Showing posts with label Anthony Loke. Show all posts
Showing posts with label Anthony Loke. Show all posts

Sunday, January 26, 2025

'Tahun ini tidak lagi dengar rungutan tiket mahal' - Loke

hmetro.com.my
BERNAMA
Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook beramah mesra bersama penumpang semasa majlis pelepasan penumpang penerbangan lewat malam dengan tambang tetap pertama Malaysia Airlines dari Kuala Lumpur ke Tawau dan Sandakan untuk sambutan Tahun Baharu Cina, di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 malam ini. FOTO BERNAMA

Sepang: Langkah kerajaan melanjutkan pemberian subsidi bagi menjayakan inisiatif kadar tambang penerbangan maksimum pada musim perayaan, berjaya mengurangkan rungutan rakyat mengenai harga tiket penerbangan yang mahal, kata Menteri Pengangkutan Anthony Loke.

Beliau berkata kejayaan itu terbukti setelah setahun kerajaan MADANI melaksanakan pemberian subsidi sempena musim perayaan di negara ini.

"Tahun ini kita tidak lagi dengar rungutan di media sosial tentang tiket mahal seperti RM2,000 untuk balik Tawau atau Sandakan. Semuanya terkawal dan ramai yang mengambil peluang dengan tambang tetap ini.

"Setelah setahun kita melaksanakan dasar menetapkan kadar tambang tetap atau tambang maksimum, kita dapat lihat hasilnya. Harga tiket dapat dikawal dan tiada lagi aduan harga tiket (penerbangan) melambung seperti sebelum ini," katanya.

Loke berkata demikian kepada pemberita selepas majlis pelepasan penerbangan tambahan Malaysia Airlines (MAS) ke Tawau dan Sandakan, Sabah sempena Tahun Baharu Cina di Lapangan Terbang Antarbangsa (KLIA) Terminal 1 (T1) di sini hari ini.

Loke berkata walaupun kerajaan menetapkan kadar tambang penerbangan maksimum berjumlah RM499 pada musim perayaan, namun terdapat syarikat penerbangan yang menawarkan harga lebih rendah.

"Ada syarikat penerbangan yang menawarkan tambang tetap serendah RM300 bagi penerbangan khas waktu malam. Usaha ini membuktikan intervensi kerajaan berjaya meringankan beban rakyat," katanya.

Mengenai sambutan rakyat terhadap inisiatif itu, Loke berkata keputusan kerajaan melanjutkan pemberian subsidi adalah tepat, kerana mendapat sambutan menggalakkan dengan kapasiti tempat duduk dalam pesawat mencecah 95 peratus.

"Ini termasuk bagi penerbangan balik dari Sabah dan Sarawak ke Kuala Lumpur. Selain MAS, syarikat penerbangan lain seperti AirAsia dan Batik Air turut menambah penerbangan untuk memenuhi permintaan tinggi sepanjang musim perayaan ini," katanya.

MAS sebelum ini mengumumkan 102 penerbangan tambahan pada waktu malam, menjadikan jumlah keseluruhan 219 penerbangan mingguan sepanjang musim perayaan ini.

MAS menawarkan tambang tetap sehala bermula RM349 ke Sabah dan Sarawak.

Tuesday, July 30, 2024

‘Tahniah pemangku menteri pendidikan’ - Dr Akmal bidas Loke lagi

malaysiakini.com

Diterbitkan: Jul 30, 2024 4:32 PM
Gabungan Pakatan Harapan (PH) dan BN yang tidak selesa antara Umno dan DAP terus diuji dengan Dr Akmal Saleh sekali lagi membidas sekutunya, Anthony Loke dari DAP.

Dalam satu hantaran di Facebook petang ini, Ketua Pemuda Umno itu turut menggesa saudara seagama dan sebangsanya supaya bersatu.
Dr Akmal Saleh
Dr Akmal dilaporkan berang dengan berita yang memetik Loke, yang merupakan menteri pengangkutan, sebagai berkata syarikat arak dibenarkan buat program kutipan derma di sekolah tetapi tidak dibenarkan mempamerkan logo mereka.

“Lepas ni boleh jemput syarikat judi pula ke buat program dalam sekolah?

