Saturday, June 3, 2023

Program himpunan PN di Tanjung Karang dihalang kerajaan negeri, kata Roslan

agendaily.com
03/06/2023
Setiausaha Perhubungan PAS Selangor, Roslan Shahir Datuk Mohd Shahir.

Kerajaan negeri Selangor yang diketuai PKR menghalang program himpunan anjuran Perikatan Nasional (PN) yang dijadualkan berlangsung di Tanjung Karang esok.

Setiausaha PAS Selangor, Roslan Shahir Mohd Shahir mendakwa sekatan itu dibuat oleh kerajaan PKR Selangor apabila tidak membenarkan program himpunan di sebuah padang awam di Tanjung Karang yang akan dihadiri pemimpin utama PN.

Program Jelajah Selangor Baru itu dijadualkan berlangsung di Padang Astaka Tanjung Karang pada malam esok.

“Itu lokasi yang kami anggap paling sesuai, selamat dan selesa untuk pengundi PN berhimpun secara aman,” katanya dipetik laporan Malaysiakini semasa sidang media di Shah Alam hari ini.

Antara pemimpin PN yang dijangka hadir ialah Pengarah Pilihan Raya PN itu Datuk Muhammad Sanusi Md Nor, bekas Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Azmin Ali, serta bekas ahli Majlis Tertinggi UMNO, Tan Sri Noh Omar.

Roslan berkata semasa menyerahkan permohonan untuk menggunakan padang itu kepada wakil Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS) pada 265 Mei lalu mereka mendapati tiada sesiapa menempah lokasi tersebut.

“Malangnya pada 31 Mei lalu kami menerima surat daripada MPKS maklumkan bahawa permohonan kami tidak dapat dipertimbangkan kerana ia merupakan padang awam dan kegunaannya adalah untuk riadah saja,” katanya lagi.

Menegaskan menghormati ketetapan asal sesebuah padang awam, Roslan bagaimanapun berkata, PN berpendapat kemudahan sebegitu masih boleh diluluskan untuk program lain yang bersesuaian.

“Kami kesal dengan penolakan ini kerana ia menghalang rakyat daripada berhimpun secara aman dalam kawasan Parlimen yang kami wakili,” katanya.

Namun, Roslan berkata PN tidak bercadang untuk mencabar keputusan dibuat MPKS dan menghormati pihak berkuasa tempatan (PBT) terbabit.

Justeru program berkenaan dipindahkan ke Kompleks PAS Tanjung Karang yang terletak di Jalan Jepun, kira-kira 5km dari Padang Astaka.

Sementara itu Roslan memberitahu bekas pemimpin utama UMNO Selangor, Noh akan membuat pengumuman penting dan sensasi pada program PN malam esok.

“Sama ada dia akan bertanding atau tidak, datanglah malam esok,” katanya lagi.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-