Saturday, July 8, 2023

Hadi dakwa DAP sambung usaha British mahu hapus ketuanan Melayu, Bumiputera

bharian.com.my
Oleh Ahmad Suhael Adnan
ahmad.suhael@bh.com.my
Julai 8, 2023 @ 4:16pm
Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang. Gambar fail

KUALA LUMPUR: Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang sekali lagi menyerang DAP menggunakan retorik kaum dan agama, dengan mendakwa parti itu memiliki agenda perkauman Cina serta menyambung usaha penghapusan ketuanan Melayu serta Bumiputera yang dirancang penjajah British.

Tindakan Abdul Hadi itu dilihat bertentangan dengan saranan Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain, yang mengingatkan semua pihak tidak memainkan isu sensitif, khususnya 3R (agama, bangsa dan raja) ketika berkempen untuk pilihan raya negeri (PRN) tidak lama lagi.

Presiden PAS itu antaranya mendakwa DAP mahu mengekalkan maksud Islam dalam Perlembagaan mengikut acuan penjajah dengan mempertahankan konsep liberalisme dan kebebasan yang diperjuangkan Barat.

Beliau juga mendakwa DAP menggunakan jurubicara dalam kalangan orang Melayu untuk mencapai agenda parti itu, manakala parti lain yang bekerjasama dengan DAP hanya menumpang pengaruhnya untuk menang.

"DAP mempunyai tujuan politik bagi perkauman Cina dengan usaha mendapat undi tambahan Melayu dan kaum lain bagi mencapai cita-citanya itu.

"DAP tidak perlu bersuara kuat lagi, hanya sekali-sekala sudah cukup. Ini kerana mereka berjaya melantik jurubicara dalam kalangan Melayu yang lupa akan kemelayuannya dan lalai akan keislamannya, malah menganggap Melayu sangat rasis apabila bersuara membela Melayunya, atau Islamnya fanatik jika bercakap mengenai Islam," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Semalam, Razarudin mengingatkan semua pihak tidak memainkan isu sensitif termasuk 3R, malah ketika tempoh berkempen, pihaknya mempunyai pasukan perakam dan pegawai penyiasat bermula pada hari penamaan calon hingga pasca hari mengundi.

Beliau berkata, polis akan menyiasat sesiapa juga sama ada orang awam, ahli politik atau ahli perniagaan jika ada keterangan yang mereka menyentuh isu sensitif seperti 3R.

Mengulas lanjut, Abdul Hadi juga mendakwa tindakan pimpinan DAP yang menentang penguatkuasaan hal ehwal Islam di negeri pimpinan PAS, menunjukkan sikap DAP yang mahu mengekalkan pelaksanaan Islam mengikut acuan penjajah.

Antaranya, beliau mendakwa DAP pernah menyatakan tidak senang dengan larangan arak kepada penganut Islam di Kelantan, selain berusaha menghalang usaha memperkukuh bidang kuasa Mahkamah Syariah menerusi Rang Undang-Undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (RUU 355).

Ahli Parlimen Marang itu juga membidas tindakan pemimpin DAP yang menentang penguatkuasaan menutup aurat bagi orang Islam dan berpakaian sopan bagi orang bukan Islam di negeri ditadbir PAS, dengan menyifatkan DAP hanya mempertahankan budaya Barat yang tiada kaitan dengan kaum Cina atau India.

"Isu hiburan bebas yang bukan budaya kita, tiba-tiba DAP dan rakan-rakannya turut membuat kenyataan yang melonjak-lonjak dan mempertahankan konsep liberalisme atas nama kebebasan Barat yang sudah terbabas daripada fitrah kemanusiaan.

"Terakhir ialah pindaan Kanun Keseksaan sangat longgar bagi membebaskan percubaan bunuh diri yang diharamkan Islam terhadap semua rakyat tanpa mengira agama.

"Bersama konsep 'Malaysian Malaysia', bermakna hak Melayu dan Bumiputera cuba dirungkaikan ikatannya dalam Perlembagaan Persekutuan oleh DAP melalui banyak kenyataan dan tindakan yang tidak boleh dinafikan," katanya.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-