“Tidak cukup dengan sumbangan derma, hari ni nak benarkan syarikat arak buat program dalam sekolah pula?” katanya.

Ketua Pemuda Umno itu seterusnya menyindir setiausaha agung DAP itu dengan mengucapkan tahniah kepada Loke.

“Tahniahlah menteri pengangkutan yang memangku menteri pendidikan,” tulisnya.
Sebelum ini, Dr Akmal mengecam Loke kerana mahu membangkitkan isu itu dalam kabinet berikutan kontroversi yang membabitkan kutipan dana untuk sekolah vernakular Cina, yang melibatkan Tiger Beer, walaupun Kementerian Pendidikan menghalang sekolah daripada menerima dana daripada syarikat pengeluar produk tembakau dan alkohol.
Pemimpin DAP itu berkata Tiger Beer telah menganjurkan konsert mengumpul dana untuk sekolah Cina selama 30 tahun, dan ini tidak menjadi isu sehingga seorang pemimpin pembangkang membangkitkannya.

Bagaimanapun, Dr Akmal berhujah bahawa Malaysia mempunyai undang-undang dan ia tidak sepatutnya mengikut peraturan Loke, sebaliknya.

Semalam, Loke menjelaskan bahawa tiada kelompangan atau "kawasan kelabu" dalam keputusan kabinet mengenai garis panduan untuk pengumpulan dana bagi sekolah Cina.

Dia menegaskan tiada sebarang perubahan akan dilakukan selain menjelaskan bahawa acara tersebut yang diadakan di sekolah tidak boleh meliputi sebarang paparan dan promosi minuman beralkohol.
Anthony Loke
Malah, katanya, program kutipan derma untuk sekolah Cina, termasuk yang diterima daripada kilang arak, kebanyakannya diadakan di luar kawasan sekolah dan dihadiri ibu bapa serta mereka yang memberi sokongan kepada sekolah berkenaan.

[Baca berita penuh]

Saturday, June 24, 2023

Tony Pua tak pegang jawatan dalam DAP, kenyataan tak wakili parti: Loke

agendaily.com
24/06/2023
Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke.

Kenyataan dikeluarkan oleh Tony Pua yang mengundang kontroversi tidak mewakili pendirian parti, kata Anthony Loke.

Setiausaha Agung DAP itu berkata, bekas Ahli Parlimen Damansara yang melabel UMNO sebagai “pakatan korup” semalam tidak memegang sebarang jawatan dalam parti dan ia bukan pendirian parti tersebut.

“Saya merujuk kepada laporan media yang memetik ucapan oleh Tony Pua dalam satu majlis yang dianjurkan oleh DAP Petaling Jaya.

“Tony Pua tidak lagi memegang apa-apa jawatan dalam DAP. Justeru itu, beliau bercakap di atas kapasiti individu dan tidak sama sekali mewakili kepimpinan parti.

“Ucapan tersebut yang berunsur serangan terhadap rakan gabungan utama dalam Kerajaan Perpaduan tidak seharusnya dikeluarkan (uncalled for),” katanya dalam satu kenyataan.

Jelasnya lagi, Pua tidak sewajarnya mengeluarkan kenyataan yang menyerang rakan parti lain dalam kerajaan campuran dan menggesa supaya semua menjaga keharmonian dengan UMNO.

“Kepimpinan tertinggi DAP telah membuat keputusan dasar untuk bekerjasama dengan gabungan politik lain demi mencapai kestabilan politik.

“Sebarang kenyataan provokatif terhadap rakan gabungan dalam Kerajaan Perpaduan adalah tidak selari dengan pendirian dan hala tuju parti pada masa kini.

“Saya ingin mengingatkan semua pemimpin dan ahli DAP untuk sentiasa menjaga keharmonian dalam hubungan antara parti dan gabungan dalam Kerajaan Perpaduan demi kestabilan politik yang amat diperlukan pada ketika negara menghadapi pelbagai cabaran luaran,” katanya lagi.

Pua semalam dilaporkan berkata kerajaan campuran yang dibentuk bersama UMNO-Barisan Nasional (BN) boleh berpecah pada bila-bila masa dan memberi gambaran tidak yakin ia sukar kekal bertahan.

