Saturday, June 24, 2023

Tony Pua tak pegang jawatan dalam DAP, kenyataan tak wakili parti: Loke

agendaily.com
24/06/2023
Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke.

Kenyataan dikeluarkan oleh Tony Pua yang mengundang kontroversi tidak mewakili pendirian parti, kata Anthony Loke.

Setiausaha Agung DAP itu berkata, bekas Ahli Parlimen Damansara yang melabel UMNO sebagai “pakatan korup” semalam tidak memegang sebarang jawatan dalam parti dan ia bukan pendirian parti tersebut.

“Saya merujuk kepada laporan media yang memetik ucapan oleh Tony Pua dalam satu majlis yang dianjurkan oleh DAP Petaling Jaya.

“Tony Pua tidak lagi memegang apa-apa jawatan dalam DAP. Justeru itu, beliau bercakap di atas kapasiti individu dan tidak sama sekali mewakili kepimpinan parti.

“Ucapan tersebut yang berunsur serangan terhadap rakan gabungan utama dalam Kerajaan Perpaduan tidak seharusnya dikeluarkan (uncalled for),” katanya dalam satu kenyataan.

Jelasnya lagi, Pua tidak sewajarnya mengeluarkan kenyataan yang menyerang rakan parti lain dalam kerajaan campuran dan menggesa supaya semua menjaga keharmonian dengan UMNO.

“Kepimpinan tertinggi DAP telah membuat keputusan dasar untuk bekerjasama dengan gabungan politik lain demi mencapai kestabilan politik.

“Sebarang kenyataan provokatif terhadap rakan gabungan dalam Kerajaan Perpaduan adalah tidak selari dengan pendirian dan hala tuju parti pada masa kini.

“Saya ingin mengingatkan semua pemimpin dan ahli DAP untuk sentiasa menjaga keharmonian dalam hubungan antara parti dan gabungan dalam Kerajaan Perpaduan demi kestabilan politik yang amat diperlukan pada ketika negara menghadapi pelbagai cabaran luaran,” katanya lagi.

Pua semalam dilaporkan berkata kerajaan campuran yang dibentuk bersama UMNO-Barisan Nasional (BN) boleh berpecah pada bila-bila masa dan memberi gambaran tidak yakin ia sukar kekal bertahan.

Pua yang juga bekas Setiausaha Publisiti DAP itu dalam laporan portal BH berkata perlu diingat kerajaan campuran ini tidak kukuh dan boleh retak bila-bila masa, sambil menggesa Perdana Menteri perlu membuktikan sesuatu kepada rakyat berbilang kaum di negara ini bahawa pentadbiran Pakatan Harapan (PH) jauh lebih baik dan tidak korup seperti BN.

“Kena ingat Kerajaan Perpaduan sekarang ini mudah retak bila-bila masa. Jadi penting untuk Perdana Menteri dan keseluruhan kerajaan untuk terus berkhidmat.

“Perdana Menteri yang popular bukan untuk Petaling Jaya, tetapi untuk Terengganu, Kelantan, Pahang, Kedah, Sabah dan Johor,” kata Pua.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-