Saturday, June 10, 2023

'Saya tak masuk campur permohonan pengampunan Najib' - Rosmah

hmetro,com.my
Mohammad Khairil Ashraf Mohd Khalid
khairil.ashraf@hmetro.com.my
ROSMAH temui media ketika hadir ke pada Perhimpunan Agung Umno 2023. FOTO Hazreen Mohamad
Kuala Lumpur: Datin Seri Rosmah Mansor hari ini menyatakan beliau tidak terbabit dalam proses permohonan pengampunan diraja terhadap suaminya, Datuk Seri Najib Razak yang kini sedang menjalani hukuman penjara selama 12 tahun.

Bagaimanapun, beliau berasa terharu dengan sokongan yang diberikan oleh ahli dalam Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2023 untuk membawa keluar suaminya secepat mungkin.

"Itu saya tak masuk campur (permohonan pengampunan diraja terhadap Najib). Semalam adalah satu manifestasi di pihak mereka apabila mereka kata kita ingin Datuk Seri Najib mendapat keadilan.

"Saya ingin ucapkan ribuan terima kasih kepada mereka yang memperjuangkan keadilan di negara ini bukan saja untuk Datuk Seri Najib tetapi semua orang di dalam negara ini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri PAU 2023 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) hari ini.

Pada April lalu, Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno sebulat suara bersetuju memohon menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bagi untuk mempertimbangkan pengampunan penuh kepada Najib.

Setiausaha Agung Umno, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, MKT akan mempersembahkan warkah rayuan kepada Seri Paduka Baginda berserta memorandum ditandatangani seluruh kepimpinan daripada 191 bahagian termasuk Wanita, Pemuda dan Puteri Umno.

Dalam pada itu, Rosmah turut berasa sedih setiap kali hadir ke PAU disebabkan suaminya tidak turut serta bersama-sama dengan mereka.

Beliau berkata, Najib selalu bercerita padanya mengenai apa lagi usaha yang mahu diketengahkan olehnya bagi membela nasib rakyat.

"Saya rasa sedih kerana dia tidak dapat bersama-sama dengan kita. Kadang-kadang saya juga membayangkan ketika dia menjadi Presiden, bagaimana dia duduk di atas (pentas) memikirkan apa lagi nak cakap kepada ahli Umno dan apa lagi sepatutnya dibuat untuk orang Melayu dan negara.

"Saya nak beritahu dia selalu fikirkan rakyat dan negara. Kadang-kadang saya masuk dalam kereta dengan dia dan dia tanya (kepada saya) apa yang rakyat dan negara tak cukup," katanya.

Disiarkan pada:
Jun 10, 2023 @ 2:16pm

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-