Pua yang juga bekas Setiausaha Publisiti DAP itu dalam laporan portal BH berkata perlu diingat kerajaan campuran ini tidak kukuh dan boleh retak bila-bila masa, sambil menggesa Perdana Menteri perlu membuktikan sesuatu kepada rakyat berbilang kaum di negara ini bahawa pentadbiran Pakatan Harapan (PH) jauh lebih baik dan tidak korup seperti BN.

“Kena ingat Kerajaan Perpaduan sekarang ini mudah retak bila-bila masa. Jadi penting untuk Perdana Menteri dan keseluruhan kerajaan untuk terus berkhidmat.

“Perdana Menteri yang popular bukan untuk Petaling Jaya, tetapi untuk Terengganu, Kelantan, Pahang, Kedah, Sabah dan Johor,” kata Pua.

Monday, April 17, 2023

UMNO-DAP tak dipaksa kahwin, kata Loke

agendaily.com
17/04/2023
Setiausaha Agung DAP baharu, Anthony Loke mengulas kerjasama dengan UMNO.

Anthony Loke menafikan UMNO dan DAP (UMDAP) berkahwin politik secara paksa seperti didakwa oleh bekas Naib Presiden, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Setiausaha Agung DAP itu sebaliknya mempertahankan hubungan UMDAP adalah secara sukarela dan berasaskan cinta yang ikhlas antara kedua-dua parti tersebut.

“Janganlah sebagai bekas Perdana Menteri, adakah beliau mahu lihat perpecahan dalam Kerajaan Perpaduan.

“Dalam apa juga kerjasama termasuk dalam Kerajaan Perpaduan, kami seboleh-bolehnya cuba untuk kukuhkan hubungan itu,” katanya dipetik laporan BH.

Loke juga berkata Ismail Sabri sepatutnya mengetahui kerajaan campuran dibentuk sekarang adalah atas nasihat Yang di-Pertuan Agong.

Media sebelum ini melaporkan, Ismail Sabri mendakwa ‘kahwin paksa’ antara UMNO dan DAP tidak akan berjaya sama ada di peringkat kepemimpinan tertinggi atau di peringkat akar umbi.

Ismail Sabri berkata, beliau sudah mula melihat keretakan ‘perkahwinan paksa’ itu selepas wujud serangan secara terbuka antara pemimpin parti kerajaan ketika ini.

Saturday, October 29, 2022

Changkat Jong tetap milik DAP, kata Loke

freemalaysiatoday.com
Bernama
-October 29, 2022 12:00 PM
Anthony Loke berkata, Amanah mengisytiharkan Changkat Jong adalah milik mereka kerana salah faham.

IPOH: Setiausaha Agung DAP Anthony Loke berkata, pertembungan tidak akan berlaku antara parti itu dan rakan komponen dalam Pakatan Harapan (PH) iaitu Amanah di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Changkat Jong pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15) susulan pengumuman calon hari ini.

Beliau berkata, apa yang berlaku adalah salah faham kerana keputusan telah dibuat di peringkat ‘top three’ sebelum ini yang turut dihadiri Presiden Amanah Mohamad Sabu manakala pengumuman calon hari ini pula adalah di peringkat negeri Perak.

“Kami telah bermesyuarat sebelum Konvensyen PH diadakan baru-baru ini. Jadi, kita bukannya umum sesuatu yang baharu, yang tiada keputusan. Ia telah dimuktamadkan di peringkat tertinggi.

“Tidak akan timbul pertembungan nanti kerana ada hanya satu wakil PH di Changkat Jong iaitu DAP. Ini salah faham yang boleh diselesaikan,” katanya.

Pada majlis itu, Loke mengumumkan parti itu akan bertanding di 19 kerusi DUN, pertambahan satu kerusi berbanding PRU14 iaitu di Changkat Jong yang diwakili Badrul Hisham Badarudin, dan lapan kerusi Parlimen, pertambahan satu kerusi iaitu Gerik yang diwakili Ahmad Tarmizi Mohd Jam.

Pagi tadi, Amanah Perak dilapor akan bertanding di 20 kerusi DUN termasuk Changkat Jong yang diwakili Naib Pengerusi negeri Muhaimin Sulam.

