Saturday, July 8, 2023

UMNO menang 26 kerusi dulu pun sebab ‘No Anwar, No DAP’: Shahidan

agendaily.com
08/07/2023
Ahli Parlimen Arau Datuk Seri Shahidan Kassim.

Datuk Seri Dr Shahidan Kassim tidak melihat UMNO akan dapat memenangi kerusi yang banyak pada Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri, malah berkemungkinan akan kalah besar.

Ahli Parlimen Arau yang menang selepas dipecat UMNO pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) lalu itu berkata, 26 kerusi dimenangi bekas partinya itu sebelum ini disebabkan kempen ‘No Anwar, No DAP’ tetapi kini Presiden, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sudah mengkhianati ahli-ahli parti itu.

“Kedah, Terengganu dan Kelantan adalah lubuk PN, UMNO nak bertanding buat apa? Bertanding pun kalah, buat malu saja, nanti hilang benih.

“Walaupun dia buat formula, UMNO campur PH (Pakatan Harapan), maka jumlahnya dia menang tapi dia lupa orang UMNO bagi (undi) masa tu, masa dia kata ‘No Anwar, No DAP tapi sekarang dia duduk dengan DAP dan orang UMNO tak setuju,” katanya dipetik laporan BH.

Shahidan terdahulu hadir pada program Pentas Alternatif Rakyat Parlimen Pengkalan Chepa di Dataran Kijang, Pasar Kedai Buloh di Kot Bharu.

Untuk rekod, UMNO sebelem PRU-15 lalu membuat ketetapan mereka tidak akan menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim dan bekerjasama dengan DAP, tetapi Zahid membuat keputusan sebaliknya selepas berakhir PRU-15 lalu.

Berhubung keputusan MIC dan MCA tidak bertanding, Shahidan menyindir Zahid dengan berkata doa untuk UMNO berjuang solo, sudah termakbul.

“Sekarang UMNO bertanding solo. Sebab dia (Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamid) berdoa untuk solo, Allah makbulkan.

“Orang MIC dan MCA tak akan sokong UMNO. Jadi saya menyeru kepada mereka untuk sokong PN (Perikatan Nasional). Kita akan menegakkan keadilan tanpa was-was,” katanya.

Kelmarin, MCA menerusi kenyataan dikeluarkan setiausaha agungnya, Datuk Chong Sin Woon memaklumkan, parti itu tidak akan bertanding pada PRN di enam negeri, 12 Ogos ini.

Sebaliknya, MCA akan menumpukan kepada persediaan menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16), selain melaksanakan pembaharuan dan kebangkitan semula parti itu.

Selang beberapa jam selepas itu, MIC menerusi setiausaha agungnya, RT Rajasekaran turut mengumumkan tidak akan bertanding dalam enam PRN berkenaan selepas meneliti keadaan politik semasa dan mendengar pandangan setiap ahli Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC).

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-