berharap ikrar yang dibuat seluruh ahli Umno di Dewan Merdeka semalam supaya suaminya Najib Razak dibebaskan secepat mungkin tidak hanya berdegar-degar ketika Perhimpunan Agung Umno (PAU) sahaja.

“Berharap supaya suami saya dibawa keluar secepat mungkin,” katanya ketika ditanya mengenai tekad parti untuk terus memperjuangkan pembebasan Najib yang popular dengan jolokan “Bossku”.

Laungan “Bebas Bossku” dan “Hidup Bossku” bergema di Dewan Merdeka Pusat Dagangan Dunia (WTC) pada PAU 2023.

Ia selepas Presiden Umno Zahid Hamidi berkata parti itu akan tetap memperjuangkan nasib Najib dan memberi keadilan kepada bekas perdana menteri itu.

“Kita mahukan keadilan untuk Najib. Kita mahu keadilan diberikan kepada beliau sebagai seorang manusia,” katanya ketika menyampaikan ucapan dasar presiden semalam.

Rosmah menambah, beliau terharu dengan sokongan yang ditunjukkan oleh keluarga besar Umno terhadap Najib, walaupun mengakui tidak terlibat dalam proses pengampunan suaminya.

Sebaliknya, beliau berkata Najib sering bercakap dengan anak mereka Nooryana Najwa atau mesra dipanggil Gina sepanjang pertemuan mereka termasuk di mahkamah dan penjara.

“(Proses pengampunan) Itu saya tak masuk campur. Bila kami berjumpa, dia banyak bercakap mengenainya dengan Gina, saya hanya memerhati saja.”

Rosmah berkata, walaupun sudah dua kali Najib tidak bersama dalam PAU, beliau mengakui masih terbayang suaminya berucap di atas pentas keramat itu selaku presiden parti.

“Saya sedih kerana beliau tidak dapat bersama dengan kita, kadang-kadang saya juga membayangkan ketika beliau menjadi presiden bagaimana dia duduk di atas tu, nak cakap apa lagi dia patut buat kepada ahli Umno dan orang Melayu,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-