Perak mempunyai 59 kerusi Dewan Undangan Negeri dan 24 kerusi Parlimen.

Terdahulu Ketua Amanah Teluk Intan Ahmad Munzirie Ahmad Kabir berkata, penetapan semua kerusi yang ditandingi Amanah mewakili PH adalah seperti diumumkan dalam Majlis Pengumuman Calon Amanah Perak pagi tadi oleh pengerusi Amanah Perak merangkap pengarah pilihan raya Amanah Nasional, Asmuni Awi.

“Di peringkat Amanah Teluk Intan, kami tidak menerima sebarang perubahan melibatkan DUN Changkat Jong daripada Jawatankuasa Amanah Negeri Perak mahupun kepimpinan di peringkat nasional.

“Hal ini berikutan kedudukan DUN pasir Bedamar yang berada dalam Parlimen Teluk Intan telah pun ditandingi oleh DAP dan kerusi Parlimen Teluk Intan juga ditandingi oleh DAP.

“Maka mengikut persefahaman bersama, bagi kerusi DUN Changkat Jong, persetujuan dicapai untuk diberikan kepada Amanah berdasarkan komposisi dua kerusi DAP dan satu kerusi Amanah,” katanya.

Thursday, July 4, 2019

Anthony Loke, Pua saman Tajuddin

Hidir Reduan Abdul Rashid 
Diterbitkan Hari ini 8:17 malam


Menteri Pengangkutan Anthony Loke dan Anggota Parlimen Damansara Tony Pua memfailkan saman terhadap Anggota Parlimen Pasir Salak Tajuddin Abdul Rahman kerana mendakwa DAP cuba menghapuskan sistem raja-raja di Malaysia.

Menurut dokumen mahkamah yang diperoleh Malaysiakini, surat saman mereka difailkan oleh firma guaman Tetuan Ezzah & Associates di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 21 Mac lalu.

Loke yang juga setiausaha penganjur kebangsaan DAP dan Pua yang merupakan setiausaha publisiti kebangsaan DAP, menyaman ahli majlis tertinggi Umno itu berhubung ucapannya di Kampung Jawa pada malam sebelum pilihan raya kecil parlimen Sungai Kandis pada 3 Ogos tahun lepas.

Calon Pakatan Harapan, Mohd Zawawi Ahmad Mughni memenangi kerusi berkenaan dengan majoriti 5,842 undi, menewaskan calon BN, Lokman Noor Adam dalam pilihan raya kecil itu yang diadakan pada 4 Ogos 2018.

Loke dan Pua berkata Tajuddin dalam ucapannya mendakwa mereka merupakan penganut Kristian yang bersama rakan mereka dalam DAP berusaha untuk bukan sahaja menyebarkan agama itu tetapi juga menghapuskan raja-raja Melayu.

Tajuddin juga didakwa mengatakan mereka berusaha menubuhkan sistem pemerintahan seperti di Singapura yang mana tidak memiliki raja atau sultan.

Selain itu Tajuddin dalam ucapannya juga didakwa mengatakan mereka mahu mendirikan sebuah negara republik.

Kenyataan defendan disiarkan oleh Malaysiakini bertajuk ‘Christian DAP’ salvo to close BN’s Sg Kandis campaign’ yang dimuat naik oleh portal berita itu pada malam yang sama dia berucap.

Dalam kenyataan tuntutan mereka, Loke dan Pua menafikan mereka adalah orang Kristian dan mengatakan kenyataan Tajuddin menggambarkan mereka tidak menjalankan tugas mereka sebagai menteri dan ahli parlimen dan sebaliknya menggunakan kedudukan mereka untuk memperjuangkan agenda politik peribadi.

[Baca berita penuh]

Thursday, January 29, 2015

Tak perlu cabar DAP debat, memadai Presiden PAS hadir mesyuarat pucuk pimpinan Pakatan Rakyat


KUALA LUMPUR, 29 JAN: PAS tidak perlu mencabar DAP untuk berdebat tentang hudud dan pilihanraya tempatan, cukup sekadar Presidennya Datuk Seri Abdul Hadi Awang sudi meluangkan masa untuk hadir mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi Pakatan Rakyat.

