Sunday, July 9, 2023

Pemuda UMNO bidas Guan Eng, tapi Zahid pertahan dakwa cuba burukkan DAP

agendaily.com
09/-7/2023
Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mempertahankan kenyataan Lim Guan Eng.

Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mempertahankan Pengerusi DAP, Lim Guan Eng yang didakwa sengaja membangkitkan isu 3R iaitu agama, raja dan kaum selepas kenyataan kontroversinya dalam artikel China Press.

Presiden UMNO itu dilihat berbeza pandangan dengan Ketua Pemudanya, Dr Akmal Saleh yang mendesak supaya Guan Eng disiasat pihak berkuasa ekoran kenyataan yang dilihat berbau unsur perkauman kerana menyentuh isu yang sensitif.

Zahid berkata menjelaskan ada pihak sengaja memainkan semula isu terbabit dan cuba memburukkan bekas Menteri Kewangan itu.

Justeru, beliau menyifatkan dakwaan yang cuba memburukkan Guan Eng itu adalah satu pembunuhan karakter.

“Tidak, saya juga membacakan laporan laporan itu. Ia berlaku sudah beberapa lama tetapi ia diulang untuk memburukkan Lim Guan Eng.

“Saya fikir kalau kita berbeza politik sekalipun, eloklah perbezaan itu dengan akhlak politik yang baik. Jangan ikutkan character assassination (pembunuhan karakter),” katanya dipetik laporan BH.

Sebelum ini, sebuah portal berita tempatan yang memetik laporan akhbar China Press melaporkan, Guan Eng memberi amaran kepada pengundi Pulau Pinang untuk menyekat ‘gelombang hijau’ daripada bertapak di negeri itu.

Guan Eng mendakwa, ia akan mengakibatkan tokong Buddha dimusnahkan dan orang bukan Islam berdepan pelbagai sekatan.

Susulan itu, Dr Akmal dilaporkan meminta polis menyiasat kenyataan Guan Eng yang mendakwa ‘gelombang hijau’ bakal musnahkan tokong dan menafikan hak agama di Pulau Pinang.

Akmal berkata, tindakan itu sebagai memberi amaran keras supaya tidak sesekali mempermainkan isu 3R tanpa mengira parti.

Menerusi hantaran di Facebooknya semalam, Guan Eng menolak dakwaan beliau sengaja membangkitkan isu 3R ketika menyentuh berkenaan perobohan tokong Buddha atau Cina dalam ucapan pada satu program di Jelutong, Pulau Pinang.

Bekas Ketua Menteri Pulau Pinang itu menegaskan, ucapannya yang itu sudah diputar belit, seolah-olah ada pihak ingin merobohkan tokong Buddha atau Cina.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-