Diterbitkan: Jun 13, 2023 11:06 AM
Timbalan Presiden Umno, Mohamad Hasan yakin BN mampu membuat kejutan dan menawan semula Kedah dan Terengganu menjelang pilihan raya negeri (PRN).
Bagaimanapun, timbalan pengerusi BN itu memberi peringatan, ini hanya akan dicapai jika semua ahlinya bersatu hati dan tidak mengamalkan budaya 'cah keting'.
"Kita mahu pastikan supaya BN dapat bertapak semula dan juga kalau boleh macam negeri swing state macam di Terengganu dan Kedah itu peluang untuk menang ada.
"Bukan saya kata kita boleh rampas tetapi peluang untuk menang ada dengan syarat kita kerja kuat, kita tidak bertelingkah antara satu sama lain (dan) dengan syarat kita masuk pilihan raya ini guna strategi yang betul, tepat (dan) pilihlah calon yang boleh memenangkan kita," katanya yang dipetik oleh Berita Harian Online di Kuala Nerus, malam semalam.
Menurutnya, pertelingkahan sesama ahli tidak seharusnya berlaku kerana ia bukan sahaja melemahkan parti tetapi menyebabkan pengundi terutama pengundi atas pagar beralih ke parti lawan.
"Itu sebabkan banyak tempat pilihan raya (sebelum ini) negeri-negeri kita kalah bukannya parti lawan kuat tapi kita bertelingkah sesama sendiri, keluar saja nama calon, tutup bilik gerakan, keluar poster, keluar 'banner'
"Macam mana nak menang kalau macam itu (situasi itu) sudah melemahkan semangat orang (pada sama sama) orang atas pagar tengok apa punya parti macam ini, jadi patut-patut dia undi kita langsung dia takundi kita.
"Jadi itu yang saya katakan tadi elakkan pertelingkahan, elakkan perbalahan (dan) satu hati untuk kita mengharungi pilihan raya negeri ini, kalau nak menang buat cara nak menang," katanya sambil menambah bahawa peluang BN untuk kembali bertapak di Kedah dan Terengganu adalah juga cerah sekiranya mereka menampilkan calon yang tepat.
Dalam pada itu, Mohamad juga dilaporkan yakin mampu mengekalkan kemenangan di tiga negeri iaitu Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang yang kini dikuasai kerajaan perpaduan.
Enam negeri yang akan mengadakan PRN adalah Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kedah, Kelantan dan Terengganu.
Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang kini di bawah pentadbiran Pakatan Harapan (PH), mana kala Kedah, Kelantan dan Terengganu di bawah Perikatan Nasional (PN).
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.