Setiausaha Organisasi DAP Kebangsaan, Anthony Loke berkata, cabaran Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali terhadap Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng untuk berdebat isu hudud dan pilihanraya tempatan secara terbuka tidak kena pada tempatnya.

Menurutnya, adalah lebih wajar untuk pemimpin tertinggi PAS termasuk presidennya hadir mesyuarat pucuk pimpinan Pakatan bagi membincangkan isu-isu tersebut.

“Bukankah forum dalam Majlis Pimpinan Tertinggi Pakatan Rakyat adalah lebih sesuai berbanding debat memandangkan isu yang timbul melibatkan pendirian parti masing-masing dan bukannya soal individu?

“Ini perlu diselesaikan dalam mesyuarat bersama dan debat merupakan pilihan terakhir untuk membincangkan isu tersebut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Anthony yang juga Ahli Parlimen Seremban berkata, pendekatan Mustafa mencabar Guan Eng berdebat seolah-olah ingin “membakar jambatan” dengan DAP dan menganggap DAP sebagai musuh politik PAS dan bukannya rakan sekutu dalam Pakatan Rakyat.

“Adakah ini taktik permulaan untuk memecahkan Pakatan Rakyat dari dalam? Adakah cabaran beliau mewakili pendirian rasmi PAS?” soal beliau, sambil menambah bahawa Mustafa tidak pula pernah mencabar musuh politiknya UMNO untuk berdebat.

Menurut beliau lagi, cabaran Mustafa juga melanggar protokol rakan sekutu dalam Pakatan Rakyat kerana kedudukan jawatan beliau adalah berbeza dengan Guan Eng walaupun namanya sama.

“Datuk Mustafa Ali sendiri mengetahui bahawa jawatan Setiausaha Agung DAP adalah jawatan parti yang tertinggi dalam hierarki DAP tetapi jawatan Setiausaha Agung PAS adalah jawatan lantikan oleh Presiden PAS dan kedua-dua jawatan tersebut adalah tidak setaraf dalam struktur pimpinan Pakatan Rakyat walaupun namanya sama,” jelas beliau.

Anthony mengulangi pendirian DAP bahawa usaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang untuk mengembalikan pilihan raya kerajaan tempatan adalah selaras dengan Dasar Bersama Pakatan Rakyat yang dipersetujui oleh ketiga-tiga parti.

Katanya, ia dapat dibuktikan dengan amat jelas melalui ayat yang tertera dalam Bab Demokrasi Telus dan Tulen, Dasar Bersama Pakatan Rakyat yang berbunyi;

“Mengukuhkan demokrasi kerajaan tempatan dan meningkatkan kecekapan serta keberkesanan sistem penyampaian dan menjamin ketelusan di semua peringkat secara demokratik.”

Anthony mahu PAS komited dan patuh kepada Dasar Bersama Pakatan Rakyat yang telah dimeterai bersama oleh Presiden PAS sendiri.

Menurutnya, adalah amat tidak bertanggungjawab sekiranya Mustafa menggunakan isu pilihan raya kerajaan tempatan untuk menyerang DAP kononnya DAP juga melaksanakan sesuatu yang bertentangan dengan Dasar Bersama Pakatan Rakyat.

“Itulah sebabnya saya menegaskan bahawa Datuk Mustafa Ali tidak boleh menyamakan isu hudud dengan pilihan raya kerajaan tempatan kerana DAP tidak pernah bersetuju dengan pelaksanaan hudud sejak hari pertama Pakatan Rakyat ditubuhkan dan tidak ada satu perkataan pun dalam Dasar Bersama Pakatan Rakyat yang menyentuh berkenaan dengan hudud.

“Tetapi PAS secara prinsipnya telah bersetuju untuk ‘mengukuhkan demokrasi kerajaan tempatan’.

“Apakah Setiausaha Agung PAS ingin memberi gambaran bahawa PAS sebenarnya hanya bersetuju dengan pengukuhan demokrasi sebelum PRU13 untuk memenangi sokongan pengundi tetapi hakikatnya PAS tidak bersedia untuk memberikan komitmen mengukuhkan demokrasi akar umbi?” ujar beliau. – Roketkini.com

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-