Monday, June 5, 2023

Noh bidas kerajaan Selangor usir peneroka di Bestari Jaya


agendaily.com
05/06/2023
Tan Sri Noh Omar.
Kira-kira 500 peneroka kelapa sawit di Kampung Seri Makmur, Bestari Jaya di sini berdepan tindakan pengusiran daripada kerajaan negeri, dakwa Tan Sri Noh Omar.

Bekas Pengerusi UMNO Selangor semasa berucap atas pentas Program Jelajah Selangor Baharu Perikatan Nasional (PN), membidas tindakan kerajaan Selangor yang mahu mengusir peneroka di Kampung Seri Makmur, Bestari Jaya.

“Mereka bukan teroka secara haram, sebaliknya sudah 40 tahun diberi kebenaran dan bayar TOL (lesen pendudukan sementara), tiba-tiba kerajaan negeri beri kepada satu syarikat,” katanya malam tadi.

Noh berkata, perkara ini antara yang diperjuangkan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor bagi memastikan rakyat mendapat pembelaan sekiranya memberi sokongan kepada PN.

“Saya bisik dengan (Pengerusi PN Selangor, Datuk Seri Mohamed) Azmin (Ali) dan beliau minta saya umumkan malam ini kalau PN menang PRN Selangor, kita janji tak akan usir peneroka di sana,” jelasnya. lagi.

Noh juga menasihati pengundi Selangor bijak membuat keputusan dengan memilih PN pada PRN tidak lama lagi bagi memastikan nasib mereka terus diberi pembelaan sewajarnya.

Pembelaan sewajarnya diberikan kepada penjaja, pesawah, nelayan dan semua kelompok masyarakat sekiranya PN diberi mandat mentadbir negeri ini.

Ujar Noh, PN juga perlu menjaga kebajikan penjaja kecil di tepi jalan dan memberi peluang mereka untuk terus berniaga bagi menjana pendapatan.

“Saya bukan sahaja memperjuangkan isu penjaja di Tanjong Karang, malah di Sungai Buloh, Puchong pun saya turun kerana jiwa saya nak tolong penjaja kecil yang ditindas oleh kerajaan Selangor,” tambah beliau.

Sementara itu, Azmin dalam ucapan beliau semasa program itu memberitahu, perkara yang dibangkitkan Noh itu mudah dilaksanakan jika PN menjadi kerajaan negeri.

“Takkanlah orang India nak duduk di tanah sendiri yang dah dibina 40 tahun tak boleh?.

“(PN) tonggaknya adalah Melayu yang bersih, bertanggungjawab, berintegriti dan kita adil kepada kaum Cina, India dan rakyat Malaysia supaya negeri Selangor aman dan makmur,” ujarnya.

Jelas beliau, perkara itu pernah diusahakan beliau di Kampung Indian Settlement, Batu Cave semasa menjadi wakil rakyat pada tahun 2008.

“Antara perkara pertama saya lakukan ialah memberikan hak milik tanah kekal kepada seluruh keluarga di Kampung Indian Settlement.

“Soal tanah ini bukan hak kita, kerajaan hanya menguruskan sahaja dan kita beri kepada rakyat dan mereka tak payah meminta-minta kerana kami tidak mahu rakyat menjadi pengemis kepada kerajaan, sebaliknya ini adalah tanggungjawab kerajaan untuk membela rakyat negeri Selangor,” jelas beliau.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-