Monday, June 5, 2023

Tak perlu pelawaan sinikal untuk ahli dibuang hadiri PAU - Hishammuddin

hmetro.com.my
Mohammad Khairil Ashraf Mohd Khalid
khairil.ashraf@hmetro.com.my
HISHAMMUDDIN Hussein. FOTO Arkib NSTP.
Kuala Lumpur: Ahli Parlimen Sembrong Datuk Seri Hishammuddin Hussein menegur kepimpinan Umno yang menyindir dan sengaja berseloroh dengan mempelawa ahli dibuang parti itu untuk menghadiri Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2023.

Bekas Naib Presiden Umno yang kini digantung keahlian itu menyifatkan tindakan sedemikian tidak membantu usaha memenangi hati ahli akar umbi, sebaliknya hanya menggambarkan pemikiran semasa kepimpinan.

"Saya pasti orang ramai lebih rindu kepada Umno yang asal. Tidak perlu pelawa ahli yang dibuang ke PAU secara menyindir dan sengaja berseloroh.

"Ini hanya menggambarkan mentaliti dan pemikiran semasa kepimpinan Umno, tidak membantu langsung usaha memulihkan kedudukan parti dalam memenangi hati ahli-ahli di akar umbi," katanya menerusi hantaran di Instagramnya hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang menyatakan Umno sentiasa membuka pintu kepada bekas ahlinya untuk menghadiri PAU walaupun bukan sebagai perwakilan.

Ahmad Zahid dilapor berkata, bekas ahli parti Melayu itu mungkin boleh menjadi pemerhati di luar dewan ketika perhimpunan tersebut berlangsung.

Setiausaha Agung Umno, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki turut dilapor menyatakan bahawa parti itu tidak pernah menghalang bekas pemimpin atau ahli yang dipecat untuk menghadiri PAU pada minggu ini.

Mengulas lanjut, Hishammuddin menegaskan, pemimpin yang dibuang oleh parti itu tidak akan rugi kerana Umno telah menetapkan hukuman dengan tidak memerlukan khidmat mereka.

"Yang dibuang tidak rugi kerana parti telah pun menetapkan hukuman, tidak memerlukan khidmat kami lagi. Yang rugi ialah Umno yang terkesan daripada pelawaan sinikal sedemikian," katanya.

Disiarkan pada: Jun 5, 2023 @ 6:12pm

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-