Saturday, June 3, 2023

Pemimpin Umno beri amaran mengenai pembelotan akar umbi kepada PN

freemalaysiatoday.com
Elill Easwaran 
03 Jun 2023, 10:45am

Wan Agyl Wan Hassan berkata Umno perlu menjelaskan kepada akar umbinya tentang peralihan dalam pemilihan sekutunya.
Wan Agyl Wan Hassan berkata ahli yang setia kepada bekas pemimpin yang telah meletak jawatan atau dipecat oleh parti boleh membuat undi protes pada PRN.

PETALING JAYA: Seorang pemimpin Umno memberi amaran bahawa parti itu berisiko kehilangan sokongan akar umbinya kepada Perikatan Nasional (PN) jika tidak dapat menjelaskan “anjakan paradigma” dalam pemilihan sekutunya.

Pengerusi Tetap Pemuda Umno, Wan Agyl Wan Hassan, berkata ramai ahli akar umbi masih setia kepada bekas pemimpin yang sama ada telah meletak jawatan atau dipecat oleh parti.

“Mereka ini sebenarnya tidak setia kepada parti tetapi kepada individu tertentu maka mereka akan mengikut mereka (keluar daripada Umno).

“Jadi, dengan mengambilnya sebagai penanda aras bersama-sama situasi dihadapi parti dengan isu DAP, akan terdapat sejumlah besar sokongan akar umbi (beralih) kepada Perikatan Nasional (PN),” katanya kepada FMT.

Wan Agyl merujuk kepada gesaan baru-baru ini oleh pemimpin parti supaya ahli akar umbi mengundi calon parti dalam gabungan perpaduan, termasuk DAP, pada PRN akan datang.

“Kenyataan itu akan menyebabkan orang ramai menjauhi parti yang mereka percaya memperjuangkan perkara yang betul, terutama melindungi kepentingan Melayu.

“Umno pernah menjadi (parti) itu dan masih lagi, cuma dinamik sudah berubah, musuh menjadi kawan.”

Wan Agyl berkata parti itu mesti membantu akar umbi memahami sebab di sebalik perubahan itu.

Katanya, kegagalan berbuat demikian akan mendorong akar umbi Umno mengundi PN sama ada sebagai protes atau kerana mereka benar-benar percaya kepada pakatan pembangkang.

Sementara itu, seorang pemimpin akar umbi Umno yang enggan namanya didedahkan, berkata beberapa ahli terdekat telah menyuarakan hasrat mereka untuk memboikot parti itu pada PRN akan datang.

“Kami masih ahli Umno tetapi kami tidak nampak (apa gunanya) membantu parti (mendapatkan) kerusi kerana ia telah kehilangan prinsipnya.

Pemimpin itu berkata beliau masih belum mahu keluar parti kerana masih percaya Umno boleh kembali ke landasan perjuangannya untuk orang Melayu.
Katanya, masalah terbesar parti sekarang ialah kepimpinannya.

Menurutnya, ramai ahli akar umbi percaya bahawa pemimpin tertinggi tertentu dalam parti “sedang melakukan apa sahaja untuk menyelamatkan diri” dan bukannya melakukan yang terbaik untuk parti.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-