Wednesday, June 28, 2023

Sanusi pelawa Saifuddin bertanding kerusi DUN di Kedah

satuberita.my
By SatuBerita
-June 28, 2023

Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor mempelawa Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail bertanding kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Kedah pada Pilihan Raya Negeri (PRN).

Beliau berkata, bekas Ahli Parlimen Kulim Bandar Baharu itu mungkin ingin mencuba nasib di peringkat DUN pula selepas tewas di peringkat Parlimen dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu.

Menurutnya, tidak mustahil Saifuddin ‘mengidam’ jawatan Menteri Besar Kedah kerana Pengerusi Bersama Majlis Tindakan Pembangunan Negeri Kedah itu dilihat agak ‘dekat’ dengan rakyat Kedah berbanding pemimpin PKR lain.

“Saya pelawa Saifuddin bertanding kerusi DUN di Kedah, mana tahu kalau menang (beliau) boleh jadi Menteri Besar Kedah. Walaupun Saifuddin pernah kalah banyak kali juga, cubalah DUN pula.

“Mungkin apabila (Saifuddin) sudah jadi MB nanti baru boleh rasai asam garam perjuangan kerajaan negeri dalam sistem federalisme, terutama jika politik negeri dan Persekutuan tidak sealiran,” katanya lapor Sinar Harian.

Pada Sabtu, Saifuddin yang juga Menteri Dalam Negeri tidak menolak keberangkalian parti gabungan Kerajaan Perpaduan mampu mengalahkan Muhammad Sanusi dan menumbangkan kerajaan PN dalam PRN kali ini.

Ia susulan watak Pengarah Pilihan Raya Pas Pusat itu disifatkan sebagai bukan sebahagian daripada siri tarbiyah Pas yang berasaskan tarbiyah quraniyah.

Muhammad Sanusi bagaimanapun tidak gentar dengan sebarang ugutan mahupun sasaran mahu merampas Kedah, sebaliknya meminta jentera pilihan raya Kerajaan Perpaduan ditunjangi Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) bersaing secara sihat dalam PRN.

“Jom lawan atas padang yang sama rata, jangan guna jentera kerajaan dan jangan guna pihak berkuasa (polis) dan ugut sana sini. Saya terima apa jua cabaran dalam PRN kali ini, apa jua (telahan pihak luar), keputusan akan diketahui pada malam hari mengundi,” jelasnya.

Rabu lepas, pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Exco di Wisma Darul Aman, Muhammad Sanusi mengingatkan semua parti politik mengamalkan sepenuhnya amalan demokrasi sepanjang tempoh kempen PRN.

Beliau mahu setiap parti ‘bertanding secara anak jantan’ menggunakan kekuatan dan kapasiti masing-masing dalam menawan hati pengundi, tanpa menyalahgunakan aset kerajaan.

Enam negeri akan melaksanakan PRN yang dijangka diadakan awal Ogos depan termasuk Kedah, Selangor, Pulau Pinang, Negeri Sembilan, Kelantan dan Terengganu.

Komposisi DUN Kedah menyaksikan PN memiliki 20 kerusi, dengan Pas sebanyak 14 kerusi dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) enam kerusi.

PH memiliki 10 kerusi yang menggabungkan PKR sebanyak lima kerusi, Amanah dengan tiga kerusi dan DAP (dua). Manakala BN dan Pejuang masing-masing beroleh dua kerusi.

Dua kerusi kosong, iaitu Gurun berikutan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gurun, Datuk Johari Abdul melepaskan jawatannya, sementara DUN Belantek kosong disebabkan kematian ADUN, Datuk Mohd Isa Shafie pada 14 Jun lepas.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-